Misteri harta karun Kapten Kid: Bahagian Pertama

Potret yang dipercayai lukisan Kapten Kidd
Salah satu daripada beberapa rekod mengenai seorang lanun yang telah menanam hartanya adalah ‘Kapten Kidd’. Mengikut sejarah latar belakang kehidupannya, Kidd merupakan seorang pemilik kapal perang peribadi dan akhirnya menjadi lanun pada akhir kurun ke-17.

Kidd atau nama sebenarnya William Kidd dilahirkan di Greennock, Scotland pada tahun 1645. Kisah hidup pada awal 45 tahun latar belakangnya tidak diketahui umum. Tetapi pada awal tahun 1690-an, dia mula dikenali dan dihormati khususnya kalangan para pedagang di sekitar New York, Amerika Syarikat.

Menjelang tahun 1695, Kidd telah mendapat tawaran sebuah kapal perang peribadi dari Gabenor New York, Lord Bellomont supaya menumpaskan kegiatan lanun yang merompak kapal-kapal dagang di sekitar Lautan Hindi. Selain mendapat sebuah kapal perang yang diberi nama Adventure Galley, Kidd turut ditawarkan ganjaran yang lumayan sekiranya berjaya merampas harta hasil rompakan lanun.

Pada bulan April, 1696, Kidd bersama anak kapalnya mula meninggalkan London dan memburu lanun di Lautan Atlantik sehingga ke pantai New York. Kidd kemudian berpatah balik hingga ke Laut Merah pada bulan Ogos. Pada pertengahan Disember tahun yang sama, kapal Adventure Galley yang dinaiki Kidd beserta anak-anak kapalnya kembali ke Lautan Atlantik untuk memburu lanun yang bermaharaja lela di perairan tersebut dan merampas harta mereka. Ketika berada di lautan tersebut, mereka bertembung dengan kapal tentera laut di raja England.

Menyedari kapal yang dinaiki Kidd itu dari England, kapten yang mengetuai kapal tentera laut diraja meminta bantuan anak kapal Kidd bagi menggantikan tentera mereka yang terkorban. Mengikut undang-undang England, tentera laut diraja mempunyai hak untuk mengambil separuh daripada tenaga kerja dari mana-mana kapal yang mengibarkan bendera England.

Bimbang misinya tergendala, pada sebelah malam Kidd dan anak-anak kapalnya menyusup secara senyap belayar meninggalkan kapal tentera laut diraja berkenaan. Disebabkan tindakan Kidd meninggalkan skuad itu, kapten pasukan tentera laut menyangka dia merancang sesuatu yang tidak baik. Maka sebaik sahaja pasukan itu selamat sampai ke Afrika, mereka pun menyebarkan khabar angin bahawa Kapten Kidd adalah seorang lanun.

Pada akhir Januari 1697, kumpulan pelayar tersebut sepatutnya berlabuh di Cape of Good Hope (Tanjung Harapan), Afrika. Malangnya, mereka tidak dapat singgah kerana tentera laut d raja England telah pun berada di situ. Justeru, Kidd mengarahkan anak-anak kapalnya menukar laluan ke sebuah lokasi lain iaitu ke Pulau Madagascar, iaitu syurga lanun yang terletak di Timur Laut, Lautan Hindi, berhampiran dengan benua Afrika.

Pada masa yang sama, kumpulan pelayar tersebut mengalami situasi getir apabila bekalan makanan dan air semakin berkurangan. Bimbang keadaan itu berterusan, Kidd mengambil keputusan untuk menyerang dan merompak mana-mana kapal dagang yang melalui kepulauan itu.

Biarpun sudah banyak kapal-kapal dagang ditawannya, Kidd masih tidak berpuas hati. Dia merancang belayar ke Laut Merah. Kali ini, kumpulan tersebut mensasarkan sebuah kapal dagang yang penuh dengan muatan berharga yang dijangka akan belayar melalui Laut Merah.

