Kenali si jutawan sampah!


Pada setiap hari, seorang lelaki yang bernama, Curt Degerman, 60, dari Skelleftea, Sweden akan memulakan tugasnya di sekitar kaki lima dan lorong-lorong belakang bangunan. Satu persatu tong sampah akan diselongkarnya untuk mencari seberapa banyak barang terpakai yang ada sebelum menjualnya ke sebuah pusat sekitar semula.

Bagi masyarakat setempat, lelaki ini sememangnya cukup dikenali dengan sifat pengotor yang suka memakan sisa-sisa makanan dari tong sampah. Disebabkan itu, ramai jiran tetangga dan orang di sekelilingnya termasuk saudara-maranya sendiri sering kali memandang rendah dan jijik terhadap lelaki ini.

Bagaimanapun, ramai yang tidak mengenali karakter sebenar lelaki tersebut. Pasti ramai yang tidak menyangka bahawa dalam diam-diam dia sebenarnya adalah seorang jutawan. Bermodalkan wang simpanan hasil barangan terpakai yang dikutip dalam tong sampah, Degerman dikatakan memiliki kekayaan rahsia bernilai USD $ 1.6 juta (RM 5.21 juta) menerusi pelaburannya di pasaran saham.

Menurut sebuah laporan akhbar, The telegraph, Degerman merupakan seorang pelabur yang sangat aktif dalam pasaran saham antarabangsa. Biarpun penampilannya yang selekeh, lelaki ini dikatakan sering kali mengunjungi perpustakaan awam untuk membaca dan meneliti berita kewangan di dalam akhbar.

Seorang saudara terdekatnya (tidak dinyatakan nama) memberitahu, Degerman merupakan seorang yang mahir dalam dunia pelaburan. Difahamkan, pada setiap hari lelaki tersebut banyak menghabiskan masanya di perpustakaan awam sambil membaca akhbar kewangan tempatan, Dagens Industry, bagi mengetahui kedudukan terkini pasaran saham dunia.

Sewaktu zaman kanak-kanak, Degerman disifatkan saudara-maranya sebagai seorang yang genius. Malangnya, akibat krisis peribadi yang dialaminya menyebabkan lelaki tersebut terpaksa menyara hidupnya dengan mengutip sampah.

Pada musim luruh 2008, Curt Degerman, disahkan meninggal dunia akibat serangan penyakit jantung. Ekoran kematiannya, berlaku situasi perebutan harta di kalangan saudara-maranya yang masing-masing bertengkar kerana mahu mewarisi harta si jutawan sampah tersebut. Dipercayai, Degerman telah menyimpan sejumlah wang bernilai USD$1.1 juta (RM3.58 juta) dalam satu akaun bank di Switzerland.

Selain itu, dia turut menyimpan jongkong emas yang bernilai kira-kira USD$378,000 (RM1.2 juta) dan sejumlah wang USD$1,358 (RM4,428) di rumahnya.

Sementara itu, seorang bekas pekerja bank, Jason Mohr, sanggup meletak jawatan semata-mata untuk membuka sebuah syarikat mengitar semula sampah. Apa yang menariknya, lelaki ini rela melepaskan gaji tahunan yang dibayar majikannya sebanyak £250,000 Paun Sterling.  

Bagaimanapun, keputusan berani mati yang dibuat lelaki tersebut ternyata berbaloi apabila syarikat miliknya berjaya mengaut keuntungan sebanyak 16 kali ganda daripada nilai tawaran tadi iaitu kira-kira £4 juta Paun Sterling dari gaji lamanya. Kemajuan syarikatnya yang diberi nama, Any Junk, menunjukkan perkembangan yang baik sehingga di senaraikan sebagai salah sebuah syarikat mengitar semula sampah yang terbesar di London, England. 

Mohr yang menubuhkan syarikat pada tahun 2004, pada mulanya menumpukan pengitaran semula bahan buangan pejabat seperti meja, kerusi, peralatan komputer, kertas dan plastik. Kemudiannya, operasi syarikat tersebut diluaskan lagi ke beberapa tempat lain termasuk kawasan perniagaan dan perumahan orang awam. Menggunakan logo seekor gajah berwarna putih dan trak berwarna merah, syarikat milik lelaki ini akan berada pada setiap tempat  di sekitar Bandaraya London. 

Di Vancouver, Kanada, pula terdapat lagi seorang lelaki yang berjaya menjadi jutawan hasil daripada sampah. Menggunakan slogan “Kami akan menyembunyikan sampah anda dalam sekelip mata”,  Brian Scudamore telah berjaya menubuhkan sebuah syarikat penyingkiran bahan buangan yang diberi nama ‘1800-Got Junk’ pada tahun 1989. 

Ketika awal penubuhan syarikatnya, Scudamore hanya menjalankan operasi mengutip sampah dengan sebuah trak pengangkut yang berharga USD$700. Ekoran sambutan hangat yang diterima, lelaki ini akhirnya berjaya meluaskan operasi syarikat miliknya di dua buah negara iaitu  Amerika dan Australia. Kini, Scudamore boleh dianggap taikun dalam bidang perniagaan sampah selepas berjaya menubuhkan lebih 220 francais yang dianggarkan bernilai USD$100 juta.  

Comments

Popular posts from this blog

Pengawal Rumah Melayu Lama

Laluan rahsia Genting Bidai

Air yang menyembuhkan penyakit