Batu-batu aneh: Batu permata


   
Sejak lebih 10,000 tahun dahulu, batu permata telah menarik minat manusia. Pada zaman purba, batu permata dipakai sebagai azimat dan tangkal untuk melindungi diri daripada kuasa-kuasa jahat, memelihara kesihatan dan menjauhkan diri daripada wabak penyakit.

Pada suatu ketika, pemakaian batu permata menjadi cara untuk membezakan status dan kedudukan dalam masyarakat. Ia digunakan sebagai simbol kekayaan, kekuasaan dan keagungan dalam tamadun silam. Tetapi kini, batu permata menjadi sebahagian dari perhiasan diri yang dipakai oleh sesiapa sahaja kerana kehalusan seni dan kilauannya yang memukau.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Ibrahim Ismail, batu permata adalah sejenis batu yang terdiri daripada ikatan karbon dengan komposit kimia yang memakan masa sehingga berjuta-juta tahun untuk terbentuk. Proses pembentukan ini terjadi jauh di dalam bumi yang mengalami tekanan kuat menyebabkan atom-atom karbon membentuk kristal.

Batu berbentuk kristal itu terkeluar ke permukaan bumi akibat letusan gunung berapi dan ia boleh ditemui di dalam batu-batu gunung berapi yang dikenali sebagai ‘kimberlite’ dan ‘lamproite’. Sehingga ke hari ini, batu permata disifatkan oleh masyarakat dunia sebagai sangat berharga kerana ia adalah batu paling keras yang terhasil di bumi.

Datuk Ibrahim Ismail
Jelas beliau, kebanyakan batu permata adalah mineral ataupun kristal batuan di dalam kerak bumi. Batu permata mempunyai komposisi kimia yang spesifik, dan struktur atom yang tersusun rapi di dalam bentuk tertentu. Komposisi kimia ini seterusnya membentuk warna, fizikal, dan ciri-ciri yang membezakan batu permata di antara satu sama lain.

Pada zaman dahulu, manusia tidak pernah terfikir bahawa batu permata mempunyai kilauan yang cantik. Cahaya batu permata boleh terbias dan terpantul serta terpecah menghasilkan warna-warna pelangi, yang menyebabkan ia berkilau. Bagaimanapun, menurut Datuk Ibrahim, kilauan batu permata sebenarnya bergantung kepada cara ia dipotong atau dicanai.

Jelasnya lagi, batu permata juga sering dikaitkan dengan perkara-perkara mistik. Pengamal perubatan tradisional misalnya, gemar menyimpan batu permata berwarna oren, merah, hitam dan kuning untuk tujuan seperti memerangkap tenaga asing.

Berdasarkan kajian sains fizik, batu jenis ini mempunyai struktur atom yang kukuh dengan frekuensi rendah, perlahan dan digemari oleh unsur-unsur negatif. Namun batu permata yang berwarna merah jambu, ungu, putih, hijau dan biru didapati mempunyai struktur atom yang agak kukuh dan memiliki frekuensi bunyi yang tinggi serta laju.

Sesuatu batu permata ditentukan nilainya melalui jenis, warna, kejernihan, saiz – berat di dalam karat, kesukaran mendapatkannya, populariti, dan kecantikannya. Setakat ini, berlian menjadi begitu mahal kerana popularitinya manakala alexandrite dan emerald menjadi mahal kerana kesukaran untuk mendapatkannya.

Mengikut rentetan sejarah, batu permata juga turut dikaitkan dengan zodiak dalam tamadun-tamadun terdahulu. Antara tamadun popular yang menggunakan batu permata sebagai teknologi ialah Tamadun Atlantis, sebuah peradaban yang maju dan berteknologi tinggi. Mungkin dengar seperti dongengan, namun kesan-kesan serta sejarahnya masih lagi diperkatakan hingga hari ini.

Selain itu, pada zaman dahulu juga, pengamal perubatan percaya kepada kuasa batu permata untuk mengubati atau melegakan penyakit-penyakit tertentu. Antara kaedah yang digunakan ialah dengan mencampurkan serbuk batu permata ke dalam minuman, memakai permata tersebut atau meletakkannya pada bahagian tubuh yang sakit.

Antara batu permata yang dikatakan mempunyai khasiat tertentu dalam perubatan ialah delima, jed, zamrud, nilam, topaz, intan, lapis lazuli, mutiara serta baiduri. Kesemua jenis batu permata ini akan digunakan untuk merawat penyakit yang berlainan. Bagaimanapun kesahihannya tidak dapat dipastikan. Jadi kalau ada pembaca yang mempunyai maklumat lanjut mengenai batu permata ini, silalah hubungi kami.

Comments

Popular posts from this blog

Pengawal Rumah Melayu Lama

Laluan rahsia Genting Bidai

Air yang menyembuhkan penyakit