Taman khayalan Maranhenses, Brazil

Keindahan sebuah taman negara yang dikenali Lençóis Maranhenses, Brazil, pasti membuatkan sesiapa sahaja terpukau serta merasakan diri mereka tidak  lagi berpijak di bumi yang nyata. Ia merupakan sebuah lokasi yang mempunyai landskap eksotik  mirip seperti sebuah taman khayalan.

Seorang bekas Pengarah taman tersebut, Carolina Alvite berkata, keunikan dan keindahan landskap yang terdapat di taman ini membuatkan seseorang itu seakan-akan seperti berada di sebuah dunia Parallel. Sukar untuk digambarkan, bila berada di taman ini semuanya terasa ajaib, asing dan pelik. Pendek kata, ia seolah-olah bukan sebahagian daripada bumi, sebaliknya berada di dalam sebuah taman syurga.

Lantaran keadaan semula jadinya begitu, lokasi tersebut digelar sebagai ‘Bedsheets of Maranh’. Terletak di bahagian timur laut di negara Brazil, taman itu turut menarik perhatian dengan kewujudan sebuah kawasan seolah-olah seperti sebuah padang pasir yang berwarna putih. Ia dilitupi bukit-bukit pasir yang berbentuk seperti bulan sabit dan terdapat banyak lagun di antara beting pasir yang kelihatan seperti fatamorgana.

Menurut penyelidik geografi dari University of Maranhão, Antonio Codeiro Feitosa, taman Lençóis Maranhenses tidak dikategorikan sebagai padang pasir kerana taburan hujan di kawasan berkenaan mencapai sehingga 120 sentimeter atau lebih setahun. Kuantiti tersebut jauh lebih tinggi jika dibandingkan taburan hujan di padang pasir yang kurang daripada 25 sentimeter setahun.

Codeiro mengemukakan teori yang berkemungkinan taburan hujan yang tinggi di kawasan itu telah menyebabkan  paras air sungai dua sungai berhampiran iaitu Parnaíba dan Preguiças meningkat, sekali gus membawa pasir daripada pedalaman dan mendap ke pesisiran pantai. Apabila tiba musim kemarau terutama pada bulan Oktober dan November, angin di bahagian timur laut bertiup membawa pasir berkenaan sejauh 48 kilometer ke daratan lalu membentuk landskap mirip seperti padang  pasir.

Berbeza dengan padang  pasir, taman  Lençóis Maranhenses masih lagi memiliki hidupan. Antaranya, sejenis spesies ikan yang dikenali ikan serigala (Hoplias malabaricus). Spesies ini banyak ditemui di dalam  lagun sewaktu musim tengkujuh pada bulan Januari hingga bulan Jun. Namun, apabila tiba musim kemarau ikan ini akan bermigrasi ke pesisir pantai dan bersembunyi di dalam lumpur.

Selain spesies ikan serigala, taman ini juga turut dihuni sejumlah kecil komuniti manusia. Mereka ini merupakan komuniti orang asli yang tinggal di dua buah kawasan oasis  iaitu Queimada dos Britos dan Baixa Grande. Dianggarkan, bilangan komuniti  yang tinggal di landskap eksotik ini adalah 90 orang. 

Hal ini turut mendapat perhatian daripada seorang pensyarah dari Jabatan Sains Alam Sekitar, Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Shaharin Ibrahim. Jelas beliau, terdapat dua faktor yang menentukan kewujudan sesebuah padang pasir iaitu curahan hujan dan tekanan suhu yang ekstrem.

Kata Dr. Shaharin, sesebuah padang pasir biasanya memiliki kadar curahan hujan yang amat sedikit iaitu kurang daripada 10 hingga 20 Inci setahun. Pada takat ini, keadaan suhu persekitaran boleh mencapai sehingga 40 darjah Celsius pada waktu siang. Disebabkan dua faktor ini, kawasan padang pasir tidak mampu untuk menakung air yang banyak kerana proses pemeluapan air ke udara berlaku dengan cepat. Kuantiti tersebut jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan taburan hujan di Malaysia yang mencatat ukuran 2500 meter sepanjang tahun.

Ekoran ekosistemnya yang ekstrem, jelas Dr. Shaharin, hanya hidupan yang tertentu sahaja yang mampu hidup di kawasan padang pasir. Sebagai contoh, sejenis spesies tumbuhan yang dikenali pokok kaktus. Berbanding dengan tumbuhan lain, pokok ini mampu menyimpan banyak air pada daun, pangkal, dan akar bagi membolehkan ia hidup di kawasan kering seperti padang pasir.

Soalnya, sejak bilakah padang pasir itu wujud? Jelas Dr. Shaharin, sukar untuk dipastikan angka yang tepat tarikh sebenar kewujudan padang pasir. Namun, mengikut teori Ice Age  yang dikemukakan oleh para penyelidik dari barat, berkemungkinan padang pasir  wujud selepas 20,000 tahun yang lalu. Pada ketika ini, perubahan cuaca di dunia mulai berubah dan menyebabkan ais yang meliputi permukaan bumi mula mencair.

Mengulas lanjut mengenai kewujudan pasir yang berwarna putih di taman Lençóis Maranhenses, kata Dr. Shaharin, berkemungkinan berlaku akibat proses tindak balas kimia yang dikenali sebagai ‘Leaching’. Proses ini berlaku secara semula jadi akibat  tindak balas kimia air hujan yang menghakis kandungan oksida pada permukaan pasir- warna pasir akan berubah menjadi jernih. Di Malaysia, kewujudan pasir berwarna putih turut ditemui di sebuah daerah yang dikenali Semilajau, Bintulu, Sarawak. Pasir ini merupakan sejenis bahan mentah yang dieksport ke negara Jepun untuk diproses menjadi kaca.


Kerana keanehannya itu, taman Lençóis Maranhenses menjadi semakin terkenal dan sering dikunjungi para pelancong dalam dan luar negara. Kebanyakan mereka yang datang terpesona melihat pemandangan yang menakjubkan di kawasan tersebut.

Comments

Popular posts from this blog

Air yang menyembuhkan penyakit

Manusia kembar dengan binatang

Kenapa burung nuri boleh bercakap?