Kota Hobbit Derinkuyu


Pada tahun 1963, seorang penduduk di wilayah Cappadocia, Turki, menemui sesuatu yang mengejutkan di sebalik dinding di tingkat bawah rumahnya yang terletak berhampiran Gunung Ertas. Kejadian itu berlaku ketika penduduk tersebut sedang melakukan kerja membaik pulih dinding rumahnya dan secara tidak sengaja menjumpai beberapa lubang besar yang seakan-akan sebuah terowong.


Ekoran itu, berita penemuan penduduk berkenaan tersebar dan mendapat perhatian sekumpulan ahli arkeologi Turki. Ekskavasi segera dilakukan dan didapati, lubang-lubang yang bersaiz besar itu merupakan beberapa laluan sebuah kota kuno bawah tanah yang dikenali ‘Derinkuyu’. Selain lorong-lorong itu, kumpulan arkeologis tersebut juga menemui sebuah kompleks kediaman `setinggi’ 11 tingkat yang terletak pada kedalaman 300 kaki di dalam tanah! Di situ turut ditemui beberapa binaan kota bawah tanah dalam susunan geologi yang sangat unik.

Persoalannya, binaan apakah yang ditemui itu? Pelik, siapakah yang membinanya? Misteri kota bawah tanah ini menarik minat para penyelidik untuk terus mengkaji asal-usulnya.




Penulis buku ‘The Atlantis Blueprint’, Colllins Wilson, mengemukakan teori bahawa terdapat bukti geologi yang menunjukkan Turki pernah melalui satu zaman batu lebih kurang 500 tahun pada pertengahan abad ke-9 Sebelum Masihi (SM). Ini memang masuk akal. Jika kawasan itu diselaputi salji dan ditambah dengan tiupan angin sejuk, kota bawah tanah itu berkemungkinan sangat selesa seperti lubang ‘HOBBIT’.

Sementara itu, seorang ahli arkeologi tempatan, Omer Demir, memberitahu yang beliau percaya bahawa kota bawah tanah itu mungkin wujud sejak akhir era Paleolitik, iaitu pada 8,500 tahun SM. Ia dibina secara bersambung-sambung dengan beratus-ratus koridor. Menakjubkan, kota subterranean (bawah tanah) itu dihubungkan dengan kota bawah tanah Cappodocia yang lain melalui terowong panjang yang berkilometer jauhnya.

Jelas Omer lagi, pembinaan kota ini mungkin dilakukan sepenuhnya menggunakan tangan. Malah dia juga percaya bahawa kota ini dipahat dengan menggunakan peralatan batu dan bukannya besi.

Difahamkan, kota tersebut telah digali oleh bangsa Hittites sekitar 1,400 tahun SM. Kemudian, ia dibina dengan menggunakan batu volkanic lembut pada abad ke-7 hingga ke-8 SM.

Ekoran itu, Jabatan Kebudayaan Turki menetapkan semua penemuan yang dijumpai di petempatan bawah tanah ini adalah milik Zaman Pertengahan Byzantine yang secara amnya digunakan untuk tujuan perlindungan serta keagamaan yang berkembang pesat pada era tersebut.

Setelah seluruh Derinkuyu ini diteliti, didapati ianya adalah petempatan bawah tanah dengan ada di antaranya yang setinggi beberapa tingkat bangunan serta koridor melebihi tiga meter lebar. Dipercayai jaringan bilik-bilik ini mampu menampung populasi manusia sehingga 30,000 orang!

Kompleks bawah tanah Derinkuyu juga mempunyai semua kemudahan sebagai sebuah bandar yang terancang. Buktinya, kompleks tersebut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti bilik pengepam dan minyak, stor, kandang kuda, sekolah serta rumah ibadat.Ia turut dilengkapi dengan tiga laluan strategik yang ditutup rapat menggunakan beberapa bongkah batu besar seberat lebih 50 kilogram. Laluan itu juga boleh ‘dikunci’ dari dalam untuk mengelakkannya dipecah masuk oleh pihak musuh.

Bandar metropolis bawah tanah ini turut diterangi beratus-ratus lampu minyak yang dilekatkan pada dindingnya. Lebih mengagumkan, kota kuno ini turut dibekalkan dengan udara segar melalui 1500 syaf pengalihan udara dserta kipas yang masih lagi menimbulkan tanda tanya para jurutera sehingga hari ini. Syaf pengalihan udara sebesar 55 meter ini digunakan secara bijak. Ia turut digunakan untuk membekalkan air kepada seluruh penghuni kota berkenaan.

Sejak penemuan itu, Derinkuyu menjadi terkenal. Lokasi tersebut telah dibuka kepada para pelawat bermula pada tahun 1969 sehinggalah sekarang. Bagaimanapun, bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh berlaku, hanya sepuluh peratus daripada bahagian kota lama itu dibuka untuk lawatan. Ia dibuka sehingga ke tingkat lapan pada kedalaman yang mencecah 25 meter dari permukaan tanah.

Kota lama Derinkuyu juga adalah sebuah bandar yang terletak dalam wilayah Nevsehir di Central Anatolia,Turki. Berdasarkan bancian pada tahun 2000, populasi di daerah ini ialah seramai 24,631 orang penduduk, manakala 11,092 orang daripadanya tinggal di Kota Derinkuyu. Ia meliputi kawasan seluas 445 kilometer persegi dengan purata setiap tingkat berada pada ketinggian 1,300 meter di dalam Gunung Ertas.

Comments

Popular posts from this blog

Air yang menyembuhkan penyakit

Manusia kembar dengan binatang

Kenapa burung nuri boleh bercakap?