Bangunan pencakar langit tertua di dunia

Sebuah menara kuno yang berketinggian 28 kaki, Tel Jericho, adalah sebuah binaan lama yang tersenarai sebagai sebuah bangunan pencakar langit yang tertua di dunia. Apa yang menariknya, binaan yang terletak berhampiran sebuah bandar Jericho, di Tebing Barat, Palestin, ini dikatakan menyimpan pelbagai rahsia yang masih belum terungkai. 

Sejak ia dijumpai pada tahun 1962, menara batu yang berada di dalam sebuah kota kuno yang dikenali Jericho, kini masih menimbulkan pelbagai tanda tanya. Untuk tujuan apakah ia dibina?

Keadaan misteri ini telah mendorong dua orang penyelidik arkeologi, Dr. Roy Liran dan Dr. Ran Barkai dari Jabatan Arkeologi, Universiti Tel Aviv, membongkar kisah yang tersembunyi di dalam binaan kuno tersebut. Berdasarkan penyelidikan mereka, bangunan purba itu dianggarkan telah dibina sekitar 11,000 tahun lalu.

Melihat pada keseluruhan binaannya, bangunan ini terdiri daripada bongkah-bongkah batu bersaiz besar dan disusun rapat mengikut arah menegak. Struktur ini secara tidak langsung memperkukuhkan teori bahawa ia adalah sebuah bangunan pencakar langit. Kebiasaannya, masyarakat kuno dahulu membina monumen sebegini adalah sebagai salah satu medium pertahanan.

Selain melakukan penyelidikan pada struktur bangunan itu, kedua-dua ahli arkeologi tersebut turut meneliti keseluruhan lokasi yang menempatkan binaan terbabit. Apa yang mengagumkan ialah, jelas menunjukkan binaan itu didirikan di suatu lokasi yang strategik. Berdasarkan kepada bentuk muka bumi, ia berada pada posisi yang sesuai sebagai benteng pertahanan daripada ancaman serangan pihak musuh.    

Bagaimanapun, dua orang penyelidik itu mengakui pemeriksaan mereka masih belum menunjukkan maklumat yang benar-benar tepat berkaitan identiti masyarakat yang menghuni kawasan terbabit. Namun, mereka percaya dan mengemukakan andaian yang munasabah bahawa masyarakat yang tinggal di kota kuno itu kemungkinan manusia prasejarah dari zaman Neolitik.

Berdasarkan bukti yang diperoleh, mereka turut mendakwa bahawa masyarakat ini amat mahir dalam kerja-kerja pertukangan batu. Ia jelas sekali dapat dilihat melalui kesemua bahagian penempatan kuno itu melalui struktur binaan yang sepenuhnya dibina dengan menggunakan batu.

Kota kuno Jericho turut dilihat mempunyai semua kemudahan sebagai sebuah bandar yang terancang. Selain mempunyai bangunan pencakar langit, ia turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti stor, kandang kuda, rumah ibadat dan lain-lain lagi.

Bagaimanapun, teori yang dikemukakan oleh dua orang penyelidik tersebut disangkal oleh penyelidik lain. Ini kerana, bangunan pencakar langit yang dijumpai itu langsung tidak menunjukkan ia sebuah binaan yang strategik daripada ancaman musuh. Sebaliknya, mereka mengemukakan satu teori bahawa bangunan terbabit dibina sebagai penanda wilayah antara kota Jericho dengan kawasan lain.

Selain itu, terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa bangunan tersebut dibina sebagai suatu simbol budaya yang menunjukkan masyarakat pada masa itu sudah bertamadun dan lebih maju berbanding dengan penduduk di kawasan lain. Bukan setakat itu saja, ia turut dianggap sebagai lambang kekayaan dan pengaruh kuasa yang kuat sistem pemerintahan pada masa itu.

Malangnya, andaian tersebut tidak cukup membuktikan kesahihan tujuan sebenar bangunan pencakar langit itu  dibina. Apatah lagi penyelidikan arkeologi yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan maklumat yang tepat mengenai binaan ini. Sehingga hari ini, Tel Jericho terus diselimuti misteri.  


Comments

Popular posts from this blog

Laluan rahsia Genting Bidai

Pengawal Rumah Melayu Lama

Air yang menyembuhkan penyakit