Tidak pernah jamah makanan pepejal selama 25 tahun

Gambar hiasan
Seorang pemuda, Mohd Aidil Amri Saa’din, 25, dari Alor Setar, Kedah, telah didapati mengalami satu penyakit ganjil yang menyebabkannya tidak boleh menjamah sebarang bentuk makanan pepejal. Walaupun sebelum ini pernah mencuba sesuap nasi, tetapi apabila ditelan pemuda tersebut  segera memuntahkan kembali makanan itu.

Bercerita lanjut mengenai penyakit aneh yang dialaminya, kata Aidil, ia berlaku semenjak dia kecil lagi. Disebabkan sukar menjamah sebarang makanan berbentuk pepejal, dia tidak pernah merasai keenakan nasi lemak, apatah lagi menikmati rendang dan ketupat pada pagi Aidilfitri. Dakwa pemuda itu, ini kerana keadaan tubuhnya hanya boleh memproses makanan dalam bentuk cecair  sejak dia dilahirkan.

Tabiat mengambil cecair sebagai makanan bermula sejak dia berusia satu tahun. Ketika itu, ibunya cuba memberikannya nasi, tetapi dia selalu melarikan diri. Sejak itu, dia tidak pernah menyentuh makanan yang berbentuk pepejal melainkan cecair sebagai makanan rujinya.

Sebagai ganti, pemuda ini meneruskan hidupnya dengan hanya meminum Milo, air kosong dan menghirup sup bagi menghilangkan rasa lapar pada setiap hari. Jelas Aidil, biasanya pada setiap hari dia akan meminum sehingga 15 gelas Milo. Ini kerana, minuman ini merupakan sajian  penting bagi dirinya untuk mendapatkan tenaga dan zat, sekali gus membantu mengekalkan badannya seperti manusia normal yang lain. Gara-gara tabiat peliknya itu, dia turut digelar ‘Milo’ oleh rakan-rakannya.

Selain minuman Milo menjadi santapan, antara makanan lain yang dimakannya adalah sup. Setiap kali menikmati hidangan ini, pemuda itu terlebih dahulu mengasingkan isi pepejal yang terdapat di dalam sup. Kata Aidil, sajian ini biasanya diambil dua kali seminggu.

Pernah suatu ketika dia mencuba sesuap nasi, namun menghadapi kesukaran apabila hendak menelan sehingga makanan itu keluar semula daripada mulutnya. Makanan lain seperti roti, mi atau makanan yang dijual di restoran segera tidak pernah dijamah sepanjang hidupnya. Sama juga ketika situasi jatuh sakit, kata pemuda itu, dia selalunya akan meminta doktor memberikan ubat yang berbentuk cecair kerana tidak boleh menelan pil.

Jelas pemuda ini yang bekerja sebagai Pengurus Web Tonton di Media Prima Bhd (Media Prima), sejak kecil lagi, dia sudah berjumpa ramai pengamal perubatan sama ada tradisional atau moden, namun tidak tahu punca sebenar menyebabkannya sukar untuk memakan yang berbentuk pepejal.

Walaupun sepanjang hidupnya tidak pernah menjamah makanan pepejal, Aidil tetap sihat seperti manusia normal lain. Sehingga hari ini, penyakit pelik yang dialaminya itu tidak menimbulkan sebarang masalah, apatah lagi menjejaskan tahap kesihatan dirinya.
Menurut pensyarah Dietetik dari Jabatan Pemakanan  dan Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Siti Nur ‘ Asyura Adznam, terdapat dua kebarangkalian yang mungkin dihadapi oleh pesakit ini. Pertama, mengalami kesukaran menelan makanan atau istilah saintifiknya dikenali sebagai Dysphagia. Kebiasaannya, keadaan ini mungkin disebabkan gangguan pada bahagian fungsi  oral (mulut), gangguan neuromuscular atau gastroesophageal reflux

Selain itu, pesakit ini juga mungkin mengalami masalah pada sistem penghadaman. Dalam situasi ini, ia akan mengakibatkan seseorang itu tidak boleh mengambil sebarang makanan berbentuk pepejal. Jika diambil, ia akan menyebabkan kesan buruk seperti cirit-birit, muntah dan sebagainya. 

Kebarangkalian kedua pula, didapati pesakit ini mungkin mengalami masalah gangguan pemakanan (eating disorder). Mengikut istilah dalam dunia perubatan, masalah pemakanan ini dikenal sebagai Selective Eating Disorder (SDE) atau juga dipanggil Picky eating. SDE kebiasaannya berlaku ke atas golongan kanak-kanak, khususnya dalam lingkungan usia lima tahun. Sebagai contoh, kes SDE yang berlaku biasanya melibatkan golongan kanak-kanak yang tidak mahu mengambil sayur-sayuran. Pun begitu, situasi ini akan mula berkurangan mengikut peningkatan usia sekiranya langkah intervensi awal diambil oleh ibu bapa.

Bagaimanapun, dalam kes SDE ini terdapat juga segelintir daripada kanak-kanak yang mengalami keadaan kekal sehingga mereka dewasa. Seperti situasi yang dialami oleh Aidil, kemungkinan dia mengalami SDE pada tahap yang ekstrem. Ini kerana, faktor masa yang lama dan jenis makanan yang diambilnya gagal mencapai jumlah kalori yang diperlukan oleh seseorang lelaki normal- antara 2000 hingga 2500 kalori.

Jelasnya lagi, punca sebenar atau etiologi bagi SDE setakat ini belum diketahui dan masih di peringkat kajian. Bagaimanapun, secara umumnya seseorang yang mengalami SDE adalah individu yang sangat sensitif terhadap tekstur, aroma dan juga rasa makanan. Sebagai contoh, pengalaman lampau seperti tercekik sewaktu memakan daging merupakan salah satu penyebab seseorang individu fobia untuk memakannya semula.

Seseorang yang mengalami SDE dalam satu tempoh yang lama, akan mengakibatkan kesan seperti kekurangan makanan dan kekurangan berat badan. Selain itu, ia turut menyebabkan implikasi terhadap status kesihatan seseorang individu yang mengalami masalah ini. Antaranya, pertumbuhan tulang yang tidak seimbang, kekurangan sel darah merah dalam badan (anemia) dan gangguan psikologi atau hilang keyakinan diri.

Mengulas mengenai masalah yang dialami Aidil, kata Dr. Siti Nur ‘ Asyura, menyarankan agar beliau mendapatkan rawatan bagi mengenal pasti masalah sebenar yang dialaminya. Melalui kaedah rawatan multidisciplinary amat diperlukan iaitu melibatkan pakar perubatan, pakar pemakanan dan juga pendekatan psikologi. Tambahnya lagi, kaedah ini perlu dilakukan dengan kadar segera bagi mengelakkan implikasi yang lebih serius pada masa hadapan. 


Comments

Popular posts from this blog

Laluan rahsia Genting Bidai

Pengawal Rumah Melayu Lama

Air yang menyembuhkan penyakit