CSI: Langgar lari

Cuba anda bayangkan sekiranya salah seorang daripada keluarga anda menjadi mangsa jenayah langgar lari? Bagaimanakah perasaan anda pada ketika itu? Ya, tidak lain dan tidak bukan anda akan melahirkan perasaan yang sangat marah, sedih dan geram ekoran perbuatan yang tidak bermoral itu.

Tetapi, adakah kita sedar di sebalik perasaan yang kita rasakan itu tidak dapat mengembalikan semula orang yang kita sayangi. Lebih malang lagi, si pelaku jenayah ini masih lagi bebas di luar sana tanpa menerima hukuman yang sewajarnya.

Persoalannya, sejauh manakah tindakan pihak berwajib bagi menangani kesalahan jenayah ini? Dan, apakah kaedah siasatan yang dilakukan untuk membawa pesalah jenayah ini ke muka pengadilan?  

Hal ini mendapat perhatian daripada Ketua Jabatan Forensik, Hospital Putrajaya, Dr. Nizam Amil. Jelas beliau, terdapat dua keadaan yang boleh menerangkan terjadinya sesuatu kes langgar lari. Keadaan pertama, melibatkan kes kemalangan sivil di mana si pelakunya melanggar mangsa secara tidak sengaja. Bagi keadaan yang kedua pula, ia melibatkan kes jenayah terancang yang dilakukan secara sengaja atau erti kata lain bermotifkan pembunuhan.

Mengulas lanjut tentang perkara ini, kata Dr. Nizam, mengesan si pelaku jenayah langgar lari bukanlah suatu perkara yang mudah, lebih-lebih lagi melibatkan kehilangan nyawa. Ini kerana, ia sedikit sebanyak boleh merencatkan proses siasatan terutamanya mendapatkan keterangan mangsa yang menjadi bahan bukti penting dalam sesuatu kes jenayah langgar lari.    

Apabila situasi ini berlaku, bidang sains forensik memainkan peranan bagi membantu proses siasatan. Mengikut prosedur siasatan forensik, terdapat dua kaedah yang diguna pakai ketika mengumpulkan bahan bukti bagi sesuatu kes langgar lari. Antara kedua kaedah tersebut adalah melakukan siasatan di lokasi kejadian dan proses autopsi pada mayat mangsa.  

Bagi kaedah pertama, siasatan yang dilakukan biasanya meliputi beberapa perkara. Antaranya, mengambil keterangan daripada saksi-saksi, pengumpulan sampel seperti geseran tayar, serpihan lampu, kaca dan cat kenderaan. Selain itu, alatan digital seperti kamera litar tertutup (CCTV) turut diambil kira sebagai bahan bukti penting bagi membantu proses siasatan.

Seterusnya dalam proses autopsi pula, siasatan lebih tertumpu pada kecederaan yang dialami oleh mangsa. Melalui kaedah ini, ia sekali gus dapat memberi gambaran punca sebenar kematian mangsa. Jelas Dr. Nizam, terdapat enam faktor yang dinilai sewaktu proses autopsi dilakukan iaitu jenis kenderaan, tahap kelajuan, kesan pelanggaran, jenis-jenis luka, sampel darah  yang terdapat pada pakaian mangsa.

Katanya lagi, lebih daripada 50 kes kemalangan yang melibatkan langgar lari pernah dikendalikannya. Antara pengalaman yang tidak boleh dilupakannya adalah sewaktu melakukan bedah siasat salah seorang mangsa langgar lari baru-baru ini. Keadaan mangsa pada ketika itu cukup mengerikan apabila mengalami pendarahan yang serius, organ dalaman yang pecah dan separuh otak telah hancur.

Ujar Dr. Nizam lagi, tempoh proses autopsi bergantung pada tahap kecederaan yang di alami mangsa. Sebagai contoh luka yang sederhana  biasanya akan mengambil masa lebih kurang dua hingga tiga jam, tetapi sekiranya luka yang dialami mangsa didapati serius kemungkinan akan  mengambil masa selama sehari untuk disiapkan.


Selepas proses autopsi dilakukan, bukti yang dikumpulkan akan direkodkan. Sementara itu, beberapa sampel seperti  darah mangsa, serpihan yang terdapat pada pakaian dan mayat mangsa akan dihantar ke pihak polis untuk di analisa di dalam sebuah makmal khas untuk tindakan selanjutnya.  

Comments

Popular posts from this blog

Laluan rahsia Genting Bidai

Pengawal Rumah Melayu Lama

Air yang menyembuhkan penyakit