Kenali budak kelawar dari England


Lucas Murray, 9 tahun, merupakan seorang kanak-kanak lelaki yang cacat penglihatan sejak lahir lagi. Istimewanya, budak lelaki buta yang tinggal di Dorset, England ini ialah dia masih mampu melakukan pelbagai aktiviti sama seperti kanak-kanak normal lain seperti berlari, bermain bola keranjang dan mendaki bukit.

Soalnya, bagaimana kanak-kanak tersebut boleh melakukan perkara sedemikian rupa? Jika dilihat secara logik, ia adalah suatu perkara yang mustahil khususnya seseorang kanak-kanak yang mengalami kecacatan penglihatan.

Jelas Murray, dia menganggap kecacatan penglihatan yang dialaminya tidak menjadi penghalang untuk dia melakukan aktiviti seperti kanak-kanak normal lain.  Semenjak berusia tujuh tahun, dia telah dilatih untuk mempelajari satu teknik iaitu menggunakan deria telinga bagi menggambarkan objek yang berhampiran dengannya.

Kata kanak-kanak istimewa itu lagi, dia mula mengenali teknik tersebut daripada seorang pengasas sebuah pertubuhan kebajikan golongan buta di England, bernama Daniel Kish. Ia berlaku sewaktu kedua ibu bapanya menyaksikan sebuah rancangan yang dikelola Kish menerusi televisyen.

Melalui rancangan itu, pengasas pertubuhan kebajikan golongan buta itu telah memperkenalkan satu teknik bagaimana untuk membantu golongan cacat penglihatan menjalankan  aktiviti seharian mereka seperti manusia normal lain. Dengan meletakkan lidah pada bahagian lelangit mulut, teknik ini akan membantu golongan buta mengenal pasti kedudukan sesuatu objek berdasarkan lantunan semula bunyi.

Tertarik dengan kaedah itu, ibu bapa Murray telah menghubungi Kish bagi meminta dia mengajar anak mereka teknik tersebut. Sewaktu pertama kali mempelajari teknik tersebut, Murray memberitahu, dia menghadapi kesukaran untuk melakukan kaedah itu. Ini kerana, teknik menggunakan deria telinga memerlukan tahap fokus yang tinggi bagi golongan cacat penglihatan agar objek terdekat  yang digambarkan benar-benar tepat. 

Teknik yang digunakan oleh Murray itu sama dengan yang digunakan oleh kelawar dan ikan lumba-lumba. Penggunaan teknik itu menyebabkan dia dikenali dengan panggilan budak kelawar. Murray dipercayai kanak-kanak lelaki pertama di Britain yang menggunakan gema bunyi bagi menggambarkan benda di sekelilingnya. 

Hal ini turut mendapat perhatian daripada pakar Otolaryngonology dari Klinik Pakar ENT, Sungai Chua, Kajang, Dr. Esa Rejab.

Menurut kajian Neurosaintis, teknik ini dinamakan Echolocation. Ia diaplikasikan melalui bunyi yang dikeluarkan dari mulut subjek ke arah sesuatu objek untuk menghasilkan bunyi gema (Echo).  Kemudian, lantunan sesuatu bunyi itu akan menghasilkan impuls – sejenis gelombang elektrik yang bergerak melalui gentian saraf apabila terangsang. Impuls  yang diterima ini akan diterjemahkan ke korteks penglihatan dan membolehkan otak kita menggambarkan keadaan objek yang berada di sekeliling.

Ujarnya, kebolehan ‘melihat’  menggunakan teknik  Echolocation  mempunyai asas saintifik yang cukup jelas. Secara kasar, otak kita dapat mengetahui arah  bunyi dengan cukup jelas, dengan syarat kedua-dua telinga kita berfungsi dengan baik. Keadaan ini berlaku apabila korteks pendengaran (auditory coretx) dapat memahami  perbezaan waktu iaitu satu tempoh hanya beberapa milisaat yang diambil untuk bunyi sampai kepada kedua telinga.

Teknik ini diguna pakai secara semula jadi oleh mamalia seperti kelawar dan dolfin. Teknik  Echolocation  ini boleh dipelajari dan diguna pakai  untuk orang-orang buta dengan syarat ia mempunyai pendengaran yang baik.



Antara individu buta yang pernah melakukan teknik Echolocation

·         James Holman (1786-1857) -  merupakan individu pertama yang menggunakan teknik Echolocation.  Beliau adalah seorang pengembara buta yang menggunakan bunyi ketukan tongkat untuk menjelajah seluruh dunia.

·         Daniel Kish- merupakan individu penting memperkenalkan teknik Echolocation kepada golongan cacat penglihatan. Beliau yang juga pengasas satu pertubuhan kebajikan orang buta telah membantu ramai remaja buta melakukan aktiviti lasak seperti berbasikal, mendaki gunung dan sebagainya.

·         Ben Underwood – Pada usia dua tahun, remaja ini telah disahkan menghidap kanser retina. Uniknya, pada usia lima tahun Ben telah memiliki satu kebolehan luar biasa di mana dia mampu objek dengan menggunakan lidahnya. Dengan kebolehan itu, dia mampu berlari, bermain bola keranjang, bermain papan selaju dan bola. Pada 19 Januari 2009, Ben akhirnya telah meninggal dunia selepas akibat penyakit kanser yang dialaminya.

Comments

Popular posts from this blog

Laluan rahsia Genting Bidai

Pengawal Rumah Melayu Lama

Air yang menyembuhkan penyakit