Bulatan geometrik UFO
Hampir setiap tahun di England akan muncul bentuk lingkaran atau pun bulatan pokok-pokok gandum, barli, jagung dan oats yang direbah atau dipatahkan. Fenomena ini dikenali sebagai Crop Circles. Ia telah menjadi satu misteri tentang angkara siapakah perbuatan ini?
Disebabkan kejadian aneh ini berlaku pada waktu malam serta bentuk bulatan yang bergeometri serta rumit untuk dibuat di dalam kegelapan malam, maka petunjuknya adalah sesiapa yang melakukannya mesti mempunyai suatu agenda tersembunyi serta teknologi untuk menghasilkannya. Disebabkan tiada manusia yang boleh melakukannya dengan begitu rapi, maka fenomena UFO menjadi suspek utama. Ini diperkuatkan lagi dengan laporan kenampakan UFO di sekitar kawasan yang terbabit.
Kebanyakan bulatan tanaman yang dicatat di seluruh dunia telah dilaporkan berlaku di Wiltshire, England. Kemunculan fenomena ini mula dilaporkan oleh media pada 1980. Kekerapan kemunculan bulatan tanaman itu kemudiannya menarik perhatian kerajaan British.
Pada 1990 kabinet Britain telah bermesyuarat membincangkan fenomena ini bagi mengetahui implikasinya terhadap rakyat Britain serta dari sudut ketenteraan. Bagaimanapun, mereka tidak menemui jawapan kepada misteri bulatan tanaman! Mereka tidak tahu siapa yang membuatnya, untuk tujuan apa ia dibuat dan bagaimana ia dihasilkan.
Di ruangan ini kita akan mengenali dengan lebih dekat tentang misteri Crop Circles. Bagaimanakah rupa bentuk bulatan tanaman yang dimaksudkan? Untuk mendapatkan gambaran yang tepat, sila rujuk kepada gambar-gambar yang dipaparkan.
Saiz bulatan ini berbeza-beza. Akan tetapi kebanyakannya bersaiz besar dan untuk melihat bulatan serta mendapatkan gambaran geometri yang terbentuk, ia perlulah dilihat dari udara.
Satu lagi cirinya ialah tidak ada dua bulatan tanaman yang serupa. Setiap kali muncul, ia akan berwajah baru. Jika dibandingkan dengan bulatan tanaman yang muncul pada tahun 80-an, lingkaran masa kini didapati lebih kompleks. Ia seakan mengikuti perkembangan semasa.
Sebenarnya crop circles telah muncul di banyak negara. Pada tahun 2010 umpamanya, terdapat 22 buah bulatan tanaman yang terbentuk di Itali, 13 dicatat di Jerman, empat di Belanda dan Norway, Perancis (dua) dan masing-masing satu di United Kingdom, Argentina dan Russia. Tiada penemuan dicatat di Kanada atau Amerika Syarikat
Formasi bulatan tanaman biasanya berbentuk bulat. Di dalam atau di luar bulatan ini akan terdapat banyak lagi bulatan kecil serta garisan-garisan lain. Bentuknya amat menarik. Ia seakan direka di dalam komputer dan kemudian dicetak ke atas kertas.
Dalam keadaan sebenar ia dikatakan seperti dicipta di dalam komputer UFO dan kemudian dipancarkan tenagakuasa yang mampu membengkok batang tanaman untuk mendapatkan bentuk serta grafik yang dipilih.
Ciri seterusnya, pembentukan crop circles ini tidak terjadi dalam masa beberapa jam atau minit. Ia seperti terbentuk sekali gus dalam masa sesaat. Jika kita ada teknologinya, kita hanya perlu memancarkan satu bentuk tenaga kuasa ke atas tanaman dan pokok-pokok akan tumbang secara automatik. Sumber tenaga ini mestilah berada di udara dan dipancarkan ke bumi.
Hasil penyelidikan yang dilakukan pada pokok-pokok tanaman yang terbabit menunjukkan ia dibengkokkan di bahagian bawah, iaitu pada bukunya dan rebah ke bumi dalam bentuk bulatan. Seorang saintis Dr William Levengood telah menjalankan kajian pada 1989 dengan penemuan beberapa hasil yang menarik tentang bulatan tanaman ini. Antara hasil kajian itu ialah buku pada batang pokok didapati telah menjadi lebih panjang daripada biasa. Juga terdapat bahan bermagnet dijumpai di dalam contoh tanah.
Pemerhatian di dalam makmal pada batang pokok yang tumbang juga menunjukkan bahawa terdapat satu tenaga kuasa yang luar biasa telah digunakan untuk membengkok buku pokok-pokok terbabit. Dalam banyak kes, buku pokok telah memanjang dalam bentuk luar biasa. Tidak kurang menarik ialah didapati buku pokok terbabit telah pecah. Kejadian ini dianggap pelik kerana ia hanya boleh berlaku jika pokok tersebut terkena radiasi mikrowave.
