Sewa wajah untuk promosi iklan
Umumnya kita ketahui, iklan adalah satu bentuk
komunikasi bagi menarik seseorang pembeli, mempromosikan sesuatu produk,
mempengaruhi kumpulan masyarakat atau sebagainya. Jika dilihat pada trend pada
hari ini, iklan kebiasaannya disalurkan melalui pelbagai medium seperti media
cetak, media elektronik dan juga media baru.
Namun, lain pula halnya apabila seorang lelaki bernama,
Uwe Troschel,
bertindak menyewakan wajahnya sekali gus dijadikan medium untuk mempromosikan sesuatu
iklan. Bunyinya seperti tidak masuk akal dan pelik, tapi bagi lelaki yang
berasal dari Jerman ini menganggap ia berkesan baginya untuk mendapatkan wang
dengan lebih cepat dan banyak.
Mengikut sebuah laman portal, Death and Taxes
Magazine, lelaki pelik ini telah melakar tujuh bahagian pada wajahnya. Setiap
bahagian diletakkan harga tertentu bagi mempamerkan iklan yang ingin
dipromosikan.
Bahagian pertama iaitu di atas dahi, lelaki ini
menawarkan harga sebanyak 50,000 euro. Manakala, pada bahagian batang hidung ke
mulut, harga yang ditawarkannya agak murah iaitu 2,000 euro. Di bahagian ketiga
iaitu permukaan atas kedua-dua belah pipi, harga iklan yang
ditawarkan berjumlah 20,000 euro.

Soalnya, apakah punca yang menyebabkan lelaki ini
bertindak sedemikian? Adakah perkhidmatan yang ditawarkannya berjaya? Jika
dilihat pada logik akal, ia adalah satu perbuatan yang tidak pernah dilakukan oleh
manusia normal lain. Tambahan pula, terdapat banyak lagi agensi-agensi pengiklanan
yang menawarkan perkhidmatan secara percuma.
Menurut Troschel, sebab utama mengapa dia sanggup
menyewakan wajahnya adalah kerana seekor anjing peliharaannya yang diberi nama
St. Bernard. Haiwan ini sangat disayanginya dan dianggap sebahagian daripada
keluarga lelaki ini.
Disebabkan itu, dia telah meluahkan hasrat untuk menghadiahkan
sesuatu istimewa pada anjing peliharaannya. Percaya atau tidak, hadiah yang
dimaksudkan adalah membina sebuah muzium khas bagi St. Bernard. Malangnya,
akibat kekangan wang yang tidak mencukupi, hasrat tersebut masih lagi belum
kesampaian.
Ujar lelaki itu, dia pernah mencuba pelbagai alternatif
yang membolehkannya mendapat dana yang secukupnya membina muzium tersebut. Bagaimanapun,
usaha yang dilakukan masih menemui jalan buntu.
Biarpun gagal, dia tetap berusaha mencari jalan sehinggalah
mendapat idea gila ini. Jelasnya, idea tersebut datang secara tidak sengaja sewaktu
berada di kediamannya. Pada ketika itu, dia sedang menatap wajahnya di cermin.
Troschel mula menyedari, mungkin wajahnya boleh
digunakan untuk mempamerkan iklan. Tambahan pula, ia langsung tidak menggunakan
sebarang modal besar. Oleh itu, lelaki tersebut terus melakar wajahnya dengan
menggunakan pen berwarna hitam. Terdapat tujuh bahagian berbentuk segi empat dan
setiap satunya di tanda dengan harga tertentu.
Ekoran tabiat peliknya itu, ramai orang
termasuklah di dalam dan luar negara meluahkan pelbagai reaksi terhadap lelaki
itu. Kebanyakan daripada mereka tidak bersetuju dan menganggap ia adalah satu
perbuatan yang membuang masa. Namun, ada di antara mereka turut meluahkan rasa
terkejut kerana belum pernah melihat individu di dunia ini sanggup menyewakan
wajah untuk promosi iklan.
Selain itu, kisah mengenai Troschel turut mendapat
liputan meluas media-media di seluruh dunia. Kisah mengenai lelaki berkenaan
menjadi berita hangat yang diperkatakan oleh semua orang. Ini kerana, ramai
yang ingin tahu apakah sebab yang menyebabkan Troschel sanggup menyewakan
wajahnya.
Selain daripada lelaki itu, terdapat seorang lagi
individu yang bertindak menyewakan wajahnya untuk promosi iklan. Individu
tersebut adalah seorang wanita dari Amerika Syarikat yang bernama, Kari Smith.
Wajah wanita ini telah mendapat perhatian sebuah kasino
terkenal di negara itu yang dikenali sebagai Golden palace. Difahamkan, pihak pengurusan kasino ini sanggup
menawarkan habuan sebanyak $10,000 dolar kepada Smith. Iklan berbayar tersebut yang
tertera Goldenpalace.com, dicacah
khas pada bahagian dahi wanita berkenaan.
Comments
Post a Comment