Mengubah udara menjadi air
Mengikut Penilaian Menyeluruh Sumber Bekalan Air
Bersih Dunia yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pada
masa kini hanya 0.26 peratus daripada bekalan air dunia boleh digunakan sebagai
air bersih. Selebihnya, 97.5 peratus
adalah lautan atau air yang terperangkap sebagai ketulan ais, glasier, dan air
dalam tanah.
Disebabkan
itu, penilaian tersebut menjangkakan permintaan terhadap air akan meningkat dua
kali ganda daripada kadar pertambahan penduduk. Dari tahun 1900 hingga 1995,
permintaan terhadap air meningkat sebanyak enam hingga tujuh kali ganda, dan ia
dijangka meningkat lebih tinggi dan cepat di masa depan. Menjelang tahun 2025,
PBB meramalkan dua pertiga penduduk dunia akan menghadapi masalah air, dan
risiko berlakunya konflik air akan meningkat.
Menyedari
hakikat itu, pelbagai cara telah diusahakan oleh para penyelidik dari seluruh
dunia bagi mendapatkan sumber air alternatif. Antara penemuan terbaru yang
ditemui adalah teknologi menukarkan udara menjadi air.
Di
Australia, seorang saintis yang bernama Dr. Whisson Windmill, telah berjaya
mencipta sebuah peralatan baru yang mampu mengubah udara menjadi air bersih. Teknologi
tersebut digelar sebagai Watermill.
Dalam
penciptaan mesin ini, Windmill menggunakan konsep corong udara. Apabila udara
memasuki corong tersebut, mesin Watermill
akan mengumpulkan wap udara dan mengolahnya menjadi air biasa. Dianggarkan,
purata proses pengolahan udara yang dilakukan mesin itu mampu menghasilkan
kira-kira 7,500 liter air dalam satu hari.
Mesin
tersebut telah menarik minat sebuah syarikat teknologi hijau dari negara
Kanada, Element Four, yang ingin
mengkomersialkan produk itu. Ini kerana, potensi produk berkenaan cukup tinggi
dan kemungkinan mampu menghasilkan kira-kira dua hingga tiga gelen dalam satu
hari. Berdasarkan penyelidikan yang dilakukan syarikat ini, Watermill sesuai untuk kegunaan seisi
keluarga.
Selain
mesin Watermill, sumber air
alternatif ini turut dikembangkan di United Kingdom, England. Mesin tersebut yang
diberi nama, Rain Cloud, merupakan
sebuah produk milik sebuah syarikat kejuruteraan yang dikenali Clean World Ltd.
Mesin ini memiliki keistimewaannya yang tersendiri. Rekaan ini bukan sahaja mampu
mengubah udara menjadi air, tetapi teknologinya ditingkatkan lagi dengan
pengguna boleh memilih untuk mendapatkan air yang sejuk ataupun panas.
Sementara
itu, seorang pereka cipta dari China, Jacky Wu turut menghasilkan sebuah alatan
yang mempunyai fungsi yang sama. Alatan tersebut yang digelar sebagai Dew Drop , merupakan sebuah mesin air
alternatif yang direka khas khusus untuk tumbuhan. Mesin yang berbentuk seperti
daun ini akan mengumpulkan udara di sekitarannya dan melakukan proses
kondensasi menjadi air biasa. Uniknya, Dew
Drop merupakan sebuah mesin mudah alih yang boleh dibawa ke mana-mana.

Comments
Post a Comment