Usia 30 tahun tapi fizikal macam bayi

 Dari segi lahiriah memang ramai akan menyangka dia adalah seorang bayi. Namun, jika diukur menerusi usianya dia adalah seorang wanita yang telah berumur 30 tahun! Itulah keadaan yang dialami oleh seorang wanita dari Brazil, Maria Audete do Nascimento yang mengalami satu penyakit ganjil sejak lahir lagi.

Dilahirkan pada 7 Mei 1981, wanita pelik ini hidup dalam serba kekurangan dalam sebuah keluarga miskin di sebuah daerah yang dikenali Ceara, Brazil. Disebabkan penyakit yang dialaminya itu, kehidupan seharian wanita tersebut diuruskan sepenuhnya oleh bapa dan ibu tirinya.  Menurut ibu tiri wanita berkenaan, Dora, kesan daripada penyakit tersebut anak tirinya tidak mampu bergerak ke mana-mana tempat sekalipun. Ibarat seperti seorang bayi, keadaan Maria tidak sama seperti orang lain yang sebaya dengannya. Lebih malang lagi, kata Dora, tidak pernah mendengar anak tirinya mengucap sepatah perkataan kecuali menangis apabila lapar atau ingin membuang air kecil dan besar.

Bertambah sukar lagi, keluarga Maria tidak mampu untuk menanggung segala kos rawatan wanita tersebut yang sangat mahal. Disebabkan keadaan itu, Dora dan suaminya mengambil keputusan untuk tidak menjalani sebarang rawatan dan akan menjaga Maria seperti biasa.

Meskipun keadaan mereka sekeluarga miskin, Dora sentiasa menjaga anak tirinya itu dengan penuh kasih sayang. Semenjak Maria dilahirkan, dia tidak pernah menganggap anak tirinya sebagai satu masalah besar yang perlu dihadapinya. Malah, dia lebih bersemangat dan percaya anak tirinya merupakan satu hadiah bermakna yang diutus oleh tuhan.

Berikutan itu, kisah penyakit pelik yang dihidapi oleh Maria mendapat liputan meluas oleh media tempatan. Ramai yang simpati dengan masalah yang dialami wanita tersebut dan cuba menghulurkan bantuan. Salah satunya adalah sekumpulan pakar perubatan dari sebuah fakulti perubatan Universiti Ceara yang secara sukarela menawarkan untuk melakukan pemeriksaan secara percuma ke atas wanita berkenaan.

Setelah melakukan beberapa siri ujian, kumpulan pakar tersebut menemui punca sebenar yang menyebabkan keadaan fizikal wanita itu kelihatan seperti bayi. Keadaan itu adalah disebabkan kekurangan sejenis hormon yang dipanggil  tiroksin- hormon yang dihasilkan melalui kelenjar tiroid.

Bagi kes Maria, dia telah didiagnosis mengalami kekurangan hormon tiroksin yang sangat serius. Disebabkan keadaan penyakitnya terlalu lama, kumpulan sukarelawan yang terdiri daripada pakar-pakar perubatan tersebut tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyembuhkan penyakit yang dihidapi wanita tersebut.  
Hormon tiroksin merupakan sejenis hormon yang penting dalam semua aktiviti metabolisme, termasuk menentukan kadar degupan jantung dan kecekapan badan membakar kalori daripada makanan. Namun, ada masanya kelenjar tiroid tidak dapat berfungsi dengan cekap dan menjadi tidak aktif, menyebabkan penghasilan hormon tiroksin terganggu.

Keadaan kelenjar tiroid tidak aktif ini dipanggil hipotiroidisme. Apabila keadaan ini berlaku ia akan menjejaskan keseluruhan fungsi badan. Berdasarkan rekod perubatan, sudah berjuta orang mengalami masalah ini, tetapi tidak menyedarinya kerana gejala kekurangan tiroksin bersifat sangat umum.

Dianggarkan 200 juta penduduk di dunia mengalami masalah ini. Bagaimanapun tidak ramai mendapatkan rawatan kerana gejala yang dialami dianggap perkara biasa. Masalah hipotiroidisme  lebih kerap berlaku pada wanita tujuh hingga lapan peratus berbanding lelaki sebanyak tiga peratus.    


Selain itu, gejala penyakit ini juga turut terjadi pada bayi dan kanak-kanak. Tapi, kadarnya lebih rendah iaitu satu kes bagi 4,000 orang. Namun, perlu ingat kerana bayi atau kanak-kanak perempuan mempunyai kebarangkalian dua kali lebih tinggi menghidapi hipotiroidisme berbanding lelaki.

Comments

Popular posts from this blog

Air yang menyembuhkan penyakit

Manusia kembar dengan binatang

Kenapa burung nuri boleh bercakap?