Empayar purba Chi tu
Sekitar abad pertama hingga ke-5 Masihi, terdapat
beberapa buah kerajaan awal telah dikenal pasti wujud di Semenanjung Tanah
Melayu dan kawasan lain di Asia Tenggara. Salah satunya adalah sebuah kerajaan
lama yang dikenali sebagai Chi tu.
Menurut Felo
Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Profesor Emeritus
Datuk Dr. Nik
Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman, Chi tu merupakan sebuah pusat pemerintahan entrepot
yang cukup terkenal sebagai transit bagi
kapal-kapal dagang satu ketika dahulu.
Jelasnya, kerajaan tersebut diterajui oleh sebuah
keturunan keluarga diraja yang dikenali dengan nama Chu dan. Difahamkan, kerajaan awal ini merupakan sebahagian pusat
pemerintahan yang berasal dari kerajaan Funan, sebuah empayar purba pertama
wujud di Asia Tenggara. Ekoran rangkaian kuat pada ketika itu, kerajaan ini
dipercayai pernah menjalin hubungan diplomatik
dengan sebuah empayar China iaitu Dinasti Sui.
Berdasarkan sebuah catatan purba China bertajuk Chi tu guo ji, ada merekodkan mengenai
kewujudan kerajaan lama ini. Ia diceritakan menerusi kisah kunjungan rombongan utusan
maharaja China pada zaman Dinasti Sui ke wilayah tersebut, sekitar tahun 607 hingga 610 Masihi.
Dalam catatan itu, kumpulan berkenaan dikatakan terpaksa
menempuh pelayaran selama 100 hari sebelum sampai ke destinasi yang ditujui. Turut
dinyatakan, lokasi kerajaan tersebut digambarkan terlalu jauh iaitu terletak di
sebelah bahagian selatan laut China.
Apa yang menariknya lagi, rekod purba tersebut turut menyatakan satu kewujudan fenomena alam
luar biasa yang terdapat di wilayah tersebut. Percaya atau tidak, sebahagian
besar tanah yang terletak di bawah penguasaan kerajaan Chi tu mempunyai satu ton warna sahaja iaitu merah. Disebabkan keadaan
luar biasa itu, pusat pemerintahan ini turut digelar oleh kebanyakan penyelidik
arkeologi dengan jolokan nama sebagai
‘Red Earth Land’.
Jelas Dr. Nik Hassan Suhaimi lagi, kerajaan Chi tu mempunyai sistem pentadbiran yang
tersusun dan sistematik. Seperti maklumat yang terdapat pada catatan purba ini,
kesemua urusan pentadbiran kerajaan selalunya dilakukan golongan yang
majoritinya berjawatan tinggi dalam pentadbiran diraja. Mereka selalunya akan
terlibat dalam semua urusan yang berkaitan hal-hal politik dan undang-undang
jenayah. Namun, ada juga di antara mereka turut ditugaskan mengawal kerajaan-kerajaan
lain yang berada di bawah takluk empayar ini.
Antaranya lagi, ia juga turut menyentuh aspek sosial dan
cara hidup golongan masyarakat Chi tu pada
ketika itu. Digambarkan, majoriti masyarakatnya mengamalkan adat seperti
bertindik telinga, memakai minyak wangi serta bunga mawar dan berpakaian kain
yang berwarna polos.
Selain itu, terdapat satu undang-undang ketat yang mesti dituruti
oleh segenap lapisan masyarakat di sana. Mereka harus mendapatkan izin terlebih
dahulu daripada raja sekiranya ingin memakai sebarang alat kelengkapan penghias
diri yang diperbuat daripada emas. Ia tidak terkecuali pada semua orang bahkan
keluarga bangsawan mesti mematuhi peraturan ini.
Dalam bab perkahwinan pula, masyarakat di sini percaya upacara
ini hendaklah dijalankan pada hari yang difikirkan bertuah dan diberkati. Kebiasaannya,
keluarga pengantin perempuan akan diraikan selama lima hari sebelum upacara perkahwinan
dilakukan. Menjelang hari ketujuh, pasangan pengantin akan disatukan dan dikehendaki
tinggal berasingan dengan keluarga masing-masing. Namun, bagi anak lelaki
bongsu mereka diwajibkan untuk tinggal bersama keluarga mereka.
Bagi upacara kematian pula, selalunya keluarga si mati akan
berkabung dan mencukur kepala serta memakai pakaian yang berwarna terang. Ketika
upacara ini dijalankan, tubuh si mati akan dibakar di tempat pembakaran yang
diperbuat daripada buluh sebelum dihanyutkan ke sungai. Kebiasaannya, upacara
akan disertai dengan pembakaran kemenyan serta tiupan seruling cangkerang siput
dan paluan gendang.
Menurut Dr. Nik Hassan Suhaimi, upacara pembakaran mayat ini
diamalkan oleh segenap lapisan masyarakat termasuk para bangsawan kelas atasan.
Namun, bagi keluarga diraja abu si mati selalunya akan disimpan di dalam botol
yang diperbuat daripada emas untuk disimpan di dalam kuil.
Jelasnya lagi, catatan purba berkenaan turut menyatakan nasi
sebagai makanan ruji bagi masyarakat Chi
tu pada ketika itu. Ia dinyatakan sewaktu rombongan utusan maharaja China yang
menerima hadiah berupa hasil barangan keluaran tempatan berkemungkinan merujuk
pada beras. Selain itu, hadiah lain seperti mahkota emas berbentuk bunga raya dan kapur
barus sebagai pembayaran ufti dan tanda bermulanya hubungan diplomatik dengan
maharaja China.
Soalnya, melalui penyelidikan arkeologi di manakah lokasi
spesifik kerajaan ini sekiranya ia terletak di bahagian selatan laut China?
Adakah kemungkinan ia terletak di sebelah bahagian pantai timur Semenanjung
Malaysia atau di lokasi lain?
Mengulas mengenai perkara tersebut, kata Dr. Nik Hassan
Suhaimi, isu ini telah menimbulkan banyak perdebatan di kalangan para
penyelidik arkeologi. Berdasarkan analisis pada catatan purba itu,
kebanyakannya bersependapat dan mengemukakan teori bahawa lokasi yang paling
sesuai adalah di sekitar daerah hulu Sungai Kelantan.
Teori ini adalah pilihan yang paling sesuai kerana ia
merupakan laluan air utama yang boleh menjadi laluan kapal-kapal bersaiz kecil
dan sederhana. Selain itu, ia juga pernah direkodkan sebagai laluan utama ke
kawasan lombong emas yang terdapat di Kelantan dan Pahang.
Berdasarkan rekod penyelidikan arkeologi, lokasi ini
pernah dihuni oleh manusia sejak 8,000 tahun lalu. Ia dibuktikan melalui
penemuan tempat pengebumian prasejarah di Gua Cha pada tahun 1954 oleh seorang
ahli arkeologi British yang bernama Gale Sieveking.
Selain itu, hasil ekskavasi di Gua Chawas, Ulu Kelantan
turut menjumpai sejumlah besar votive
tablets Buddha Mahayana yang mungkin berasal dari zaman kerajaan Srivijaya
pada abad ke sembilan hingga ke-11. Malangnya, sehingga hari ini tidak ada
bukti nyata diperoleh untuk mengesahkan lokasi kerajaan Chi tu.
Comments
Post a Comment