Tulang yang sentiasa rapuh


Seorang lelaki, Adnan Sani dari Kampung Sangkut, Batu Kurau, Perak telah didapati mengalami satu sindrom aneh yang menyebabkan keseluruhan tulang-temulang di badanya menjadi terlalu rapuh. Walaupun dengan hanya satu sentuhan kecil, tulangnya akan patah riuk, seterusnya membuatkan pertumbuhan tulang itu menjadi membengkok.

Menyusuri perjalanan ke Kampung Sangkut, ia merupakan sebuah perkampungan kecil yang terletak di pinggir daerah Larut Matang dan Selama. Tiada apa yang istimewa di sini, melainkan suasana kampung yang dingin dikelilingi bukit-bukau dan pemandangan yang menghijau. Dari jauh, kelihatan Lata Buluh yang menjadi identiti beberapa perkampungan di sekitarnya.

Penulis meredah ke kawasan penempatan yang terletak kira-kira 30 minit dari bandar Taiping ini untuk mencungkil kisah seorang lelaki yang mengalami sindrom kerapuhan tulang. Berdasarkan maklumat yang diterima, lelaki ini merupakan seorang pemilik bengkel di perkampungan berkenaan. Dengan bantuan daripada sistem GPS, penulis berjaya sampai ke kawasan ini dan menemui sendiri dengan individu yang dimaksudkan.

Beliau adalah Adnan Sani atau lebih dikenali sebagai Nan Peka, seorang lelaki berusia 41 tahun yang mahir dalam kerja-kerja membaik pulih motosikal. Daripada loghat yang dipertuturkannya, ternyata Adnan merupakan anak jati kelahiran Batu Kurau.

Bercerita tentang sindrom kerapuhan tulang melampau yang dialaminya, menurut Adnan, ia berlaku semenjak beliau bayi lagi. Disebabkan tulangnya yang terlalu rapuh, hanya dengan sedikit sentuhan sahaja sudah boleh membuatkan ia patah. Apatah lagi jika terjatuh, sudah pasti ia akan menjadikan beberapa bahagian tulangnya riuk. Malah, jika merangkak sekalipun, tulang lengannya akan patah disebabkan tidak mampu menanggung beban badannya.

Dalam hidupnya, tulang beliau telah patah lebih daripada 50 kali. Bahkan, kejadian tersebut boleh mencecah sehingga lapan kali dalam sebulan. Ia termasuklah disebabkan oleh terjatuh, mengangkat beban berlebihan dan ditepuk oleh orang lain secara tidak sengaja.

Disebabkan penyakit ganjilnya itu, beberapa bahagian tangan dan kakinya menjadi bengkok seolah-olah mempunyai beberapa sendi. Jangankan hendak membuat kerja yang berat-berat, waima kerja yang paling ringan seperti mengutip buah sekalipun tidak mampu dipikulnya.

Ketika usianya masih kanak-kanak, Adnan hanya mampu tengok rakan-rakan sebayanya bermain bola sepak, berlari-lari sekeliling kampung dan bermandi-manda di sungai. Pendek kata, apa jua aktiviti lasak yang dilakukan oleh orang lain, dia hanya mampu lihat dari atas kerusi roda sahaja. Jangankan hendak turut serta, untuk berjalan pun dia bimbang tulang akan patah lagi.

Disebabkan bimbang dengan sindrom itu, pergerakannya menjadi terbatas. Justeru, kejadian itu telah menyebabkan tumbesaran tulang kerangka beliau menjadi tidak normal, terutamanya di bahagian kaki dan tangan.

Jelas Adnan lagi, sindrom ini bagaimanapun terhenti ketika usianya menjengah 15 tahun. Tulangnya didapati menjadi lebih kuat, tetapi keadaannya terus membengkok dan kekal sebegitu hingga kini.

Kata Adnan, setiap kali tulangnya patah, ia tidak boleh diubati, sama ada secara tradisional mahupun moden. Ini kerana ia hanya menyebabkan kesakitan di tempat yang patah sukar untuk pulih dan akan memakan masa yang lebih lama untuk tulang kembali berfungsi. Sebaliknya jika, kepatahan tersebut dibiarkan tanpa sebarang rawatan, ia akan pulih dalam masa lebih kurang lima hari sahaja. Namun, tulang tersebut akan tumbuh membengkok.

Berdasarkan apa yang diceritakannya, sindrom ini merupakan sejenis penyakit keturunan. Ini kerana penyakit tersebut diperoleh daripada bapanya, Sani Baha yang turut dikongsi bersama dua adik-beradiknya yang lain. Malah, penyakit itu juga didapati menjangkiti anak bongsu beliau, Mohd Khairul Ikram yang berusia tujuh tahun.

Bersumberkan daripada apa yang diceritakan oleh Adnan, penulis cuba untuk mencari penjelasan saintifik berkenaan sindrom aneh yang dialami olehnya. Bagaimanapun, beberapa pakar yang penulis temui sukar untuk memberi jawapan sahih berkenaan perkara ini dan menganggap ia merupakan satu perkara baru dalam bidang perubatan.

Setakat ini, sindrom terhampir yang boleh dikaitkan dengan apa yang dialami oleh Adnan ialah Poliomielitis. Ia merupakan sejenis penyakit lumpuh yang disebabkan oleh virus.

Poliovirus yang menjadi agen utama penyakit ini masuk ke dalam badan manusia melalui mulut dan menyerang usus serta sistem saraf manusia pada bahagian tulang belakang sehingga mampu membuatkan otot-otot manusia menjadi lemah dan lumpuh. Bagaimanapun, kejadian tulang rapuh yang dialami oleh Adnan masih belum jelas menunjukkan ia simptom Poliomielitis. 

Comments

Popular posts from this blog

Pengawal Rumah Melayu Lama

Laluan rahsia Genting Bidai

Air yang menyembuhkan penyakit