Suka makan batu bila alami masalah
Kira-kira 20 tahun lalu, seorang wanita yang
bernama Teresa Widener yang berasal dari Bedford, Virginia, Amerika Syarikat
sering mengalami masalah kemurungan. Pada waktu itu, boleh dikatakan setiap
hari dia berdepan dengan situasi sedih.
Ekoran keadaan itu, wanita tersebut menjadi tidak
keruan serta buntu memikirkan permasalahan yang dihadapinya. Disebabkan itu, dia
cuba meluahkan rasa tekanan yang dialaminya itu dengan......
Cuba anda teka, apakah tindakan yang diambil oleh
Widener untuk menghilangkan rasa stresnya itu. Agaknya pasti ramai yang mengandaikan wanita berkenaan akan mengambil jalan mudah
seperti menelan pil penenang atau lebih teruk lagi kemungkinan membunuh diri.
Kedua-dua andaian tersebut semuanya salah! Pasti ramai
yang tidak percaya bahawa wanita berkenaan sebenarnya memilih untuk meluahkan
rasa tertekan dengan memakan batu.
Menariknya, semakin banyak masalah yang dihadapinya maka jumlah
batu yang akan dimakannya akan bertambah. Percaya atau tidak, Widener boleh
memakan batu sebanyak 1.3 kilogram dalam tempoh seminggu.
Menurut wanita itu, setiap kali menghadapi masalah
atau stres dia akan keluar berjalan-jalan sambil mengutip objek tersebut. Pun
begitu, tidak semua batu yang dikutipnya sebaliknya dia memilih batu-batu
tertentu yang lebih lembut dan rapuh. Kebiasaannya, Widener akan menyimpan batu-batu
yang dikutipnya di dalam sebuah almari khas di rumahnya.
Setiap kali menjamah hidangan itu, wanita
berkenaan akan memastikan batu yang dikutipnya akan dipecahkan terlebih dahulu
menjadi ketulan-ketulan kecil . Biasanya, alatan yang digunakan adalah tukul besi.
Selepas itu, Widener akan mengunyah secara
perlahan-lahan dengan menggunakan gigi rahang pada bahagian sebelah kiri. Dakwanya,
dia berasa lebih relaks dan tahap tekanan yang dihadapinya mula berkurangan
sewaktu menikmati makanan tersebut. Selain rasanya yang enak, dia juga tertarik
dengan bau aroma tanah yang terdapat pada batu yang dimakannya.
Soalnya, sejauh manakah ‘hidangan’ ini yang
didakwa mampu mengurangkan stres? Bagaimana pula tahap kesihatan seseorang yang
menikmati makanan ini? Adakah wujud kesan sampingan jika ia diambil dalam
tempoh masa yang lama?
Mengulas mengenai perkara itu, dakwa Widener, dia
bukan sahaja menjadi lebih tenang bahkan turut membantu mengatasi masalah
kekurangan zat besi akibat penyakit anemia yang dihidapnya. Dia juga
memberitahu, setakat ini belum pernah menghidapi sebarang masalah serius ekoran
pemakanan peliknya itu, apatah lagi tahap kesihatannya sama seperti manusia
normal lain. Dia tidak menafikan pernah mengalami sakit perut tetapi ia jarang
berlaku.
Kini, tabiat pelik Widener yang suka memakan batu sejak
bertahun lamanya mula berubah. Sejak melangsungkan perkahwinan dengan
pasangannya iaitu, Jim Widener, wanita tersebut dipercayai telah berhenti
daripada menikmati ‘makanan’ tersebut. Keputusan itu, katanya, turut mendapat sokongan daripada suaminya yang
banyak membantu dirinya daripada menghilangkan ketagihan yang menjadikan batu
sebagai makanan.
Menurut
pensyarah dari Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains
Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Siti Nur’ Asyura Adznam,
Widener menghidap sejenis penyakit yang dikenali sebagai Pica. Ia selalunya
terjadi pada seseorang individu yang menghadapi masalah gangguan pemakanan atau
dikenali sebagai eating disorder.
Jelasnya, Pica
merupakan gangguan pemakanan yang melibatkan pengambilan sesuatu yang bukan
makanan (non-nutritive substances) secara berterusan dalam satu jangka masa
sekurang-kurangnya satu bulan pada umur di mana seseorang itu dapat membezakan
antara makanan atau bahan yang tidak sepatutnya dimakan (biasanya pada usia dua
tahun).
Kata Dr.
Siti Nur’ Asyura lagi, gangguan pemakanan ini bukan sahaja terbatas kepada
memakan batu, malah ada kes-kes yang melibatkan benda lain seperti memakan
pasir, tanah, sabun, najis, rambut, plastik, kertas, mentol lampu dan lebih
serius lagi memakan jarum. Kejadian ini sering berlaku di kalangan wanita dan
kanak-kanak, terutamanya wanita hamil serta kanak-kanak yang mengalami
kecacatan pertumbuhan seperti autisme.
Pica boleh
menyebabkan pelbagai komplikasi yang boleh memudaratkan kesihatan bergantung
kepada jenis bahan yang dimakan. Antaranya
ialah keracunan, jangkitan parasit (sekiranya individu memakan tanah-tanih), masalah
saluran penghadaman seperti ‘bowel obstruction’ yang boleh menyebabkan sembelit
serta jangkitan pada usus dan kerosakan pada gigi (sekiranya memakan
bahan-bahan yang keras seperti batu).
Sekiranya
mengalami keadaan seperti, rawatan perubatan segera seperti pembedahan adalah
salah satu cara terbaik bagi menangani
komplikasi yang dialami oleh seseorang itu seperti keracunan, jangkitan
parasit dan masalah saluran penghadaman.
Selain itu,
beberapa pendekatan lain seperti terapi tingkah laku, psiko-sosial dan juga
persekitaran turut diguna pakai bagi membantu individu yang mengalami masalah
ini. Justeru, ahli keluarga terdekat dilihat berperanan penting bagi mengurangkan
ketagihan amalan pesakit terhadap pemakanan seperti ini. Pesakit juga dinasihatkan
menjalani sesi kaunseling bersama pakar psikiatri.
Selain Pica,
terdapat beberapa lagi kategori gangguan pemakanan yang lain iaitu anoreksia nervosa, bulimia nervosa dan binge eating disorder.
Comments
Post a Comment