Batu berbau kentut


Pengarang
epik Yunani yang dikenali sebagai Homer pernah menyebut tentang sulfur pada
abad ke-8 SM. Pada tahun 424 SM, kaum Boeotia telah merosakkan dinding-dinding
sebuah kota menggunakan pembakaran campuran arang batu, sulfur dan tar.
Penggunaan
sulfur makin lama makin berkembang dan manusia semakin bijak mengaplikasikan
sulfur dalam kehidupan harian, terutamanya dalam bidang ketenteraan. Pada
sekitar abad ke-12, orang Cina telah mencipta serbuk senapang, yang merupakan
campuran kalium nitrat, karbon dan sulfur.
Sehinggalah
beberapa kurun selepas itu, sulfur telah dimasukkan ke dalam perbincangan
sains. Dan pada lewat 1770-an, seorang saintis, Antoine Lavoisier telah
meyakinkan golongan sains bahawa sulfur merupakan sejenis unsur dan bukannya
satu sebatian.
Menurut
Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Ibrahim Ismail, di kalangan
masyarakat Melayu, sulfur lebih dikenali sebagai belerang. Sulfur dalam bentuk
aslinya adalah satu hablur pepejal lembut yang berwarna kuning. Dalam alam
semula jadi, ia boleh ditemui dalam bentuk unsur tulen atau dalam bentuk
mineral sulfida dan sulfat.
![]() |
Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Ibrahim Ismail |
Jelas
Datuk Ibrahim, sulfur adalah satu-satunya mineral pepejal yang melepaskan bau
busuk. Bauan sulfur dikatakan menyerupai bau telur busuk atau bau kentut. Ini
kerana kebanyakan bau busuk bahan organik mengandungi sulfur. Contohnya bau
busuk bawang putih dan bau busuk ‘skunk’ adalah disebabkan oleh sebatian
organik yang mengandungi sulfur. Bau ini berfungsi untuk mengesan sekiranya
berlaku sebarang kebocoran gas yang mudah terbakar.
Sulfur,
menurut Datuk Ibrahim, adalah sejenis batuan yang unik kerana mempunyai
pelbagai variasi warna dalam bentuk yang berbeza. Dalam bentuk pepejal atau
hablur, sulfur berwarna kuning terang. Namun, apabila terbakar, sulfur akan
menghasilkan nyalaan api yang berwarna biru. Bagaimanapun, perubahan warna
berlaku dengan ketara apabila sulfur menjadi cair yang mana warnanya akan
bertukar menjadi merah seperti darah.
.jpg)
Dalam
bidang perindustrian, sulfur mempunyai banyak kegunaan. Melalui terbitan
utamanya asid sulfurik, sulfur adalah antara unsur yang berkepentingan sebagai
bahan mentah perindustrian. Malah, ia dianggap sebagai kepentingan utama dalam
setiap sektor ekonomi dunia.
Sulfur
digunakan dalam pembuatan bateri, bahan pencuci, pemvulkanan getah, racun kulat
serta pembuatan baja fosfat. Oleh sebab sifatnya yang mudah terbakar, sulfur
juga digunakan untuk menghasilkan mancis, ubat bedil dan bunga api. Manakala
garam Epson atau garam sulfur boleh digunakan sebagai julap atau bahan penambah
mandian.
Pada
lewat tahun 1700-an, pengusaha-pengusaha perabot menggunakan sulfur untuk
menghasilkan hiasan tatah dalam rekaan-rekaan mereka dan dijual dengan harga
yang sangat tinggi. Namun, penggunaan sulfur ini boleh menyebabkan bahaya
kerana ia bakal mendedahkan tukang ukir dengan gas beracun sulfur dioksida yang
terhasil semasa peleburan sulfur. Justeru ketukangan ini tidak diteruskan lagi.
Comments
Post a Comment