Tragedi berdarah May Lai
Bahagian kedua: Pembongkaran kekejaman di May Lai
Kekejaman tentera Amerika Syarikat terhadap penduduk May Lai mungkin akan terus dirahsiakan jika tidak disebabkan oleh Ronald Ridenhour. Dia adalah salah seorang yang memainkan peranan penting dalam memulakan penyiasatan terhadap kes pembunuhan beramai-ramai penduduk May Lai oleh Kompeni C, Batalion Pertama, Rejimen ke-20 Infantri pada 16 Mac 1968.
Kekejaman tentera Amerika Syarikat terhadap penduduk May Lai mungkin akan terus dirahsiakan jika tidak disebabkan oleh Ronald Ridenhour. Dia adalah salah seorang yang memainkan peranan penting dalam memulakan penyiasatan terhadap kes pembunuhan beramai-ramai penduduk May Lai oleh Kompeni C, Batalion Pertama, Rejimen ke-20 Infantri pada 16 Mac 1968.
Ridenhour yang dikerah menyertai tentera pada bulan Mac 1967, telah menjalani latihan asas tentera sebagai askar payung terjun. Pada Disember 1967, dia telah ditugaskan ke Pasukan Peninjau Jarak Jauh (LRRP), Briged 11 Infantri di Vietnam. Bagaimanapun, disebabkan kekurangan anggota dalam unit tersebut, ia dibubarkan.
Selepas itu, dia telah ditugaskan untuk menjadi Gunner (askar penembak) di dalam sebuah unit helikopter peninjau. Sebahagian daripada anggota unit yang lama, telah dihantar bertugas dengan Kompeni C, Batalion Pertama, Rejimen ke-20 Infantri (Kompeni pimpinan Kapten Ernest Medina).
Ronald Ridenhour |
Selepas menamatkan khidmat ketenteraannya di Vietnam, Ridenhour telah menulis sepucuk surat kepada ahli kongres dan pegawai kerajaan di Amerika pada bulan Mac 1969. Mengikut kandungan surat tersebut, dia mendakwa tentera Amerika Syarikat telah melakukan satu pembunuhan kejam di Vietnam.
Berdasarkan bukti yang dikemukakan melalui suratnya, Ridenhour mendapat maklumat kejadian pembunuhan tersebut daripada beberapa rakannya bertugas dalam Kompeni C. Salah seorang daripada rakannya, Michael Bernhardt memberitahu, hampir tiga hingga empat ratus penduduk termasuk lelaki, perempuan dan kanak-kanak di kampung May Lai telah menjadi mangsa.
Malangnya, maklumat lengkap mengenai kejadian pembunuhan itu gagal diperoleh oleh Ridenhour. Ini kerana, Bernhardt telah diberi amaran terlebih dahulu oleh Kapten Ernest Medina supaya tidak membocorkan rahsia pembunuhan tersebut. Namun, Ridenhour tidak berputus asa dan berjaya menemui Bernhardt di Chu Lai, Vietnam.
Kemudian kisah kekejaman itu turut dibongkar oleh seorang wartawan penyiasat bebas, Seymour Hersh. Laporan rencana yang bertajuk The Army’s Secret Investigation of the Massacre May Lai, telah membuka rahsia kekejaman yang dilakukan oleh tentera Amerika Syarikat.
Pada 12 November 1969, tiga buah agensi berita iaitu Time, Life dan Newsweek buat pertama kalinya melaporkan kisah pembunuhan May Lai pada khalayak umum di Amerika. Begitu juga dengan sebuah akhbar The Plain Dealer yang turut menyiarkan beberapa gambar mayat-mayat mangsa yang dibunuh.
Ekoran itu, cerita pembunuhan ini telah menyemarakkan penentangan rakyat Amerika terhadap Perang di Vietnam. Antara yang membantah adalah Pergerakan Keamanan Amerika yang menuntut supaya anggota tentera diundurkan sepenuhnya dari negara tersebut.
Pada November 1969, seorang pegawai yang berpangkat Jeneral, William Peers, telah dilantik untuk mengetuai sebuah kumpulan penyiasatan kes pembunuhan di May Lai. Ketika siasatan dilakukan, beliau telah menemu bual 398 orang saksi serta mengumpulkan kenyataan 20,000 muka surat.
Pada September 1969, Peers dan kumpulannya meneruskan lagi siasatan ke Vietnam untuk melihat sendiri lokasi kejadian pembunuhan itu. Setibanya di tempat kejadian, mereka amat terkejut melihat kesan kekejaman yang dilakukan oleh Kompeni C. Kejadian yang berlaku jauh lebih menyayat hati daripada apa yang diceritakan Ridenhour di dalam suratnya.
Berikutan itu, Peers dalam laporannya pada tahun 1970 mengkritik kepimpinan atasan tentera yang menyembunyikan kekejaman tersebut. Beliau juga mengecam pembabitan dua orang pegawai yang terbabit, William Calley dan Ernest Medina.
Seymour Hersh |
Akhirnya, pihak Jabatan Pertahanan Amerika telah menjalankan siasatan dan berjaya membawa kepada pendakwaan atas tuduhan membunuh dengan niat ke atas Leftenan William Calley dan 25 anggota lain, termasuk Pegawai Pemerintah, Kapten Ernest Medina.
Selepas perbicaraan dijalankan, Kapten Ernest Medina dan 25 anggota lain yang terlibat dalam kejadian tersebut digugurkan daripada pertuduhan. Manakala, Leftenan William Calley telah disabitkan bersalah ekoran membunuh orang awam.
Bagaimanapun, Presiden Nixon bertindak campur tangan dan mengarahkan agar Calley menjalani hukuman tahanan rumah. Pada 10 September, Calley diberikan parol selama tiga setengah tahun. Pembelaan Calley bercanggah dengan peraturan perlaksanaan perang seperti yang ditetapkan semasa Perbicaraan Perang Nuremberg dan Perbicaraan Perang Tokyo. Tribunal ketika itu bahawa tidak ada sesiapa yang boleh dikecualikan daripada hukuman jenayah di mana tentera-tentera Jerman dan Jepun dijatuhkan hukuman bunuh kerana melakukan kesalahan yang serupa.
Comments
Post a Comment