Resurrectionists, si pencuri mayat

TAHUKAH anda suatu masa dulu, kegiatan mencuri mayat dianggap sebagai salah satu kerjaya yang begitu popular? Kalau sekarang, pekerjaan ini mungkin dirasakan agak pelik, menjijikkan dan satu jenayah besar. Tapi tidak pada zaman dahulu.

Pada sekitar abad ke-18, undang-undang awal Britain melihat kegiatan ini cuma kesalahan ringan dan bukannya perbuatan jenayah. Polis New Zealand juga tidak boleh bertindak menangkap pencuri mayat kerana ia tidak menyalahi undang-undang negara itu. Tapi dengan syarat, barang perhiasan atau pakaian si mati tidak boleh diambil bagi mengelakkan dikenakan tindakan.

Oleh kerana ia dianggap sebagai satu perkara biasa, maka ramai yang membuka perusahaan dan berkecimpung dalam karier ekstrem ini. Lazimnya, selain digelar sebagai perompak mayat, mereka yang mempraktikkan kerja gila ini juga dikenali dengan nama body snatching atau resurrectionists. Pelik, untuk tujuan apa sebenarnya kerja mengambil jasad orang yang sudah mati ini dilakukan?

Awalnya, ramai mengesyaki aktiviti ini dijalankan untuk tujuan pemujaan. Namun selepas disiasat, didapati mayat yang dicuri itu sebenarnya dijual kepada institut perubatan di seluruh dunia bagi kegunaan bahan spesimen ahli bedah dan pakar anatomi.

Sebelum Akta Anatomi dikuatkuasakan pada tahun 1832, para pelajar perubatan di Britain diwajibkan menjalani praktikal dengan melakukan pembedahan ke atas tubuh manusia. Ia adalah  sebagai prasyarat untuk menjadi pakar bedah berlesen. Tapi undang-undang ketika itu cuma membenarkan kajian anatomi dilakukan ke atas tubuh penjenayah yang telah dijatuhi hukuman mati sahaja.

Dilaporkan, institut perubatan berlesen akan menerima lebih kurang 50 mayat setiap tahun. Tetapi bekalan tersebut masih belum mencukupi kerana permintaan ketika itu melebihi 500 mayat setahun. Akhirnya, sekitar abad ke-15, ahli anatomi mula menggunakan kaedah lain. Mereka mula keluar sendiri atau secara berkumpulan memburu mayat segar sebagai tuntutan pembelajaran dan kajian ilmiah. Kes pertama dilaporkan dilakukan oleh empat pelajar perubatan di Bologna, Itali pada tahun 1319.

Sebaliknya, mereka yang tidak berani melakukan perkara itu pula hanya akan menempah mayat daripada pekerja resurrectionists – lelaki yang dibayar untuk menggali dan memberikan tubuh manusia.

Di Amerika Syarikat, resurrectionists bekerja dalam kumpulan yang kecil. Salah seorang daripada mereka akan ditugaskan menunggu di kawasan perkuburan untuk meninjau kalau-kalau ada majlis pengebumian. Selalunya, mereka lebih suka menyasarkan kuburan baru kerana tanah masih berkeadaan lembut, mudah untuk mereka melakukan kerja-kerja menggali serta mengeluarkan mayat dari kuburan kelak.

Operasi ini biasanya dijalankan pada waktu malam. Dengan berbekalkan penyodok tanah, mereka akan memulakan proses mengorek dari bahagian kepala kubur. Setelah itu keranda dipotong, badan mayat diikat menggunakan tali dan ditarik keluar.

Kain kafan mayat dibuka dan balutannya kemudian dimasukkan semula ke dalam tanah. Setelah itu kuburan yang dikorek tadi ditutup semula. Semua kotoran dibersihkan dengan penuh berhati-hati sehingga tidak terlihat satu pun kesan penggalian dilakukan. Selesai membersihkan kubur, mayat dimasukkan ke dalam guni, lalu dibawa ke institut perubatan untuk dijual.

Sementara itu, ada sebahagian ahli resurrectionists pula sanggup menggali terowong sejauh 20 meter sehingga memasuki kubur yang dikehendaki. Secara senyap-senyap, mayat ditarik keluar melalui terowong tanpa pengetahuan keluarga si mati. Ada kalanya, mereka beralih kepada kaedah lain dengan mengupah wanita sebagai mata-mata ketika menziarahi keluarga si mati.

Wanita berkenaan akan bertindak mencuri mayat dari dalam keranda. Isi keranda itu seterusnya digantikan dengan benda berat bagi mengelakkan daripada perlakuan ini dapat dikesan oleh keluarga terbabit.

Sepanjang abad ke-18 dan 19, permintaan terhadap ‘barang basah’ atau mayat segar  semakin tinggi. Keadaan ini membuatkan keluarga si mati lebih berhati-hati. Justeru beberapa usaha dilakukan bagi mematahkan kes kecurian mayat. Antaranya, keranda mayat yang dahulunya diperbuat daripada kayu telah digantikan dengan peti besi. Pagar besi juga dibina di sekeliling kubur dan dipasangkan alat penggera.

Manakala mereka yang kurang berkemampuan pula mengawasi kubur orang tersayang secara bergilir-gilir pada setiap malam selama tiga minggu. Selepas itu, mereka tidak berjaga lagi kerana mayat telah reput. Usaha ini bagaimanapun tidak mematahkan semangat ahli resurrectionists.

Sekitar tahun 1827 hingga 1878, beberapa pengamal kegiatan ini bertindak menukar teknik lain yang lebih ekstrem. Kumpulan resurrectionists yang paling terkenal di Edinburgh, Scotland, William Burke dan William Hare, misalnya semakin berani menculik dan membunuh orang awam. Kemudian mereka menjual mayat mangsa tadi dengan bayaran yang sangat tinggi.

Di China, pekerjaan seperti ini sangat sering dilakukan. Bagaimanapun ahli resurrectionists di sana kerap mencuri mayat perempuan. Mayat itu kemudian dijual kepada keluarga yang baru saja kematian anak lelaki bujang. Mereka percaya bahawa sekiranya seorang pemuda yang meninggal dunia sebelum sempat berkahwin, mayat tersebut harus dikuburkan bersama seorang wanita. Jika tidak, jiwa si mati akan selalu kesepian.

Tindakan melampau ini bagaimanapun telah mendapat protes daripada orang awam. Atas kesalahan itu, akhirnya beberapa pengamal resurrectionists, doktor dan pelajar perubatan ditangkap. Semenjak itu, undang-undang dunia telah mengharamkan pekerjaan menjual mayat untuk tujuan kajian perubatan. 

Comments

Popular posts from this blog

Laluan rahsia Genting Bidai

Pengawal Rumah Melayu Lama

Air yang menyembuhkan penyakit