17 tahun ketagih makan sabun & bedak
![]() |
Gambar hiasan |
Bunyinya
seperti tidak masuk akal, tapi bagi lelaki yang berasal dari Sungai Temau,
Kuala Lipis, Pahang ini menganggap kedua-dua bahan tersebut sebagai makanan
yang enak. Menariknya lagi, ia dijadikan sebagai menu pada setiap hari sejak 17
tahun yang lalu.
Jelas
Razali, tabiat peliknya itu bermula selepas dia melihat sebuku sabun mandi di rumahnya. Pada ketika
itu, dia amat tertarik apabila melihat bentuk dan bau sabun tersebut. Tanpa
memikirkan kesan
buruk yang mungkin dihadapinya, Razali terus menggigit beberapa cebisan sabun
mandi itu dan terus memakannya.
Selain
memakan sabun mandi sebagai juadah harian, warga emas ini turut menggemari
bedak talkum. Percaya atau tidak, lelaki ini mendakwa mampu menghabiskan dua
atau tiga botol bedak sebanyak 100 gram dalam sehari.
Ekoran
tabiat peliknya itu, lelaki ini pernah disangka sebagai seorang yang tidak
waras di kalangan jiran dan keluarganya sendiri. Pada ketika itu, semua orang
menganggapnya gila sehinggalah dia mengambil keputusan untuk menjalani
pemeriksaan kesihatan di hospital. Hasil keputusan ujian yang dijalankan
mendapati tahap kesihatan mental baik seperti manusia normal yang lain.
Soalnya, apakah
punca sebenar yang menyebabkan lelaki ini menjadikan sabun mandi dan bedak
sebagai menu hariannya? Jika dilihat pada logik akal ia adalah satu perbuatan yang
tidak pernah dilakukan oleh manusia normal lain. Tambahan pula, banyak lagi makanan enak dan lazat boleh
dimakannya.
![]() |
Gambar hiasan |
Mengulas
mengenai persoalan itu, kata Razali, dia sendiri tidak tahu mengapa boleh
berkelakuan sebegitu. Sehingga hari ini, sudah beribu kali ditanya soalan ini
tetapi dia masih belum lagi menemui jawapannya.
Ekoran itu,
dia pernah merujuk masalahnya itu kepada beberapa pengamal perubatan
tradisional dan moden. Namun, usaha tersebut menemui jalan buntu dan tiada
penjelasan kukuh yang boleh dikaitkan sebagai punca tabiat luar biasanya itu.
Pernah satu
ketika, isteri dan anak-anaknya cuba menghentikan tabiatnya itu dengan
memasukkan tepung gandum di dalam bekas bedak. Bagaimanapun, usaha tersebut
hanyalah sia-sia kerana Razali begitu arif membezakan di antara rasa tepung dan
bedak. Kata Razali, sabun mandi dan bedak adalah makanan kegemarannya dan jika
sehari tidak menjamahnya dia akan merasa gelisah seperti ada sesuatu yang tidak
kena.
Menurut
pensyarah dari Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains
Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Siti Nur’ Asyura Adznam, dalam
kes ini individu tersebut mengalami masalah gangguan pemakanan (eating disorder)
yang dikenali sebagai ‘Pica’- selain pica, terdapat beberapa lagi kategori
gangguan pemakanan yang lain iaitu anoreksia nervosa, bulimia nervosa dan binge
eating disorder.
Jelasnya, Pica
merupakan gangguan pemakanan yang melibatkan pengambilan sesuatu yang bukan
makanan (non-nutritive substances) secara berterusan dalam satu jangka masa
sekurang-kurangnya 1 bulan pada umur di mana seseorang itu dapat membezakan
antara makanan atau bahan yang tidak sepatutnya dimakan (biasanya pada usia dua
tahun).
Adalah
menjadi kebiasaan bagi kanak-kanak di bawah usia dua tahun yang sering
mengambil apa sahaja masuk ke dalam mulut mereka. Namun, sekiranya tingkah laku
ini masih berterusan sehingga tempoh masa tertentu seseorang individu akan di
diagnosis mengalami gangguan pemakanan-Pica.
Kata Dr.
Siti Nur’ Asyura lagi, gangguan pemakanan ini bukan sahaja terbatas kepada
memakan bedak atau sabun (seperti kes yang dibincangkan), malah ada kes-kes
melibatkan memakan pasir, tanah, batu, najis, rambut, plastik, kertas, mentol
lampu dan lebih serius lagi memakan jarum. Kejadian ini sering berlaku dalam
kalangan wanita dan kanak-kanak, terutamanya wanita hamil dan kanak-kanak yang
mengalami kecacatan pertumbuhan seperti autisme.
Pica boleh
menyebabkan pelbagai komplikasi yang boleh memudaratkan kesihatan bergantung
kepada jenis bahan yang dimakan. Antaranya
ialah keracunan, jangkitan parasit (sekiranya individu memakan tanah-tanih), masalah
saluran penghadaman seperti ‘bowel obstruction’ yang boleh menyebabkan
sembelit, jangkitan usus dan seterusnya memerlukan pembedahan, kecederaan atau
kerosakan pada gigi (sekiranya memakan bahan-bahan yang keras seperti batu).
Bagi kes
ini, apa yang merisaukan adalah kandungan bahan-bahan kimia yang terdapat dalam bedak dan sabun
yang boleh menyebabkan keracunan dan ketoksikan. Soalnya, sejauh manakah badan
seseorang manusia mampu bertahan sekiranya mengamalkan pemakanan sebegini? Kata
Dr. Siti Nur’ Asyura, bergantung kepada
individu kerana setakat ini tiada data atau panduan untuk menyatakan
seseorang individu itu mampu bertahan.
Katanya
lagi, bagi merawat seseorang individu yang mengalami masalah ini bergantung
pada tiga kategori iaitu punca terjadinya pica, tahap keseriusan pica dan
komplikasi kesihatan yang dialami oleh seseorang individu tersebut. Sebagai contoh, rawatan
perubatan segera seperti pembedahan adalah salah satu cara terbaik bagi
menangani komplikasi yang dialami oleh
seseorang itu seperti keracunan, jangkitan parasit dan masalah saluran
penghadaman.
Selain itu,
rawatan gangguan pemakanan ini juga turut menggunakan beberapa pendekatan
seperti terapi tingkah laku, psiko-sosial dan juga persekitaran. Justeru, ahli
keluarga terdekat memainkan peranan yang amat penting dalam membantu pesakit
bagi menangani masalah gangguan pemakanan ini. Pesakit juga dinasihatkan menjalani
sesi kaunseling bersama pakar psikiatri.
Ujarnya
lagi, gangguan pemakanan ini adalah masalah tingkah laku yang serius. Bagi
mengelakkan ia terus berlarutan seseorang individu yang mengalaminya hendaklah
mendapatkan rawatan segera, memandangkan ia boleh menyebabkan komplikasi pada kesihatan kita.
Comments
Post a Comment