Laluan Daratan tertua di Malaysia
Sekitar abad ke-13, terdapat satu laluan purba telah
dibina di kawasan pedalaman daerah Jempol, Negeri Sembilan. Laluan tersebut
dikenali sebagai Jalan Penarikan. Difahamkan, laluan terbabit mempunyai kaitan
rapat dengan Laluan Sutera yang merentasi pantai barat Semenanjung ke pantai timur satu ketika dahulu.
Berdasarkan cerita lisan, laluan yang turut dikenali
sebagai Londar Siam merupakan jalan darat tertua di Semenanjung Malaysia.
Meskipun sejarah mengenai jalan ini tidak diketahui secara tepat dan tiada
catatan khusus mengenainya, ia adalah sebuah lokasi yang sangat penting satu
ketika dahulu.
Menurut Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Dr.
Shamsuddin Ahmad, Jalan Penarikan merupakan sebuah laluan daratan yang
digunakan oleh para pedagang dari pantai timur Sumatera dan pantai barat
Semenanjung Malaysia. Menerusi jalan ini, ia merupakan satu laluan pintas yang
menghubungkan dengan laluan dari sebelah pantai timur negara ini.
Merangkumi tujuh buah kawasan, laluan ini dikatakan
bermula dari sebatang sungai yang dikenali sebagai sungai Muar. Menerusi sungai
ini, laluan tersebut akan bertemu dengan sebatang lagi sungai yang dikenali sebagai
sungai Jempol.
Kemudian, laluan seterusnya akan melintasi sebuah
pangkalan yang terletak di Kampung Bukit Laka, Negeri Sembilan. Bermula dari
pangkalan ini, perahu atau jong yang digunakan oleh para pedagang ketika itu akan
ditarik melintasi satu jalan darat yang berpaya sehingga ke sebuah lagi
pangkalan yang terletak di sungai Serting. Menerusi sungai ini, laluan tersebut
akan melalui dua batang lagi sungai iaitu sungai Bera dan sungai Pahang sebelum
sampai ke lokasi terakhir yang terletak di bandar Pekan, Pahang.
Selain menjadi laluan dagangan pada ketika itu, kata Drs.
Shamsuddin, Jalan Penarikan turut menjadi lokasi penting sebagai laluan utama
yang digunakan oleh bala tentera dan pengembangan agama Buddha pada zaman
kerajaan Langkasuka dan Srivijaya pada abad keenam hingga ke-13 Masihi. Ujarnya lagi, jalan tersebut juga dikatakan
pernah dilalui oleh Sultan Mahmud Shah yang berundur ke Pahang selepas Melaka
diserang oleh Portugis.
Berdasarkan ekskavasi yang dilakukan, terdapat beberapa artifak
yang menakjubkan ditemui sepanjang laluan purba itu. Antaranya, sebuah tapak
yang dipercayai pernah dijadikan surau dan beberapa makam lama yang dijumpai di
beberapa tempat sekali gus boleh dijadikan bukti kedatangan pedagang di kawasan
tersebut.
Selain itu, penemuan lain seperti blok-blok batu yang
dipercayai digunakan sebagai tempat mengambil wuduk dan pengampu pelantar tiang
surau turut ditemui. Jelas Drs. Shamsuddin, beliau percaya penemuan ini boleh
menyokong fakta wujudnya sebuah rumah ibadat yang dibina sekitar tahun 1700
Masihi.
Sementara itu, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA),
Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM), turut melakukan kajian terhadap laluan
purba ini. Kajian menjejaki laluan tersebut mulanya dilakukan oleh Allahyarham
Profesor Dr. Norhalim Ibrahim kira-kira lima tahun lalu.
Kini, penyelidikan itu diteruskan pula oleh seorang Felo
Penyelidik Kanan ATMA, Profesor Madya Dr. Asyaari Muhamad. Bersama dengan dua
orang penyelidik lain iaitu Felo Penyelidik Utama ATMA, Profesor Datuk Dr. Nik
Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman dan pensyarah dari Fakulti Sains Sosial dan
Kemanusiaan (FSSK), Dr. Norazuan Ibrahim, kajian berkenaan mendapat bantuan
geran sebanyak 75,000 dolar Amerika dari Fundamental Research Grant
Scheme(FRGS).
Berdasarkan lapangan kajian, laluan tersebut merentasi
bahagian pantai timur sehingga ke pantai barat di Semenanjung Malaysia. Melalui
dua buah kampung iaitu Kampung Tambangan dan Kampung Lubuk Lading, laluan yang
dijejaki meliputi enam buah kawasan iaitu Pekan, Kuala Bera,Tasik Bera, Bahau
serta tiga sungai utama iaitu, sungai Serting, sungai Jempol dan sungai Muar.
Menurut Dr.
Asyaari, Laluan penarikan itu mempunyai kesan istimewa kerana bukan sahaja
terkenal dari segi politik, budaya dan sosial malah pernah digunakan beberapa
tokoh nasionalis. Sebagai contoh, seorang pahlawan Melayu iaitu Mat Kilau
pernah menggunakan laluan penarikan untuk pulang ke kampungnya di Pahang.
Begitu juga sebagaimana yang dihikayatkan bahawa pahlawan Hang Tuah juga
menggunakannya sebagai laluan perjalanan dari Timur ke Barat.
Selain itu,
pedagang dan pengembara Islam juga dikatakan menggunakan laluan purba ini untuk
memperluaskan ajaran agama Islam kepada penduduk setempat sepanjang laluan
penarikan yang dilalui. Ini terbukti dengan adanya sebuah tapak lama surau di Kampung
Serdang, Kuala Pilah yang membuktikan wujudnya kegiatan agama yang tersebar
melalui laluan penarikan itu.
Comments
Post a Comment