Kuasa mistik Kain Cindai
SUATU ketika dulu, di kurun ke-13, tentera Mongolia pernah menggunakan sejenis kain yang diambil dari India sebagai alat pelindung senjata tajam. Kain ini sengaja dibiarkan tidak bernama. Ini kerana, Gengis Khan percaya, tenteranya akan lebih bersemangat juang sekiranya mereka tidak tahu nama kain itu. Ia juga dapat menghilangkan rasa takut dan keyakinan mereka tentang kekuatan yang abadi.
Sepanjang kempen penaklukan Gengis Khan, tenteranya telah berjaya berperang dan menawan empayar seluas 33 juta kilometer bermula dari Poland hingga ke Korea di timur. Dari Siberia ke Teluk Oman di utara dan turun ke selatan hingga ke Vietnam. Semuanya di takluk dengan penuh semangat keperwiraan tanpa sedikit gentar pun. Di sebalik kehebatan ini, tersimpul satu kepelikan tentang sejenis kain yang diberikan kepada mereka.
Mereka tidak tahu apakah nama kain itu. Apa yang mereka tahu, kain itu mampu menahan anak panah daripada menembusi tubuh malah ia juga dapat menghalang darah daripada terus mengalir akibat kecederaan parah di tetak musuh.
Bagaimanapun, kisah mengenai kain itu tidak pernah muncul dalam sejarah Mongol dan ia cuma sebahagian daripada cerita penglipur lara. Bagi ahli sejarah, kisah itu lebih menggambarkan tentang teknologi baju perang di mana ia begitu popular dalam empayar Jin yang diterajui oleh Maharaja Xuanzong atau nama sebenarnya Wanyan Xun. Lebih kukuh lagi, tidak pernah ada satu catatan pun mengenai kain tersebut pernah ditemui oleh mana-mana ahli sejarah yang mengkaji tentang dinasti ini.
Sejauh manakah benar kain ini dapat menahan senjata tajam? |
Namun, sekali imbas, apakah kehidupan gasar masyarakat nomad mempunyai teknologi seperti baju perang? Dan bagaimana pula mereka berperang? Apa pula kaitan kejayaan Gengis Khan dengan kain yang di panggil sebagai Patola oleh orang-orang Gujerat ini.
Kewujudan mengenai kain ini mungkin dapat diperjelaskan jika kita dapat membongkar kemunculan sebuah bandar bernama Patola di Helsinki, Finland. Apakah benar sewaktu tentera Batu (cucu Gengis Khan) meninggalkan Golden Horde, Rusia, mereka telah meninggalkan selembar kain Patola kepada seorang pembesar di Bulgaria yang kemudiannya membawanya ke Estonia lalu menyimpannya di Helsinki.
Sementara itu, Pengkaji Tekstil dan Kostum tempatan, Zubaidah Sual, 56, menjelaskan, kain tenun Patola ini dipanggil sebagai kain cindai oleh masyarakat Malaysia. Ia sudah wujud di sini sekitar abad ke-15 lagi. Malah ketika itu, kain ini di anggap sebagai satu alat kebesaran oleh golongan pembesar dan pahlawan Melaka.
Pengkaji Tekstil dan Kostum Tempatan, Zubaidah Sual |
Mengikut sejarah, kain cindai dibawa masuk ke tanah Melayu oleh pedagang dari Asia timur dan Gujerat. Keistimewaannya sebagai alat kebesaran membuatkan ia di pandang mulia. Harganya juga begitu mahal sekali dan tidak mungkin dapat di beli oleh orang biasa.
Ada beberapa cerita lisan menjelaskan, hanya sultan saja yang boleh menempah dan membeli kain ini. Meskipun begitu, cerita itu tidak ada bukti. Jadi tidak hairanlah harganya begitu mahal sekali kerana ia melambangkan status dan taraf si pemakai.
Jelas Zubaidah, kain ini dijadikan bengkong atau ikat pinggang oleh golongan bangsawan lelaki. Bagi wanita pula, kain ini boleh dibuat selendang dan penutup kepala. Di India, ia dijadikan sari dan merupakan antara kain yang cukup kukuh dan boleh tahan lama serta lasak.
Sebenarnya, keunikan kain ini terserlah melalui cara ia dibuat. Pada zaman dahulu, kain ini hanya ditenun oleh lelaki saja. Sejenis teknik yang dinamakan sebagai ikat ganda digunakan untuk menenun kain ini. Hasilnya, dalam sebidang kain itu, terdapat dua jenis daging kain yang berbeza, iaitu kain jantan berdaging halus dan kain betina berdaging kasar. Inilah keistimewaan yang tidak ada pada kain tenun lain di dunia ini.
Menurut Zubaidah, kain ini juga terdapat di negara-negara lain di Nusantara seperti Indonesia, Vietnam, Kemboja dan juga Thailand. Bagaimanapun, semua kain-kain itu tidak sama corak dan motifnya. Ada juga di sesetengah tempat, kain ini telah dipalsukan. Proses pemalsuan ini dapat dilihat dengan jelas melalui material yang di gunakan serta kaedah kain di buat. Ada juga di antaranya tidak ditenun tetapi hanya di canting saja.
Kini, kain itu masih lagi ditenun sebagai kain Sari, cuma kualitinya saja agak kurang berbanding dahulu. Malah ada juga terdapat kilang-kilang tekstil yang menggunakan mesin untuk menenun bagi mempercepatkan proses pembuatan kain ini. Meskipun begitu, tradisinya sudah berubah. Kalau dulu ia ditenun menggunakan ikat ganda dan hanya lelaki saja yang boleh berkecimpung dalam bidang ini tetapi hari ini, sesiapa pun boleh melakukannya.
Di pasaran dunia, kain cindai tradisional yang berusia ratusan tahun mampu mencecah harga beratus ribu. Ini kerana, barang warisan ini selalu dianggap mempunyai kuasa mistik hingga wujud istilah “kain cindai bunian” dan sebagainya. Sebenarnya, semua itu hanyalah satu kepercayaan semata-mata dan ia tidak ada kaitan dengan seni halus pembuatan tekstil ini.
Jelas Zubaidah lagi, kepercayaan masyarakat Melayu juga mengaitkan kain ini dengan ilmu kebal. Namun sejauh manakah ia benar, tidak dapat di pastikan. Cuma sesuatu yang agak jelas ialah, proses tenun ikat ganda dapat menjadikan daging kain rapat dan kukuh serta sukar untuk di tembusi objek tajam. Bagaimanapun, ia hendaklah dililit beberapa lapisan, barulah kain ini tidak dapat ditembusi objek tajam.
Cindai adalah kain yang bernilai buat orang yang menyimpannya. |
Kisah
mengenai kekebalan Cindai ini wujud dalam Hikayat Hang Tuah, halaman 392. Di ceritakan, Hang Jebat membalut luka tikaman Hang Tuah dengan kain Cindai sebelum ia mengamuk selama tujuh hari. Kemudian selepas Jebat membuka balutan itu, dia akhirnya meninggal dunia.
Fakta ringkas kain Cindai
- Dianggarkan berusia lebih 200 tahun
- Ditenun oleh kaum lelaki di Gujerat, India
- Di dalam bidang tekstil, kain ini dikenali sebagai Patola
- Ditenun secara berpasangan yang mempunyai Cindai Jantan dan Betina
- Teknik tenunan yang digunakan ialah ‘Tenunan Ikat Ganda’
- Proses pembuatan kain ini mengambil masa yang cukup lama dan proses mewarnakan kain ini pun memakan masa 6 hingga 12 bulan
Comments
Post a Comment