Orang Melayu Melaka pertama mengelilingi dunia?

Bahagian pertama: Misi pelayaran Ferdinand Maggellan mengelilingi dunia. 



Selepas bumi Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511, beratus-ratus orang  lelaki di negeri itu telah ditangkap. Kesemua mereka telah kemudian dibawa ke Lisbon untuk dijual sebagai hamba abdi.

Ketika pelayaran menuju ke negara di benua Eropah itu, salah seorang daripada mereka yang menjadi tahanan digelar Awang telah menarik perhatian seorang pelayar terkenal, Ferdinand de Maggellan. Pelayar Portugis itu begitu tertarik dengan perwatakan pemuda Melaka tersebut sehingga dia diberi keistimewaan apabila dilepaskan dari kurungan.

Ferdinand de Maggellan
Awang  kemudiannya diambil oleh Ferdinand untuk dijadikan kelasi di dalam kapalnya dengan syarat pemuda itu tidak memberontak. Bagi mengelakkan wujudnya diskriminasi kaum dan agama antara masyarakat Portugis dan kelasi kapal lain dengan pemuda Melaka itu, Ferdinand menukarkan nama Awang kepada gelaran Enrique.

Sejarah mengelilingi dunia bermula apabila Ferdinand melarikan diri ke Sepanyol bersama Awang angkara fitnah pihak tertentu yang memusuhinya. Sewaktu Ferdinand dan Awang melarikan diri ke Sepanyol, mereka diterima baik oleh pemerintah di negara itu, Raja Charles I, yang mengagumi reputasi Ferdinand selaku pelayar hebat.

Justeru, Raja Charles I mencadangkan agar lelaki Portugis itu belayar mencari tanah dan harta bagi kerajaan Sepanyol. Cadangan pelayaran tersebut turut sampai ke pengetahuan pemimpin tertinggi Kristian, Pope di Rom. Pope mensyaratkan jika Sepanyol ingin belayar, mereka tidak boleh lagi menghala ke timur kerana ia sudah diperuntukkan kepada Portugis. Sebaliknya Sepanyol perlu belayar ke barat.

Tindakan itu menimbulkan kekhuatiran di kalangan ramai kelasi kerana pelayaran ke barat masih belum banyak diterokai. Akibatnya, Ferdinand terpaksa mengambil banduan sebagai anak kapal dengan tawaran kebebasan serta kemewahan jika mereka mengikuti pelayaran itu. Selain Awang, seorang lagi orang kanan Ferdinand adalah Sebastian del Cano dan pencatat pelayaran, Pigafetta.

Pada 20 September 1519, lima buah kapal dan 270 orang kelasi berangkat meninggalkan pelabuhan Seville menuju ke barat. Pun begitu, misi pelayaran tersebut menjadi sukar berikutan anak kapal tidak berpengalaman. Malah ada yang jatuh sakit dan mati. Akibatnya ramai yang memberontak dan meminta berpatah balik.

Bagaimanapun penentangan dan konflik di sepanjang pelayaran itu akhirnya terhenti apabila menemui satu daratan di bahagian barat iaitu benua baru di Amerika Selatan. Setahun kemudian, misi pelayaran itu turut menemui Selat Magallaes yang dinamakan sempena nama Ferdinand.

Tidak puas dengan penemuan dunia baru itu, Ferdinand ingin meneruskan pelayarannya ke bahagian timur menyebabkan konflik kembali tercetus di kalangan kelasi. Tanggapan bahawa bumi adalah leper membuatkan anak-anak kapal menjadi bimbang pelayaran ke bahagian timur akan menyebabkan mereka terjatuh ke bawah dunia.

Pigafetta
Walaupun menerima tentangan, Ferdinand tetap meneruskan pelayaran dengan sokongan Awang. Pelayaran yang memasuki Lautan Pasifik itu semakin mencetuskan pelbagai masalah. Beberapa kapal  hilang malah krisis bekalan makanan yang meruncing menyebabkan kelasi terpaksa memburu tikus dan lipas sebagai makanan.
 Bagaimanapun, kesengsaraan yang dialami Ferdinand dan anak-anak kapalnya berakhir apabila mereka menjumpai sebuah daratan di bahagian timur yang dikenali Pulau Mazzava, Cebu, Filipina pada pertengahan tahun 1521. Kejayaan mereka menemui Pulau Mazzava itu membuktikan keyakinan Ferdinand mengenai bumi adalah bulat ternyata benar. Misi pelayaran mereka ternyata berhasil apabila berjaya menjumpai bahagian timur dunia.

Sebastian del Cano
Malangnya, kejayaan tersebut hanya sementara saja. Sebelum sempat sampai ke daratan, mereka telah diserang hendap oleh angkatan tentera Raja Hamabun yang memerintah kepulauan tersebut. Puncanya adalah akibat tembakan meriam yang dilakukan oleh anak kapal Ferdinand bagi meraikan kejayaan mereka telah disalah anggap oleh penduduk pulau berkenaan dan Raja Hamabun sebagai tembakan serangan. Dalam serangan itu, Ferdinand dan beberapa orang anak kapalnya telah terbunuh.

Selepas kematian Ferdinand, misi pelayaran tersebut diambil alih oleh Sebastian del Cano...Ikuti sambungan misi pelayaran ini bulan depan untuk mengetahui siapakah orang Melayu Melaka pertama mengelilingi dunia. 

Comments

Popular posts from this blog

Laluan rahsia Genting Bidai

Pengawal Rumah Melayu Lama

Air yang menyembuhkan penyakit