Akhirnya, pada penghujung Januari 1698, sebuah kapal dagang yang dikenali sebagai Quedah telah diserang oleh Kidd dan anak-anak kapalnya sewaktu ia melalui laut tersebut. Dengan mengibarkan bendera Perancis pada kapal, Kidd dan anak-anak kapalnya berjaya merampas harta yang mencecah 7,000 pound sterling terdiri daripada sutera, kain kasa, kain belacu, gula, candu, besi, kalium nitrat dan banyak lagi. Selain itu, Kidd turut merampas kapal berkenaan dan menamakannya semula sebagai Adventure Prize.

Surat yang ditulis Kidd sebelum dijatuhi hukuman bunuh

Berita mengenai serangan Kidd dan anak-anak kapalnya ke atas kapal dagang Quedah itu sampai kepada pihak kerajaan England. Keadaan bertambah buruk lagi apabila kapal dagang tersebut adalah milik seorang pedagang yang berpengaruh bernama Muklis Khan. Dia yang tidak berpuas hati terhadap serangan itu, meminta kerajaan England menggantikan semua kerugian yang dialaminya.

Malang bagi Kidd, serangan itu telah mengubah pandangan kerajaan England dan mengisytiharkannya sebagai lanun yang paling dikehendaki. Kidd juga telah dibuang negeri dan hidup dalam buangan.

Setahun kemudian, Kidd yang berada di pulau Carribean telah dimaklumkan bahawa dia dibenarkan kembali ke New England. Namun, sebelum Kidd pulang ke tanah airnya dia dikatakan telah berlabuh di beberapa tempat sekitar persisiran New England. Difahamkan, lokasi yang paling kerap dilawatinya adalah sebuah pulau yang dikenali ‘Gardiners’ untuk menyembunyikan sebahagian besar hartanya.

Bagi mengelirukan pihak berkuasa, Kidd turut dikatakan berhubung dengan gabenor Massachusetts melalui peguamnya dengan menyatakan, harta rampasan telah didermakan dan menyerahkan satu dokumen sulit hartanya yang keseluruhannya bernilai 30,000 pound sterling.

Setelah segalanya selesai, Kidd pulang ke England dan menyerah diri kepada gabenor Bellomont di Boston. Namun, sesuatu yang tidak dijangka telah berlaku. Dokumen sulit miliknya hilang secara misteri sewaktu perbicaraan kesnya dijalankan di mahkamah. Ekoran itu, Kidd telah didapati bersalah dan dijatuhi hukuman bunuh.

Mengikut rekod dari kerajaan England, terdapat sepucuk surat yang ditulis Kidd menyatakan akuan sumpahnya yang mengaku menyimpan harta yang bernilai lebih 100,000 pound sterling. Surat tersebut ditulis pada 7 Mei 1701 sewaktu Kidd menunggu hukuman gantung dalam sebuah sel di penjara Newgate. Pada tarikh 23 Mei 1701, Kidd akhirnya mati digantung. Mayatnya kemudian dibiarkan busuk dalam sebuah sangkar besi untuk tatapan umum.

Kepercayaan bahawa Kidd telah meninggalkan harta karun yang tertanam telah menyumbangkan kepada kewujudan pelbagai kisah dongeng. Dalam tempoh kira-kira 300 tahun, kegiatan pemburuan harta karun tidak henti-henti dilakukan di sepanjang pantai New York dan kawasan berhampiran bagi mencari harta yang disembunyikan oleh Kidd.

Persoalannya, apakah harta karun Kapten Kidd benar-benar wujud? Sejauh manakah kukuhnya bukti-bukti yang menunjukkan lokasi sebenar ia disembunyikan? Ikuti bahagian kedua untuk mengetahui misi pembongkaran harta karun Kapten Kidd.

Comments

Popular posts from this blog

Laluan rahsia Genting Bidai

Air yang menyembuhkan penyakit

Manusia kembar dengan binatang