Battle of Jitra 1941


Sebelum Singapura dikuasai Jepun pada 11 Februari 1942, terdapat satu pertempuran yang hebat pernah direkodkan. Dikenali sebagai ‘Battle of Jitra’ atau ‘Pertempuran Jitra 1941’, ia merupakan benteng pertahanan hadapan yang penting bagi tentera British menyekat kemaraan tentera Jepun.

Malangnya, lokasi tersebut yang sepatutnya dipertahankan dalam tempoh tiga bulan akhirnya berjaya ditawan oleh tentera Jepun selama tiga hari. Disebabkan keadaan itu, pergerakan tentera Jepun berjalan lancar mengikut jadual yang dirancang kecuali menyeberangi Sungai Perak pada 15 Disember yang hanya dapat dilakukan sebelas hari berikutnya.

Menurut Pensyarah Kanan di Jabatan Sejarah, Fakulti Seni dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Dr. Azharudin Mohamed Dali, pertempuran Jitra merupakan satu peristiwa peperangan yang berlaku pada 11  hingga 13 Disember 1941. Ia merupakan satu pertempuran yang hebat berlaku di antara pasukan tentera Jepun dan tentera British.

Dalam sejarah perang dunia kedua, pertempuran di Jitra menjadi sangat signifikan kerana dua sebab. Pertama ia menjadi kawasan operasi penting bagi Fujiwara Kikan yang telah berusaha mempengaruhi tentera India dalam pasukan tentera British. Keadaan ini memberi peluang kepada pasukan Fujiwara Kikan untuk mendapatkan sokongan dua Rejimen tentera British iaitu Rejimen Punjab dan Kompeni Gurkha yang membawa kepada penubuhan Indian National Army.

Kedua, kegagalan pihak British di Jitra dalam tempoh yang sangat singkat telah membolehkan mereka bergerak semakin pantas menuju ke arah selatan. Berdasarkan perancangan pihak British, Jitra sepatutnya dipertahankan dalam tempoh tiga bulan, namun tewas hanya dalam tempoh tiga hari sahaja.

Jelasnya lagi, lokasi tersebut cukup penting bagi tentera Jepun untuk memulakan operasi ketenteraan mereka dari sebelah barat Tanah Melayu. Bagi pasukan tentera British pula, lokasi ini penting kerana kedudukannya yang sangat strategik, terutamanya mempertahankan kawasan lapangan terbang mereka yang terletak di Alor Setar. Selain itu, ia turut menjadi barisan paling hadapan bagi tentera British bagi mempertahankan Tanah Melayu setelah Operasi Matador gagal dilaksanakan.

Mengikut kronologi pertempuran ini, tentera Jepun telah melancarkan serangan secara berterusan selama tiga hari berturut-turut. Pertempuran ini bermula pada 11 Disember 1941, apabila kemaraan tentera Jepun memasuki sempadan Thailand dan Tanah Melayu (Changlun) telah diserang hendap oleh sepasukan tentera pelindung British.

Pasukan tersebut yang terdiri daripada 1/14 Rejimen Punjab telah diarahkan supaya menyekat kemaraan musuh di utara Jitra, sekurang-kurangnya menjelang waktu subuh. Malangnya, serangan hendap itu tidak berhasil dan mereka ditewaskan oleh tentera Jepun selepas empat jam bertempur.

Kemudian, pasukan tentera Jepun yang dipimpin oleh Kolonel Shizuo Saeki itu meneruskan kemaraan ke sebuah lagi lokasi yang dikenali Asun. Dari situ, pasukan tentera Jepun yang lengkap dengan bantuan kereta perisai telah menyerang pasukan tentera pelindung British, 2/1 Rejimen Gurkha. Dalam pertempuran tersebut, tentera Jepun sekali lagi berjaya mengalahkan pasukan pertahanan tentera British.

Ekoran kekalahan di dua lokasi itu, pihak tentera British terpaksa mempertahankan satu lagi kubu mereka. Ia terletak di sebuah kawasan yang dikenali sebagai Nongka, kira-kira dua batu dari kedudukan pos luar Asun. Namun, tentangan sengit yang dilancarkan oleh pihak musuh tidak berjaya dipatahkan oleh pasukan pertahanan yang diketuai oleh Brigedier Jeneral K.A. Garrett. Akhirnya, benteng pertahanan pasukan tersebut berjaya ditembusi sekali gus dikuasai oleh tentera musuh.

Pada 12 Disember 1941, Komander tentera Jepun dari Briged Infantri kesembilan, Mejar Jeneral Kawamura, telah mengarahkan dua pasukan tentera Jepun iaitu dari Rejimen 40 dan Rejimen 41 mengadakan serangan serentak di bahagian timur jalan Jitra-Changlun.

Di lokasi ini, tentera Jepun sekali lagi bertempur dengan pasukan pertahanan tentera British yang terdiri daripada 2/9 Rejimen Jats dan 1st Leicesters. Sewaktu pertempuran berlaku, kemenangan dilihat memihak pasukan tentera Jepun yang memiliki kelebihan dari segi taktik peperangan sehingga memaksa pasukan tentera British yang berada di kedudukan itu berundur ke Sungai Jitra dan Gurun.

Pada sebelah malamnya pula, tentera Jepun meneruskan kemaraan dan membuat serbuan di jambatan Sungai Bata. Bagaimanapun, serangan tersebut berjaya dipatahkan oleh sepasukan pertahanan British yang terdiri daripada 2/2 Rejimen Gurkha. Pada masa yang sama, Rejimen tersebut turut meletupkan jambatan berkenaan sebelum berundur melalui pertahanan belakang yang terdiri daripada pasukan 2/9 Rejimen Gurkha.

Bagaimanapun, tentera Jepun melakukan serangan balas terhadap kedua-dua pasukan tentera pertahanan tersebut. Sewaktu pertempuran berlaku, benteng pertahanan tentera British dilihat mulai kucar-kacir akibat serangan bertubi-tubi yang dilancarkan oleh pihak tentera Jepun. Akhirnya, lokasi terbabit gagal dipertahankan menyebabkan tentera musuh berjaya mara ke lokasi seterusnya iaitu Jitra.

Di Jitra, pasukan tentera Jepun tidak diberi tentangan langsung daripada tentera British. Difahamkan, pasukan pertahanan terakhir yang terdiri daripada 2/6 Rejimen Gurkha telah berundur dari kawasan itu.


Pada awal pagi 13 Disember 1941, Jepun akhirnya berjaya menguasai pekan Jitra dan merampas pelbagai peralatan yang ditinggalkan oleh tentera British. Dalam peristiwa yang digelar sebagai ‘Disaster in Jitra’, ramai tentera British telah terkorban. Meskipun tidak ada jumlah yang sebenar, namun dikatakan ratusan tentera mati di dalam peristiwa peperangan itu. Sementara di pihak Jepun, angka tentera yang terkorban kurang daripada 50 orang.

Comments

Popular posts from this blog

Pengawal Rumah Melayu Lama

Laluan rahsia Genting Bidai

Air yang menyembuhkan penyakit