Lelaki miliki darah bionik
Seorang lelaki warganegara Australia, James Harisson,
dianggap sebagai manusia luar biasa kerana mempunyai struktur darah yang
istimewa dan boleh dijadikan vaksin untuk merawat penyakit. Sehingga hari ini, darahnya digunakan untuk
menyelamatkan jutaan nyawa bayi akibat sejenis penyakit berbahaya yang dikenali
sebagai Rhesus- sejenis penyakit hematologi
yang merosakkan sel darah merah
bayi.
Lantaran keistimewaan yang dimilikinya itu, Harisson
digelar sebagai ‘Manusia bertangan emas’. Beliau yang merupakan penderma darah
tegar sejak 56 tahun lalu, telah menyumbangkan darahnya sebanyak 948 kali. Sejak
itu, dia telah membantu banyak kaum ibu melahirkan bayi yang sihat, termasuk
bayi anaknya sendiri, Tracey. Kini, keadaan bayi anaknya itu membesar seperti
bayi-bayi normal lain hasil daripada darah yang didermakan oleh datuknya.
Mengikut laporan sebuah akhbar, Daily Mail, Harisson memiliki sejenis
antibodi di dalam plasma darahnya. Ia mampu mengekang penyakit Rhesus iaitu
penyakit hematologi atau anemia yang parah dan boleh menyebabkan kematian bayi
di dalam kandungan.
Berdasarkan kajian
perubatan dilakukan, darah lelaki tersebut memiliki sejenis antibodi yang
dikenali sebagai Anti D. Difahamkan, antibodi ini terhasil sewaktu Harisson
menjalani pemindahan darah sebanyak 13 liter sewaktu menjalani pembedahan
kira-kira 60 tahun lalu.
Jelas lelaki itu, dia
terlantar selama tiga bulan di hospital selepas menjalani pembedahan. Darahnya
yang didermakan itu telah menyelamatkan nyawanya dan sejak dari itu dia
berjanji akan mendermakan darahnya kepada orang lain pula.
Selepas
beberapa tahun menjadi penderma tegar, dia dimaklumkan satu berita yang
mengejutkan. Seorang pegawai perubatan memberitahu, darahnya memiliki sejenis
antibodi yang mampu merawat penyakit. Dikatakan, antibodi tersebut
berkemungkinan boleh mengurangkan kes kematian ribuan bayi di Australia pada
setiap tahun akibat penyakit Rhesus.
Justeru, Harisson
mengambil keputusan menawarkan dirinya untuk menjalani ujian pemeriksaan
kesihatan. Inisiatif ini dilakukannya bertujuan untuk membantu para penyelidik mendapatkan
penawar ke atas penyakit berkenaan. Sejak dari itu, Harisson telah mendermakan
darahnya kepada 2.2 juta bayi sehingga hari ini. Lebih menggembirakan, dia
menerima insurans nyawa sebanyak satu juta dolar Australia.
Menurut
Pakar Hematologi dari Jabatan Patologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan
Malaysia(PPUKM), Dr. Nurasyikin Yusof, penyakit Rhesus merupakan sejenis
penyakit yang telah lama wujud di dalam penyelidikan hematologi. Ia merupakan
sejenis penyakit yang menyerang sel darah merah bayi sewaktu di dalam
kandungan. Penyakit ini cukup berbahaya dan boleh menyebabkan bayi mati sebelum
dilahirkan.
Jelasnya
lagi, penyakit Rhesus biasanya berlaku ke atas wanita mengandung yang memiliki
jenis darah Rhesus D negatif dan bayi yang di kandung memiliki jenis darah
Rhesus D positif. Apabila usia kandungan mencapai 20 minggu, sedikit darah bayi
akan mengalir ke tubuh ibu melalui plasenta. Melalui proses ini, akan berlaku
tindak balas di antara darah ibu dan bayi di dalam kandungan.
Oleh sebab
kedua-dua darah ini berbeza, sistem imunisasi di dalam badan ibu akan
menghasilkan satu antibodi yang bertindak mengekang kehadiran sel darah bayi. Lebih
membimbangkan, antibodi ini sangat kuat sehingga boleh memusnahkan kesemua sel yang
terdapat dalam tubuh bayi, sekali gus boleh menyebabkan bayi mati di dalam
kandungan akibat kekurangan sel darah merah. Keadaan ini biasanya tidak akan
berlaku pada kandungan pertama, tetapi berpotensi tinggi bagi kandungan kali
kedua kerana antibodi tersebut mengambil masa untuk dihasilkan.
Mengikut
penyelidikan perubatan, insiden yang menyebabkan penyakit ini mencatatkan angka
yang tinggi di negara-negara barat. Kuantiti tersebut dilihat jauh lebih
berbeza di Malaysia iaitu sebanyak lima peratus daripada jumlah populasi
penduduk di negara ini.
Soalnya, apakah
kaedah rawatan yang sesuai untuk menghindari wanita yang mengandung daripada
menghidapi penyakit ini? Jelas Dr. Nurasyikin, sehingga hari ini kaedah rawatan
yang diguna pakai adalah memberikan
suntikan vaksin Anti D (Rhogam). Ia hanya diberikan kepada wanita mengandung
yang memiliki jenis darah Rhesus D negatif. Kebiasaannya, suntikan yang diberi
hendaklah mengikut jadual yang ditetapkan iaitu satu dos ketika usia kandungan
mencapai 20 minggu dan satu dos beberapa minggu sebelum melahirkan anak.
Mengikut
sejarah perubatan, vaksin Anti D telah berjaya dihasilkan oleh penyelidik dari
barat pada tahun 1960 an. Vaksin ini sama seperti antibodi yang dihasilkan oleh
sistem imunisasi di dalam tubuh ibu mengandung. Bagaimanapun, tindak balas
vaksin ini tidak berbahaya pada sel darah bayi, sebaliknya meneutralkan sel itu
sebelum dikesan oleh antibodi yang terdapat pada tubuh ibu.
Berdasarkan
anomali tubuh Harisson, kata Dr. Nurasyikin, antibodi yang dihasilkan di dalam
badannya mempunyai tindak balas yang sama seperti dos vaksin Anti D. Cuma apa
yang membezakan kedua-duanya, antibodi yang terdapat pada tubuh Harisson terhasil
melalui proses pemindahan darah. Berdasarkan teori yang dikemukakan beliau, Harisson
mungkin memiliki jenis darah Rhesus D negatif, manakala darah yang didermakan
kepadanya memiliki jenis darah Rhesus D positif. Justeru, kemungkinan berlaku
proses tindak balas di antara kedua-dua jenis darah ini lalu menghasilkan
antibodi yang menyamai vaksin Anti D.
Comments
Post a Comment