Jika pokok gandum umpamanya yang terbabit dengan kejadian bulatan tanaman, para penyelidik mendapati kalau pokok tersebut sudah berbiji, maka bijinya akan terbantut pembesarannya. Ertinya, tentu ada satu bentuk tenaga kuasa yang menyebabkan ini terjadi.
Satu lagi keganjilan yang ditemui ialah kehadiran sejenis debu putih di tempat kejadian. Dalam satu kes yang berlaku di Belanda, hasil analisa di makmal pada bahan putih ini menunjukkan ianya 99.99 peratus magnesium karbonat. Sedangkan elemen ini tidak terdapat di kawasan tersebut.
Kemunculan bulatan tanaman ini telah mendorong penyelidik UFO serta beberapa saintis lain memikirkan apakah muslihat atau pun mesej yang ingin disampaikan oleh pembuat bulatan tersebut. Disebabkan terdapat berbagai bentuk geometrik pada bulatan tanaman, halnya sama seperti melihat pada sebuh lukisan abstrak, sepuluh orang yang melihatnya akan memberikan interpretasi yang berbeza-beza.
Begitu jugalah dengan fenomena ini. Setiap penyelidik mempunyai teorinya yang tersendiri. Ada orang yang mengaitkan sesetengah gambaran bulatan ini merujuk kepada aktiviti di matahari, ada yang mengatakan ia mempunyai hubungkait dengan kalendar Mayan dan ada juga yang mendakwa ia adalah mesej sistem propulsi kapal angkasa, dan sebagainya.
Sebenarnya, kita semua masih keliru dengan fenomena crop circles ini. Lakaran yang terbentuk mungkin juga tidak membawa apa-apa maksud atau pun mesej tertentu. Mungkin pihak terbabit ingin menguji psikologi serta minda manusia yang cuba menginterpretasinya. Mereka juga mungkin ingin melihat reaksi manusia kepada fenomena ini.
Apa yang jelas, bulatan tanaman memang wujud. Ia ada di depan mata untuk dikaji serta dianalisis. Terdapat puluhan bukti bukan saja dalam bentuk gambar, tetapi juga bahan tanaman untuk dianalisis. Apa yang tiada hanya UFO pada waktu lingkaran tersebut terjadi.
Oleh sebab itu, untuk mengaitkannya secara jelas dengan kehadiran UFO pada waktu kejadian, agak rumit. Bagaimana pun, suspek utama tetap UFO kerana tiada insan atau kejadian semula jadi alam seperti puting beliung dan sebagainya yang dapat melakukannya dengan begitu rapi, teratur serta jelas.
Seorang ahli kaji cuaca George Meaden telah menerbitkan sebuah buku yang menyatakan bahawa bulatan tanaman adalah disebabkan oleh Plasma-Vortex. Ini merujuk kepada sejenis angin bercampur kuasa elektromagnet. Memang teorinya agak popular tetapi ia tetap tidak dapat menjelaskan bagaimana kuasa ini boleh menghasilkan sesuatu yang begitu kompleks, teratur serta berukuran tepat dan unik di setiap sudut. Angin dalam bentuk apa pun tentu akan memukul serta membengkok pokok-pokok terbabit dalam keadaan berkecamuk dan tidak sistematik.
Di Malaysia belum lagi ada laporan formasi bulatan tanaman. Di sini tiada ladang gandum atau pun barli. Yang ada hanya landang jagung bersaiz kecil dan sawah padi yang juga berpetak dalam saiz yang kecil. Pihak yang ingin membuat bulatan tanaman nampaknya hanya berminat pada tanaman yang berhektar-hektar luasnya. Akan tetapi manalah tahu mungkin satu hari nanti mereka akan pilih ladang tebu di Chuping, Perlis. Ladangnya luas cuma kita tidak pasti sama ada pokok tebu yang berbatang besar dan keras, sesuai atau pun tidak bagi tujuan mereka!
Kewujudan bulatan tanaman serta beribu-ribu laporan kenampakan UFO di seluruh dunia menunjukkan kepada kita kemungkinannya amat tinggi bahawa ada terdapat satu bentuk kehidupan yang inteligen selain dari manusia di alam ini.
Mereka tidak dapat menunjukkan diri mereka secara terbuka kepada umum. Ini mungkin kerana ia akan memberi implikasi yang besar kepada kerajaan, politik, ekonomi serta keadaan sosial. Cuba bayangkan jika UFO muncul secara besar-besaran, tentu ramai yang akan panik. Kehidupan seharian akan jadi kucar-kacir, berlaku huru-hara dan ekonomi akan merudum.
Mungkin juga “mereka” ingin mengajar kita secara perlahan-lahan agar dapat menerima kewujudan mereka dengan tenang dan dengan fikiran yang terbuka. Dengan melakar berbagai bentuk geometri pada ladang tanaman dalam saiz yang besar dan dengan bentuk yang menarik, mungkin ia adalah cara terbaik untuk menarik perhatian serta memberitahu kita semua bahawa bukan manusia sahaja yang menghuni alam yang terbentang luas ini. Kita hanya perlu berfikir dan jawapannya akan datang kemudian.
MENARIK SANGAT
ReplyDelete