Perjalanan Gendang Dongson

Ukiran yang memiliki nilai yang tinggi

Sebanyak lapan buah artifak gendang gangsa dari jenis Heger I yang juga dikenali sebagai gendang Dongson telah dijumpai di semenanjung Malaysia. Lokasi jumpaan artifak berkenaan ialah di Kampung Batu Pasir Garam, Sungai Tembeling, Pahang; Bukit Kuda, Klang, Selangor; Sungai Lang, Kampung Sungai Sedu, Kampung Batu Buruk dan Kampung Gaung, si Terengganu.

Walaupun kebanyakan artifak ini ditemui dalam rupa bentuk yang tidak begitu sempurna, ia amat penting kepada kajian arkeologi zaman pra sejarah, khususnya perkembangan kebudayaan Dongson. Ini kerana, kajian terhadap gendang tersebut secara tidak langsung dapat menyelesaikan beberapa persoalan tentang zaman logam di Malaysia.

Lokasi penemuan Gendang Dongson
Antara persoalan yang sering menjadi polemik ialah wujudkah Zaman Gangsa tulen di Malaysia? Kedua, apakah kaitannya dengan zaman besi? Di manakah asal-usul gendang Dongson? Apakah fungsi gendang Dongson? Bagaimanakah gendang ini sampai ke Malaysia? Dan persoalans eterusnya ialah, kenapakah artifak ini berada di kawasan tertentu sahaja?

Menjawab persoalan-persoalan tersebut, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Ibrahim Ismail menjelaskan, gendang Dongson adalah sejenis artifak yang bentuknya seperti gendang dan keseluruhannya adalah diperbuat daripada gangsa. Ia diperbuat terdiri daripada beberapa jenis komponen logam seperti tembaga, timah, plumbum, besi dan zink.

Datuk Ibrahim Ismail
Artifak berkenaan dipercayai berasal dari sebuah perkampungan yang bernama Dongson yang terletak dalam daerah Thanh Hoa, utara Vietnam. Selain turut dijumpai di Malaysia, gendang ini turut dijumpai di beberapa lokasi lain di Asia Tenggara seperti Thailand, Burma, China dan Laos. Ia juga turut ditemui di gugusan kepulauan Indonesia seperti Selayar, Sangeang, Flores, Alor, Roti, Pulau Serua, Pulau Gorom, Pulau Buru, Irian Jaya, Leti, Luang dan Pulau Kai.

Bagaimanapun, kata Ibrahim, penyelidikan ke atas gendang Dongson di Malaysia secara intensif masih belum dilakukan. Namun, berdasarkan kajian yang dilakukan itu, didapati corak ukiran pada gendang Dongson yang dijumpai di beberapa kawasan di negara ini mempunyai beberapa jenis motif. Ia hampir sama dengan corak yang terdapat pada gendang Dongson yang dijumpai di Vietnam.

Antaranya adalah motif bintang/matahari, motif segitiga, anak tangga, mata gergaji, bulatan bertitik, bulatan bertangen, atap, perahu, abjad, motif binatang seperti burung terbang, cicak dan motif katak, motif manusia serta bird-man.

Salah satu gendang Dongson yang dipamerkan di Vietnam
Terang Ibrahim lagi, pada Zaman Logam dahulu, gendang Dongson sering digunakan dalam aktiviti-aktiviti sosial yang berfungsi sebagai alat muzik, gendang perang, objek kebudayaan, barang hantaran, objek pengkebumian dan barang dagangan. Selain digunakan dalam berbagai amalan sosial dan ritual keagamaan, artifak tersebut juga berfungsi sebagai simbol kebesaran yang hanya dimiliki oleh segelintir individu sahaja, khususnya mereka yang mempunyai status sosial yang tinggi dan mampu membelinya.  

Di samping itu, artifak yang ditemui di beberapa lokasi di Malaysia turut menunjukkan ia dibawa ke sini melalui aktiviti perdagangan. Pandangan ini dikemukakan lantaran lokasi jumpaan artifak berkenaan adalah dalam lingkungan zon yang strategik iaitu laluan maritim. Ini kerana, di kawasan sekitar ini terdapat bahan mentah yang amat diperlukan pada zaman tersebut iaitu logam timah, bijih besi dan emas.

Situasi ini menyebabkan lokasi tersebut menjadi penting dan berfungsi sebagai pembekal bahan mentah dari kawasannya untuk ditukar dengan barangan-barangan yang dibawa dari luar termasuk gendang Dongson.

Ibrahim seterusnya menjelaskan, berdasarkan kajian yang dilakukan oleh pihakmuzium, didapati artifak tersebut muncul di Semenanjung Malaysia dalam zaman kebudayaan ganga-besi kira-kira 500 Sebelum Masihi hingga 500 Masihi. Justeru, kemunculan artifak di negara ini seringkali dikaitkan dengan penyebaran kebudayaan Dongson.

Comments

Popular posts from this blog

Laluan rahsia Genting Bidai

Pengawal Rumah Melayu Lama

Air yang menyembuhkan penyakit