Bersin 12 000 kali sehari
Jika dilihat secara fizikal, dia kelihatan sama seperti kanak-kanak lain yang seusianya. Tetapi apa yang membezakan dia dengan mereka adalah tabiat bersin tanpa henti yang dialaminya. Inilah Lauren Johnson, yang mengalami simptom bersin 12 ribu kali sehari. Mengikut anggaran, dia akan bersin lebih 20 kali dalam seminit.
Itulah situasi yang perlu dihadapi oleh gadis yang berasal dari Virginia, Amerika Syarikat ini. Menurut ibu kepada Lauren, Lynn Johnson, fenomena pelik yang menimpa anaknya ini bermula daripada selesema yang dihadapinya selama dua minggu. Ketika itu Lauren hanya bersin seperti biasa. Namun, selepas selesema hilang, bersinnya masih lagi ada malah semakin menjadi-jadi.
Jelas Lynn lagi, simptom bersin yang berterusan ini bukan sahaja membimbangkan anaknya, malah dia turut berasa bimbang setiap kali mendengar anak gadisnya itu bersin. Ekoran daripada simptom itu, Lauren terpaksa menangguhkan persekolahan sehingga kesihatannya benar-benar pulih.
Sepanjang tempoh itu, berat badan Lauren semakin kurang kerana waktu makannya selalu terganggu akibat bersin yang tidak henti-henti. Jelas Lauren, dia hanya berasa selesa ketika waktu tidur sahaja kerana pada waktu itulah dia tidak mengalami sebarang bersin.
Persoalannya, bagaimana bersin Lauren ini boleh menjadi begitu kritikal?
Perbincangan mengenai fenomena Lauren ini telah mendapat perhatian ramai ahli perubatan di Virginia. Namun, apa yang membingungkan, sehingga kini para doktor yang merawatnya masih belum dapat memastikan jenis penyakit yang dihadapi oleh Lauren. Walaupun begitu, para doktor menyifatkan Lauren mengalami sindrom ‘machine gun sneezing’.
Bagaimanapun, menurut Dr. Esa Rejab, Pakar Perunding & Bedah Penyakit Hidung, Telinga dan Tekak, dari Klinik Pakar ENT Esa, menjelaskan istilah ‘machine gun sneezing’ ini diguna pakai berdasarkan fenomena yang dialami oleh Lauren dan ia bukanlah terminologi yang merujuk kepada penyakit yang dihadapinya.
Pada umumnya, bersin bukanlah sesuatu yang serius tetapi kadang kala boleh mengganggu jika ia kerap berlaku. Walaupun begitu, bersin adalah perkara normal bagi setiap individu. Kebiasaannya, setiap individu akan bersin lima ke enam kali dalam sehari dan keadaan ini bergantung kepada persekitaran di mana seseorang itu berada.
Dr. Esa Rejab |
Jelas Dr. Esa lagi, bersin adalah mekanisme pertahanan diri untuk mengeluarkan bahan iritasi dari hidung. Ia juga merupakan satu hembusan angin yang kuat melalui hidung dan mulut yang berlaku secara tiba-tiba dan tidak disengajakan. Ketika bersin, udara kotor keluar dengan laju dan boleh mencapai tahap kelajuan sekitar 161 kilometer sejam.
Kata Dr. Esa lagi, fenomena anomali yang berlaku terhadap Lauren ini adalah pelik dan sangat jarang berlaku. Ia menunjukkan rangsangan saraf di bahagian muka Lauren begitu tinggi. Jelas Dr. Esa, Lauren mungkin menghadapi simptom alergi yang begitu kritikal dan juga jangkitan virus yang mungkin tidak dapat dikesan. Jika sebelum ini seseorang itu tidak pernah alergi pada sesuatu benda, ia boleh datang tanpa disedari.
Penyebab kepada alergi ini boleh berlaku dalam banyak situasi. Kebiasaannya, alergi berlaku di kawasan persekitaran yang berdebu, berasap dan lain-lain lagi. Manakala jangkitan virus pula akan mengakibatkan kita menghadapi selesema, demam dan gangguan di saluran pernafasan yang juga penyebab berlakunya bersin. Walaupun begitu, alahan yang dialami setiap individu adalah berbeza.
Ekoran itu, Dr. Esa menjelaskan, alergi dan jangkitan virus yang tidak disedari kemungkinan menjadi faktor yang paling tepat bagi fenomena ini. Tetapi Dr. Esa tidak menolak sekiranya terdapat gangguan lain terutamanya pada saluran pernafasan.
Oleh itu, jelas Dr. Esa, mengenal pasti punca bersin adalah langkah pencegahan utama yang paling berkesan. Walaupun terdapatnya rawatan seperti ubat Antihistamina dan semburan hidung (Nasal decongestants) dari ubat steroid yang digunakan untuk bersin akibat alergi, ia hanya memberi kelegaan sementara. Tetapi, kegunaan kedua-dua kaedah rawatan ini secara berpanjangan, boleh mengundang gejala yang lebih teruk.
Comments
Post a Comment