Fobia barang logam
DENGAN sengaja ataupun tidak, Zoe Ingleson akan pengsan setiap kali memegang mahupun terpandangkan alatan makanan yang diperbuat daripada logam terutamanya sudu dan garpu.
Hanya dengan mendengar bunyi dentingan sahaja, Ingleson akan menjadi trauma. Tubuhnya seakan-akan tidak bermaya, peluh mengalir dengan laju di seluruh badan dan serangan panik luar biasa akan berlaku.

Bunyinya seakan pelik, tetapi fenomena inilah yang terpaksa dihadapi oleh Ingleson bertahun-tahun lamanya. Malah, ahli keluarganya juga bingung memikirkan masalah ini. Tindak balas Ingleson terhadap barangan berlogam itu seakan-akan melihat Tarantula beracun datang menghampiri dirinya.


Timbul persoalan, adakah Ingleson hanya fobia terhadap sudu dan garpu sahaja? Bagaimana peralatan di rumahnya? Apa yang membuatkan dirinya menjadi begitu?
Ternyata fobia Ingleson tidak hanya pada set makanan sahaja. Apa yang menarik, hampir semua kelengkapan rumahnya diperbuat daripada plastik. Malah, jika dia melawat ke rumah saudara maranya, mereka juga telah menyediakan set peralatan makanan khusus yang diperbuat daripada plastik.

Menurut Pakar Psikologi Klinikal dan Pensyarah di Jabatan Psikiatri, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Siti Irma Fadhilah Ismail, fobia sebenarnya adalah sejenis penyakit yang dikategorikan sebagai penyakit keresahan atau dikenali sebagai anxiety disorder.
Penghidap penyakit ini kebiasaannya akan mengalami masalah ketakutan luar biasa dan kadang-kadang mengalami kemurungan. Walaupun fobia tidak dikategorikan sebagai penyakit mental, namun ia tetap menjadi perhatian para doktor disebabkan tingkah laku golongan ini yang tidak diduga.
![]() |
Dr. Siti Irma Fadhilah |
Umumnya, penyakit fobia ini disebabkan fenomena trauma yang pernah terjadi pada diri individu berkenaan. Malah, perasaan takut bagi penghidap fobia ini kadangkala sukar untuk difahami. Ujar Dr. Siti Irma, setiap individu sebenarnya mempunyai fobia dan rasa takut. Tetapi ia bergantung tentang bagaimana seseorang itu mengawal ketakutan mereka.
Menurut jurucakap badan kebajikan Anxiety,United Kingdom, dianggarkan hampir 13 peratus individu mengalami fobia dalam hidup mereka. Tahap fobia juga berbeza mengikut rasa takut dalam diri individu berkenaan. Misalnya ada individu yang langsung tidak boleh melihat labah-labah walaupun hanya melalui gambar sahaja.
Bagi kes yang berlaku kepada Ingleson ini, ia agak aneh kerana jarang-jarang ditemui. Bagaimanapun, kaedah penyelesaian yang boleh dilakukan adalah dengan mengelakkan diri daripada objek atau hidupan yang mendatangkan rasa fobia. Walaupun bunyinya agak sukar, ia merupakan salah satu cara yang difikirkan paling terbaik.
Comments
Post a Comment