Manusia transeksual pertama diiktiraf tiada alat kelamin

Jika dilihat dari sudut definisi transeksual, ia terbahagi kepada dua kelompok. Kelompok pertama ialah lelaki yang memiliki penampilan seperti seorang wanita atau digelar sebagai pondan, bapuk, Darai dan Nyah. Manakala, bagi kelompok kedua pula adalah wanita yang memiliki penampilan seperti seorang lelaki yang juga boleh dikenali sebagai tomboy atau pengkid.

Persoalannya, apakah pula gelaran bagi seseorang transeksual yang tidak memiliki penampilan seperti dua kelompok di atas?

Pengakuan berani seorang transeksual dari Australia, Norrie May-Welby, telah menarik perhatian seluruh dunia apabila dia mendakwa tidak memiliki status kelamin, sekali gus diiktiraf secara rasmi sebagai manusia pertama di dunia tidak memiliki kategori  gender sebagai lelaki atau pun wanita. Jelasnya, memiliki jantina lelaki atau wanita adalah sangat tidak sesuai bagi dirinya. Justeru, sebagai kesimpulan dia menyatakan bahawa paling tepat bagi dirinya adalah tidak memiliki salah satu daripada kedua-dua identiti tersebut.

Norrie May-Welby, 49, pada awalnya lahir ke dunia sebagai seorang lelaki. Namun, dia mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan alat kelamin pada 3 April 1989 ketika berusia 28 tahun. Malangnya, dia berasa tidak bahagia menjadi seorang perempuan dan akhirnya Norrie memutuskan untuk menjadi seorang ‘neuter’.

Pada 23 Mei 1961, May-Welby dilahirkan dan dibesarkan di Paisley, Renfrewshire, Scotland. Kemudian, sewaktu berusia tujuh tahun keluarganya mula berhijrah ke Perth, Australia dan menetap di sana.

Sewaktu pertama kali mengumumkan status jantinanya itu, banyak negara-negara di dunia menolak untuk mengeluarkan akta kelahiran bagi May-Welby kerana tidak dapat mengklasifikasikan status baru warga tanpa gender. Selain itu, pakar perubatan di seluruh dunia juga mengakui tidak boleh memastikan jenis kelamin daripada tubuh lelaki ini.

Sehinggalah, pada awal tahun lalu, lelaki transeksual tersebut mendapat pengiktirafan secara rasmi sebagai manusia pertama tidak memiliki jantina daripada New South Wales Government, Australia. Pengiktirafan yang diberikan kepada lelaki itu adalah berdasarkan kriteria di mana tiada halangan bagi seseorang untuk memilih jantina yang sesuai bagi dirinya.

Hal ini turut mendapat perhatian daripada seorang pakar kaunseling iaitu Ketua Unit Pengembangan Pelajar, Institut Pendidikan Guru, Kampus Teknik Cheras, Kuala Lumpur, Dr. Ramlan Hamzah. Berdasarkan pandangan yang dikemukakan beliau, May-Welby mungkin mengalami masalah sejenis gangguan psikologi yang dikenali kecelaruan gender.

Jelasnya, kecelaruan gender berlaku apabila seseorang itu keliru dalam mengidentifikasikan diri sendiri dan sifat jantina mereka. Sebagai contoh, seseorang yang dilahirkan sebagai lelaki tetapi pada masa yang sama merasakan diri mereka adalah seorang perempuan. Begitu juga dengan seseorang yang dilahirkan sebagai seorang perempuan yang merasakan kewujudan sifat kelelakian dalam dirinya.  Ujar Dr. Ramlan, pada peringkat ini seseorang yang mengalami kecelaruan memilih jantina mungkin boleh diselamatkan. Ini kerana, ia masih berada di dalam fasa awal kecelaruan gender.

Namun, situasi ini berubah sekiranya seseorang itu nekad untuk menukar jantina mereka. Pada ketika itu, kecelaruan gender yang dihidapi seseorang berada di dalam fasa yang kritikal atau juga disebut sebagai penyakit transeksual. Pada fasa ini, selalunya seseorang itu akan mengalami pelbagai permasalahan dan kesan yang buruk pada identitinya sebagai seorang lelaki atau perempuan.

Berdasarkan kepada statistik, golongan yang mengalami kecelaruan gender pada fasa kritikal akan cenderung untuk melakukan perbuatan di luar jangka seperti membunuh diri. Sebagai contoh, kes bunuh diri yang berlaku pada 4 Mei 2004 yang seorang lelaki dari Kanada, David Reimer. Dia ditemui mati dipercayai membunuh diri akibat sering mengalami tekanan perasaan kerana terpaksa menukar jantina kepada perempuan.

Dalam kes Reimer ini, alat kelaminnya telah terpotong secara tidak sengaja oleh seorang doktor sewaktu melakukan proses berkhatan. Disebabkan oleh itu, doktor berkenaan telah menasihatkan dia menukar jantina kepada perempuan secara lahiriah. Bagaimanapun, disebabkan jiwanya masih seorang lelaki, Reimer tidak dapat menerima hakikat untuk menjadi seorang perempuan seterusnya menyebabkan dia mengalami kemurungan yang kritikal. Akhirnya Reimer membunuh diri ketika usianya 39 tahun.

Punca kecelaruan gender biasanya boleh berlaku disebabkan oleh empat faktor iaitu keluarga, masyarakat, media massa dan kemudahan teknologi. Faktor keluarga selalunya disebabkan oleh cara didikan yang berlawanan dengan sifat jantina anak. Keadaan ini berlaku biasanya apabila situasi pasangan ibu dan bapa yang lebih cenderung memakaikan pakaian kanak-kanak perempuan sedangkan pada masa yang sama anak mereka adalah lelaki. Kaedah didikan seperti ini sama sekali tidak betul dan berkemungkinan boleh merosakkan identiti kanak-kanak.

Kemudian, apabila kanak-kanak seperti ini berhadapan dengan masyarakat sudah semestinya mereka akan mengalami berbagai masalah. Sebagai contoh, gelaran pondan, lelaki lembut, tom boy, pengkid yang sememangnya kita ketahui merupakan perkataan yang sering digunakan untuk melabel golongan ini.


Begitu juga dengan faktor media massa yang dilihat pada hari ini banyak menyiarkan tentang perihal kehidupan golongan ini. Sebagai contoh, penyiaran drama atau sitkom yang mewujudkan watak lelaki lembut atau wanita yang bersifat kelakian seolah-olah  memberi gambaran normal khususnya di dalam masyarakat kita pada hari ini. Sama juga seperti teknologi perubatan yang dianggap sebagai pengaruh kuat mendorong golongan ini memilih jantina yang disukai mereka. Ini dapat dibuktikan melalui khidmat pembedahan menukar alat kelamin. Ujar Dr. Ramlan, situasi seperti ini akhirnya dilihat sebagai penggalak bagi golongan ini nekad melakukan pembedahan dengan alasan ingin kelihatan sempurna, seiring dengan jantina yang dipilih oleh mereka.

Comments

Popular posts from this blog

Air yang menyembuhkan penyakit

Manusia kembar dengan binatang

Kenapa burung nuri boleh bercakap?