Adakah Menguap Boleh Berjangkit?

Sejak kecil kita telah dididik oleh kedua ibu dan bapa supaya menutup mulut ketika menguap. Di Greek pula, terdapat satu kepercayaan yang menyatakan manusia perlu menutup mulut apabila menguap bagi mengelakkan roh terlepas melalui mulut.

Secara logiknya, apabila berasa mengantuk atau letih, pasti kita akan menguap. Namun menguap tidak bererti kita sedang berasa mengantuk. Jika anda sedar, kadang-kala kita boleh lihat satu fenomena pelik di mana, apabila ada seorang itu menguap, pasti akan ada orang lain juga yang akan menguap.

Malah ada juga yang cakap, kalau membaca perkataan ‘menguap’ juga boleh membuatkan kita mengalami situasi menguap secara tiba-tiba.  Ada beberapa penyelidik juga mengakui, 40 hingga 60 peratus orang yang melihat gambar orang menguap juga cenderung untuk menguap. Soalnya, apakah semua ini benar?

Berdasarkan kepada beberapa kajian saintis mengatakan, menguap berpunca daripada  saluran darah dalam badan manusia yang kekurangan oksigen. Selain itu ada teori yang menyatakan menguap boleh melaraskan sistem badan manusia.

Jelas Pensyarah di Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Rozainee Khairudin, secara teknikalnya, menguap adalah keadaan fisiologi yang berlaku secara serentak di mana semasa seseorang itu mengambil udara untuk bernafas, berlaku regangan pada gegendang telinga.

Bagaimanapun, perbuatan menguap bukan saja berlaku pada manusia. Haiwan juga mengalaminya. Namun, menguap di kalangan haiwan mempunyai maksud lain misalnya gorila akan menguap sebagai isyarat kepada kumpulannya supaya melindungi diri masing-masing. Anjing pula menguap untuk memperlihatkan gigi taringnya supaya ditakuti musuh. 

Jelas Dr. Rozainee, berdasarkan hasil kajian beberapa penyelidik, didapati menguap dapat disimpulkan kepada tiga teori utama, iaitu teori fisiologi, teori evolusi dan juga teori bosan.

Teori fisiologi adalah satu keadaan di mana seseorang yang menguap itu sedang memerlukan oksigen yang lebih untuk dibawa ke paru-paru bagi menyingkirkan karbon dioksida. Keadaan ini dapat dibuktikan apabila kita berada di bilik tertutup seperti bilik mesyuarat, kelas dan juga tempat-tempat yang penuh dengan orang ramai.

Apabila sesebuah bilik tertutup itu dipenuhi dengan orang ramai, maka lebih banyak karbon dioksida disingkirkan dan lebih banyak pula oksigen yang diperlukan. Jadi, keadaan ini merupakan punca mengapa seseorang itu menguap dan diikuti pula dengan individu yang lain. Faktor cuaca juga boleh menjadi penyebab seseorang itu menguap.

Bukan itu sahaja, menurutnya lagi, para saintis mendapati secara fisiologinya menguap boleh mengawal suhu otak seseorang. Bagaimanapun, sehingga kini, saintis masih lagi mencari alasan mengapa manusia menguap.

Bagaimanapun terdapat saintis menyatakan menguap adalah satu evolusi. Ia dibuktikan melalui masyarakat zaman purba dahulu yang menguap disebabkan mahu menunjukkan gigi mereka bagi menakutkan musuh.

Meskipun begitu, ramai pengkaji tidak bersetuju dengan kenyataan itu. Mereka lebih gemar mengaitkan keadaan itu dengan bosan. Mereka berpendapat, bosan adalah punca kenapa perkara ini berlaku. Hal ini dapat dilihat melalui perlakuan remaja yang akan menguap apabila mereka bosan.

Mencari jawapan adakah punca menguap disebabkan situasi melihat orang lain menguap, membaca maklumat tentang menguap atau mendengar perkataan ‘menguap’, Dr. Rozainee tidak menyangkal bahawa perkara tersebut adalah benar.

Secara biologinya, penyelidik mendapati menguap boleh dikaitkan dengan emosi atau dalam erti kata lain melalui kaedah ‘brain imaging’, iaitu salah satu bahagian otak yang berkaitan dengan emosi. Menguap juga menyebabkan pertambahan rembesan hormon atau sistem endokrin yang sering dikaitkan dengan emosi dan empati seseorang. Empati adalah satu keadaan yang membolehkan seseorang itu memahami dan merasai perasaan orang lain dan sangat penting dalam perkembangan kognitif seseorang.

Dr. Rozainee Khairudin
Seorang penyelidik di Amerika Syarikat telah membuat satu eksperimen terhadap dua kumpulan pelajar yang terdiri daripada pelajar psikologi dan pelajar kejuruteraan. Berdasarkan hasil eksperimen, didapati pelajar psikologi menguap sebanyak 5.5 kali berbanding dengan pelajar kejuruteraan yang hanya menguap 1.5 kali. Menurut Dr. Rozainee, keadaan ini berlaku disebabkan pelajar psikologi telah dilatih untuk memahami perasaan dan emosi orang lain berbanding dengan pelajar kejuruteraan.

Menjawab persoalan mengapa menguap boleh berjangkit, Dr. Rozainee menjelaskan ia berkaitan dengan konsep ‘emotive contagion’ iaitu bergantung kepada seseorang untuk memahami orang lain kerana sesetengah manusia sangat sensitif dengan perasaan dan emosi seseorang.

Bagaimanapun, didapati para atlet turut menguap selepas meregangkan otot-otot badan kerana ia akan memberi lebih kesegaran kepada sistem badan mereka.

Comments

Popular posts from this blog

Laluan rahsia Genting Bidai

Pengawal Rumah Melayu Lama

Air yang menyembuhkan penyakit