Minum petrol selama 42 tahun

Siapa sangka seorang warga emas, Chen Dejun, 71,  dari Nanchuan, barat daya daerah Chongqin, China, menjadi orang terkenal ekoran tabiat peliknya yang suka meminum cecair bahan api.

Jelas Chen, dia mula meminum  cecair  bahan  api  itu sejak  42 tahun lalu. Ketika itu, dia telah mengalami batuk dan rasa sakit yang serius pada bahagian dadanya. Setelah puas mencuba pelbagai ubat, penyakit yang dialaminya masih belum sembuh. Justeru, dia akhirnya mengambil keputusan mencuba satu petua lama yang menggunakan minyak tanah untuk merawat penyakitnya.

Sejak mencuba petua tersebut, penyakit yang dihidapinya mula menunjukkan perubahan. Selepas Chen sembuh daripada penyakitnya, dia menghadapi pula masalah ketagih meminum minyak tanah. Setelah puas menikmati minyak tanah, warga emas tersebut berubah selera dan cuba meminum minyak petrol pula.

Jelas Chen, dia akan meminum tiga hingga 3.5 liter minyak petrol dalam tempoh sebulan yang dibeli di sebuah stesen minyak berhampiran rumahnya. Bagaimanapun, agak  sukar baginya menganggarkan berapa banyak liter cecair bahan api itu yang diminum sepanjang hidupnya. Tapi, mengikut laporan akhbar tempatan lelaki tua berkenaan telah minum sekurang-kurangnya 1.5 tan minyak petrol dalam jangka masa 42 tahun.

Ekoran ketagihan yang kronik terhadap minyak petrol, isteri Chen, Yuan Huibi, telah berkali-kali menasihati Chen agar menghentikan tabiat peliknya itu. Malangnya, usaha Yuan gagal dan menyebabkan hubungan mereka sekeluarga  tidak mesra. Disebabkan itu, bapa kepada tiga orang anak lelaki tersebut akhirnya berpindah dan tinggal bersendirian di sebuah pondok sejak lapan tahun lalu.

Mengikut sumber dari sebuah Hospital Honglou, daerah Chongqin, kesihatan Chen berada pada tahap yang baik biarpun dia menghidap simpton emfisema (penyakit paru-paru). Akibat kedegilannya yang tidak mahu mendapatkan rawatan, menyebabkan pihak hospital tidak boleh melakukan pemeriksaan ke atasnya.

Soalnya, apakah kesan yang mungkin dialami jika seseorang itu meminum minyak petrol?Dan, sejauh manakah kebenaran yang mengatakan minyak petrol boleh dijadikan ubat untuk merawat penyakit?

Menurut Pegawai Dietetik, Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putera Malaysia (UPM), Mohd. Sharfizam Saripuden, minyak petrol merupakan sejenis cecair bahan bakar  yang  beracun dan boleh membawa maut sekiranya ia diminum dalam kuantiti yang banyak. Tidak seperti makanan, cecair bahan api ini tidak boleh di hadam oleh sistem pencernaan di dalam badan. Ini kerana, minyak petrol mempunyai sifat yang mudah meruap, sekali gus mengeluarkan gas kimia yang berbahaya. 

Apabila keadaan ini berlaku, seseorang itu mungkin akan mengalami situasi seperti, khayal pengsan, pening, muntah yang berlarutan atau cirit-birit.  Selain itu, ia juga boleh menyebabkan kerosakan pada bahagian organ-organ tertentu di dalam badan iaitu usus, paru-paru, mulut dan esofagus.

Mengulas mengenai kes warga emas yang meminum petrol di China, kata Sharfizam, ia sesuatu yang agak mengejutkan khususnya dalam dunia perubatan. Jika dilihat,  lelaki tua ini langsung tidak mengalami sebarang komplikasi buruk sepanjang dia meminum cecair tersebut. Setakat ini, agak sukar untuk memastikan dakwaan yang mengatakan minyak petrol boleh dijadikan agen penyembuhan untuk merawat penyakit. Ini kerana, masih belum ada kajian yang dapat membuktikan dakwaan itu.

Merujuk  pada kes ini, berlaku satu proses yang dipanggil sebagai proses adaptasi-proses penyesuaian yang berlaku secara biologi di dalam badan. Proses ini biasanya berlaku dalam pelbagai faktor. Antaranya ialah disebabkan pengaruh genetik, tekanan daripada kawasan persekitaran dan pengaruh di dalam sesuatu budaya.


Sebagai contoh, seseorang yang pertama kali mencuba makanan pedas selalunya akan mengalami proses adaptasi seperti rasa panas di bahagian mulut dan keadaan muka yang bertukar menjadi merah. Berbanding pula dengan seseorang yang sudah biasa dengan makanan pedas. Kebiasaannya, golongan ini akan mengalami proses adaptasi dalam skala yang lebih kecil dan rasa pedas mungkin sudah tidak dirasai lagi.

Comments

Popular posts from this blog

Laluan rahsia Genting Bidai

Pengawal Rumah Melayu Lama

Air yang menyembuhkan penyakit