Misteri harta karun Kapten Kid: Bahagian kedua



Pulau Gardiner
Selepas kematian Kapten Kidd akibat dihukum gantung pada 23 Mei 1701, timbul pelbagai kepercayaan bahawa Kidd telah meninggalkan harta karun. Dalam tempoh kira-kira 300 tahun, kegiatan perburuan harta karun tidak henti-henti dilakukan di sekitar pantai New York dan kawasan berhampiran bagi mencari harta yang disembunyikan oleh kapten kapal perang itu.

Persoalannya, apakah harta karun Kapten Kidd benar-benar wujud? Sejauh manakah kukuhnya bukti-bukti yang menunjukkan lokasi sebenar ia disembunyikan?

Ya! Jawapannya memang benar bahawa Kidd pernah menanam sebahagian kecil hartanya. Difahamkan, harta tersebut telah dijumpai oleh seorang gabenor New York, Lord Bellomont, di sebuah tempat yang dikenali ‘Cherry Tree Field, Gardiner Island, New York, Amerika Syarikat. Kawasan ini dikatakan pernah menjadi tempat persinggahan Kidd sebelum menyerah diri kepada Lord Bellomont di Boston.

                         
Pulau Tarakajima
Ekoran itu, berita mengenai penemuan harta berkenaan telah mendapat perhatian daripada kerajaan England. Lord Bellomont telah diarahkan supaya menyelidiki harta itu dan menghantarnya ke England.

Selepas menyiasat penemuan itu, Bellomont dapati, terdapat beberapa lagi lokasi yang digunakan Kidd untuk menyimpan harta berkenaan. Antaranya Charles Island, Block Island, Clark Island dan Money Island. Malangnya, maklumat keempat-empat lokasi ini tidak jelas untuk membuktikan wujudnya harta karun Kidd di situ.'

Bagaimanapun, terdapat bukti yang mengesahkan Kidd dan anak kapalnya pernah berlabuh di sebuah lokasi yang dikenali Grand Manan Island, Kanada. Sekitar tahun 1875, pulau ini sangat terkenal dan menjadi tumpuan para pemburu harta karun Kapten Kidd. Malangnya, kedatangan pemburu harta karun ke pulau berkenaan tidak menemui sebarang petunjuk wujudnya harta karun Kidd di situ.


Pulau Clark
Terdapat juga bukti menyebut Kidd pernah menyerang sebuah lokasi di kepulauan Tokara, selatan Kagoshima, Jepun. Lokasi tersebut dikenali Pulau Takarajima atau turut digelar Treasure Island. Dipercayai, Kidd dan anak kapalnya telah berlabuh di pulau berkenaan untuk mendapatkan bekalan makanan. Namun, kedatangan Kidd ke pulau itu tidak disenangi oleh penduduk tempatan. Mereka tidak mahu memberikan bekalan makanan untuk Kidd dan anak kapalnya.

Berang dengan tindakan penduduk di pulau itu, Kidd dan anak kapalnya telah menyerang dan membakar mereka hidup-hidup. Semua harta milik penduduk di pulau terbabit turut dirampas. Difahamkan, selepas peristiwa serangan itu, Kidd dan anak kapalnya telah menyembunyikan harta rampasan di sebuah gua yang terletak di dalam pulau tersebut sebelum kembali ke England untuk menjalani hukuman.

Pada tahun 1983, terdapat satu lagi petunjuk mengatakan sebahagian harta Kidd berada di sebuah pulau yang dikenali Phú Quốc, di kepulauan Vietnam. Perkara ini dibuktikan oleh dua orang pemburu harta karun, Cork Graham dan Richard Knight yang melakukan ekspedisi menjejaki harta karun Kidd. Malangnya, ekspedisi tersebut gagal apabila kedua-duanya telah ditahan oleh pihak berkuasa Vietnam.

Knight dan Graham telah ditangkap dan disabitkan kesalahan kerana berlabuh di wilayah Vietnam secara haram dan telah dikenakan denda sebanyak $10,000. Mereka telah dipenjarakan selama 11 bulan sehingga denda tersebut dibayar.



Penemuan bangkai kapal Quedah yang  dijumpai oleh
sekumpulan penyelidik  dari  Universiti Indiana
Kemudian, pada 13 Disember 2007, sekumpulan ahli arkeologi dari Universiti Indiana, Amerika Syarikat mendakwa telah menemui sebuah bangkai kapal di kepulauan kecil Catalina Carribean, Republik Dominican. Bangkai kapal tersebut telah ditemui pada kedalaman 10 kaki dari permukaan air laut. Bagaimanapun, tiada sebarang bukti mengenai harta Kapten Kidd yang ditanam sejak kurun ke 17. Tetapi, berdasarkan kajian yang dilakukan oleh kumpulan penyelidik itu mendapati, bangkai kapal terbabit terbukti adalah kapal dagang Quedah.

Pulau Phu-Quoc-Ban-Do, Vietnam
Sebagai penambah perisa di dalam cerita pencarian misteri ini, muncul pula khabar angin mengatakan Kapten Kidd ada menyembunyikan empat keping peta di dalam sebuah perabot miliknya. Menurut dua orang adik beradik yang mengendalikan sebuah muzium lanun di Britain, Guy dan Hubbert Palmer mendakwa, semua peta tersebut telah ditemui mereka di dalam laci meja tulis milik Kidd.

Bagi membuktikan penemuan itu asli, Guy dan Hubbert telah membawa keempat-empat keping peta tersebut ke Muzium Britian untuk menjalani ujian radiokarbon. Hasil daripada ujian berkenaan mendapati, peta itu adalah asli. Malangnya, peta terbabit yang berkeadaan lusuh dan rosak menyukarkan usaha untuk mentafsirkannya.

Justeru, pihak muzium Britian telah membuat salinan baru dengan menyurih semula empat keping peta berkenaan. Ia telah diteliti beberapa pencari harta karun, namun sehingga kini tidak seorang pun menemui apa-apa petunjuk lokasi harta dalam peta berkenaan.

Berikutan itu, pihak perpustakaan Britain telah menyangkal keaslian peta yang dijumpai oleh Guy dan Hubbert. Menurut pengurus bahagian peta di perpustakaan itu, Peter Barber, kemungkinan peta itu adalah palsu dan kewujudannya hanyalah untuk mengelirukan orang ramai. Ini mungkin dilakukan oleh lanun untuk menyelamatkan harta mereka daripada ditemui orang luar.

Bagaimanapun, seorang pemburu harta karun,Paul Hawkins, tidak bersetuju dengan pendapat Barber. Jelasnya, empat keping peta itu sememangnya asli dan tidak perlu dipertikaikan kesahihannya. Hawkins juga mendakwa telah berjaya mengesan lokasi sebenar harta karun Kidd. Katanya, lokasi tersebut adalah sebuah kawasan pulau yang berada di sekitar perairan Lautan Hindi. Namun sampai ke hari ini, Hawkins masih tidak tahu di manakah koordinat tempat itu kerana perubahan bentuk muka bumi dan juga aktiviti pergerakan plat yang menyebabkan perubahan koodinasi.

Comments

Popular posts from this blog

Air yang menyembuhkan penyakit

Manusia kembar dengan binatang

Kenapa burung nuri boleh bercakap?