Misteri Otak Manusia 2500 tahun
Pada tahun
2008, sekumpulan penyelidik arkeologi dari University of Bradford, England,
mendakwa telah menjumpai satu tengkorak manusia yang berusia 2500 tahun. Anehnya,
ketika kumpulan itu sedang melakukan ekskavasi di sebuah kompleks di University
of York, Heslingston timur, mereka menemui satu gumpalan otak manusia yang
masih berkeadaan baik dan tidak reput di dalam tengkorak tersebut.
Menurut
ketua kumpulan penyelidik itu, Dr. Sonia O’Connor, menganggap penemuan
tersebut adalah sesuatu yang amat mengagumkan. Ini kerana, ia adalah penemuan
yang pertama kali dalam sejarah arkeologi dijumpai.

Berdasarkan
kajian selanjutnya ke atas dua tulang rahang dan satu tulang leher mendapati,
tengkorak itu berkemungkinan milik seorang lelaki yang dianggarkan berusia 26
hingga 45 tahun. Kata O’Connor, kajian tersebut turut menemui tanda-tanda
kecederaan serius pada bahagian tulang leher seolah-olah lelaki ini mati akibat
digantung atau kepalanya dipenggal.
Persoalannya,
apakah penyebab utama gumpalan otak tersebut tidak terurai? Apakah ianya
mungkin diawet dengan menggunakan bahan-bahan kimia tertentu?
Sekalipun
mempunyai pengalaman luas dalam bidang arkeologi dan pengawetan otak manusia,
namun O’Connor masih tidak dapat menjelaskan bagaimana perkara itu boleh
berlaku. Ini kerana, setelah dilakukan kajian yang terperinci tidak menemui
sebarang tanda bahawa otak yang dijumpai itu sengaja diawet.
Bagaimanapun
beliau mengemukakan teori bahawa punca otak tersebut tidak terurai kemungkinan
adalah disebabkan ia ditanam dengan serta-merta. Melalui kaedah ini,
kemungkinan kandungan gas oksigen tidak dapat memenuhi ruang-ruang di dalam
otak, seterusnya menyebabkan ia tidak reput.
Pun begitu,
teori tersebut disangkal oleh sesetengah pengkaji arkeologi lain. Ini kerana,
mereka percaya bahawa otak itu tidak terurai kemungkinan disebabkan faktor
perubahan fisiologi badan seperti rasa lapar, sekali gus mempengaruhi proses
pengawetan di dalam otak.
Sementara
itu, seorang Pengarah dari York Archeology Trust, England, Richard Hall turut
mengemukakan teori bahawa tengkorak tersebut dianggarkan berusia antara 2400
hingga 2600 tahun. Lokasi penemuan itu pada masa lalu merupakan wilayah
penempatan tetap kerana terdapat sistem perparitan yang telah dibina oleh
masyarakat yang mendiami kawasan tersebut. Dapat dipastikan, tengkorak itu
bukan milik masyarakat Rom kerana penghijrahan mereka ke Heslington sekitar 71
Masihi, sedangkan anggaran usia tengkorak tersebut beberapa ratus tahun lebih
tua daripada itu.
Selain sistem
perparitan, di lokasi tersebut juga dijumpai dua objek lain iaitu bekas jerami
dan bekas simpanan air. Peliknya, ketika ekskavasi dilakukan kumpulan
penyelidik itu gagal menemui rangka manusia lain.
Hal ini
turut mendapat perhatian Ketua Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Putrajaya,
Dr. Nizam Amil. Berdasarkan pemerhatian kasar mendapati, otak tersebut
merupakan satu contoh hasil proses pengawetan yang baik. Proses pengawetan
seperti ini dikenali sebagai ‘Embalming’.
Mengikut
rekod sejarah perubatan, proses pengawetan ini telah dipelopori oleh bangsa Mesir sejak tahun 3000 Sebelum
Masihi iaitu sewaktu proses pembuatan mumia.
Melalui proses ini, bangsa Mesir percaya bahawa kononnya roh si mati akan
berada di sisi mayat selagi ia tidak hancur. Tambahnya lagi, selain bangsa
Mesir, kaum Incas di Peru, penduduk peribumi Asli di Australia dan masyarakat di Cina pada
Era Dinasti Han turut melakukan proses pengawetan mayat.
Pada waktu itu, bahan pengawet yang
digunakan adalah rempah ratus, herba dan
damar wangi. Manakala, proses Embalming pada hari ini banyak
menggunakan sejenis cecair yang dikenali larutan Formalin yang telah di campur
dengan Glutaraldehyde, Ethanol, Humectants, bahan pelembap dan bahan- bahan yang lain. Kemudian,
larutan Formalin ini akan dimasukkan melalui Common Carotid Artey atau Femoral Artery pada tubuh
mayat tersebut. Di Malaysia ini hanya terdapat beberapa syarikat yang diberi lesen
untuk melakukan proses Embalming ini.
Jelas Dr. Nizam, setiap mayat akan
mengalami proses pereputan apabila fungsi kehidupan manusia terhenti-fungsi
otak dan jantung telah mati. Proses ini bermula apabila bakteria-bakteria yang
terdapat di dalam tubuh akan memakan kesemua sel dan tisu di dalam badan.
Comments
Post a Comment