Minuman sejuk dalam tempoh tiga minit

Sebuah syarikat pengeluar minuman ringan terkenal di Amerika Syarikat, Joseph Company International, mengumumkan telah berjaya menghasilkan sejenis produk minuman baru yang berteknologi tinggi. Diberi nama sebagai Chill can, minuman ini akan menjadi sejuk sendiri dalam tempoh tiga minit tanpa perlu dimasukkan ke dalam peti ais.

Mungkin bunyinya seperti satu perkara mustahil untuk dilakukan. Malah tidak logik langsung
bila memikirkan minuman boleh sejuk tanpa menggunakan peti ais. Tetapi itulah realitinya. Percaya atau tidak, syarikat pengeluar minuman itu mendakwa perubahan suhu sejuk produk minuman baru tersebut boleh mencecah sehingga – 15 darjah Celcius.

Soalnya kini, apakah teknologi yang diguna pakai oleh syarikat tersebut yang mampu menghasilkan minuman ringan seumpama itu? Adakah penghasilannya sama seperti peti ais?

Idea ini tercetus apabila syarikat tersebut menemui satu formula baru teknologi yang dipanggil penyejukan mikro atau Micro Cooling. Difahamkan, syarikat pengeluar produk minuman itu telah menjalankan penyelidikan selama lebih dari 18 tahun sebelum berjaya menghasilkan minuman berkenaan.  

Orang yang bertanggungjawab menjumpai teknologi baru itu adalah seorang pegawai penyelidik di syarikat terbabit yang bernama Profesor Roland Clift. Menurutnya, penyelidikan ke atas minuman itu meliputi tiga peringkat utama iaitu mencuba, menguji dan menghasilkan produk yang mesra alam.

Menurut beliau, minuman ringan Chill can dilengkapi dengan teknologi khusus sehingga membolehkannya menjadi sejuk sekalipun ia diletakkan di kawasan yang bertakat pada suhu bilik. Teknologi yang dimaksudkan adalah penggunaan sejenis kapsul karbon. Kapsul karbon tersebut merupakan sejenis bahan yang diperbuat daripada tempurung kelapa.

Berdasarkan penyelidikan yang dilakukan, kapsul karbon tersebut dimasukkan ke dalam tin minuman berkenaan. Ujar beliau, terdapat satu butang khas direka pada bahagian bawah tin minuman berkenaan. Apabila butang itu ditekan, secara automatiknya kapsul karbon yang berisi gas karbon dioksida akan bertindak balas dengan cecair minuman ringan lalu mengubah suhu menjadi sejuk.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pengeluar minuman tersebut, Mitchell Joseph, penciptaan produk minuman baru ini bukan sahaja memiliki teknologi canggih malah turut menjimatkan penggunaan tenaga elektrik.

Tambah menarik, tempoh masa untuk mendapatkan minuman sejuk dilihat lebih cepat hanya beberapa minit sahaja berbanding cara lama seperti memasukkan minuman ke dalam peti ais atau bekas yang berisi ais. Ini bermakna, dengan Chill can, pengguna boleh membawa minuman ini ke mana-mana sahaja.

Melihat pada teknologi baru ini sudah pasti akan menjadi lebih cepat dan menjimatkan masa. Malah cara menggunakannya sangat ringkas. Ia Juga sangat berguna terutamanya bagi aktiviti luar seperti berkelah, memancing, atau bersukan. Nampaknya selepas ini kemungkinan industri pengeluaran peti sejuk dan ais ketul pasti akan gulung tikar. 

Pun begitu, minuman ringan berteknologi baru ini tidak direka untuk menghentikan industri tersebut. Sebaliknya, tujuan sebenar produk itu dipatenkan adalah untuk mengurangkan kesan rumah hijau.
Apa yang menariknya lagi, kata Joseph, minuman baru ini sesuai diminum oleh semua orang. Tidak seperti produk minuman ringan lain, Chill can tidak mengandungi kandungan gula, kafein, pewarna tiruan. Tambahnya lagi, produk baru keluaran tersebut sudah memasuki pasaran sejak Mac tahun lalu dan dijual dengan harga $3.95 dolar satu tin.

Difahamkan, syarikat pengeluaran minuman terkenal di Amerika Syarikat itu telah membelanjakan sekitar $ 8 juta dolar produk baru tersebut.

Comments

Popular posts from this blog

Laluan rahsia Genting Bidai

Pengawal Rumah Melayu Lama

Air yang menyembuhkan penyakit