Mati yang tidak lepas


Sukar menghadapi kematian. Itulah yang berlaku kepada seorang warga emas yang berusia 85 tahun dari Shah Alam, Selangor. Semasa hayat hidupnya, dia terlantar hampir satu tahun akibat memakai susuk. Situasi misteri ini disaksikan sendiri oleh seorang menantunya yang hanya mahu dikenali Bakar, 56.

Menurutnya, hampir empat kali dia menyaksikan arwah ibu mertuanya berkeadaan nazak. Anehnya, pada keesokan hari, arwah kembali sihat seperti sedia kala seolah-olah tiada apa pun yang berlaku semalam.

Keadaan fizikal arwah amat kurus tapi berat badannya tidak mampu diangkat oleh dua orang lelaki tegap. Wanita ini lumpuh tapi selera makannya mengalahkan orang yang sihat.  Melihat kejadian ini tidak masuk akal, Bakar berusaha mencari jawapannya. Dia berjumpa dengan seorang pengamal perubatan tradisional bagi mengesan apakah sebenarnya yang berlaku kepada ibu mertuanya.
 
Terkejut Bakar apabila diberitahu, ibu mertuanya telah lama meninggal dunia tapi ‘benda’ yang dipakainya sudah menguasai jasadnya. Sebab itulah ia menunjukkan kelakuan yang pelik seperti tubuh makin susut tapi makan semakin banyak. Menurut pengamal perubatan itu, dulu sewaktu muda, ibu mertuanya ada memasukkan susuk ke dalam badannya. Jadi susuk itu telah bertindak balas dan sebati dalam badan.

Mengulas mengenai kes yang berlaku, seorang pengamal perubatan tradisional, Abdul Mohamaad, 36, yang berpengalaman hampir 14 tahun mengendalikan kes sebegini mengakui faktor penyebab seseorang itu sukar mati berpunca daripada amalan pemakaian susuk. Ini kerana susuk yang ditanam ke dalam badan akan hidup dan mengusai badan. Jika ia tidak dikeluarkan, memang amat sukar bagi seseorang itu untuk mati.

Kata Abdul lagi, kesan yang dapat dilihat bagi orang yang memakai susuk majoritinya kelihatan seperti tengkorak hidup. Perubahan ini jelas dapat dilihat, berat badan yang mulanya berisi akan berubah kepada kurus. Anehnya, kadar berat badan tidak berubah malah dua kali ganda lebih berat daripada manusia normal lain.

Kebanyakan kes yang dikendalikannya berlaku disebabkan si pemakai sukar membuang susuk kepunyaan mereka atau mereka terlupa untuk membuangnya sebelum uzur. Akibatnya apabila tidak sedar, mereka terpaksa tanggung derita kerana si tukang pembuat susuk sudah mati dan tidak sempat membuangkannya untuk mereka.

Jelas Abdul, untuk membuang susuk ini bukanlah satu perkara yang mudah. Namun, baginya, dia  ada teknik yang tersendiri. Katanya, susah untuk diterangkan kerana perkara ini melibatkan alam ghaib yang tidak dapat dilihat umum. Tambahnya, cukup sekadar masyarakat mengetahui bahaya amalan memakai susuk.

Apakah kematian yang tidak lepas ini juga ada kaitan dengan ilmu hitam seperti busung dan amalan memelihara hantu atau jin? Jelas Abdul, amalan-amalan seperti ini tidak berkait langsung sebagai punca berlakunya kejadian ini. Ujarnya, sebagai contoh, busung merupakan sejenis amalan ilmu hitam untuk membunuh seseorang. Begitu juga golongan yang membela hantu atau jin. Malahan, makhluk yang dibela bukan berada dalam badan dan mempunyai rumah tertentu seperti tangkal, botol dan sebagainya.

Sebaliknya, mengapa susuk merupakan faktor berlakunya kejadian ini? Tegas Abdul, pemakaian susuk melibatkan bahagian dalaman tubuh. Sama seperti busung dan membela hantu, susuk juga dipengaruhi oleh jin dan iblis. Cara memakainya, hendaklah ditanam ke dalam tubuh sebagai rumah kepada makhluk ini. Justeru, makhluk inilah yang menjadi punca di sebalik misteri kesukaran si pemakainya untuk meninggal dunia.

Amalan memakai susuk ini telah wujud sejak zaman dahulu lagi. Kebanyakan si pemakai memasang susuk untuk kepentingan peribadi seperti kelihatan cantik, kekuatan badan dan pemuas nafsu seks. Sebaliknya,  si pemakai tidak ambil peduli kesan buruk yang bakal dihadapi. Akhirnya, mereka berdepan dengan kesukaran untuk mati.

Setiap kali waktu nazak, nafas akan kelihatan tersekat-sekat seolah-olah sedang menanggung derita. Ia akan berlaku berulang-ulang kali berlaku sehinggalah susuk itu dicabut keluar daripada badan dan barulah si pemakainya boleh bersemadi dengan aman.

Nota Penulis: Cerita ini berlaku pada bulan Jun lalu dan seperti yang diceritakan, ia hanyalah sekadar untuk pedoman dan teladan kita bersama. Segala nama dan tempat kejadian dalam cerita ini telah diubah bagi melindungi hak privasi pencerita. Memang betul amalan memakai susuk tidak ada kena mengena dengan dunia Sains. Tapi sedarkah kita, susuk suatu ketika dulu adalah teknologi untuk menjadi hebat. Hari ini susuk itu telah berubah dengan menjadi teknologi kecantikan yang lebih selamat dan mudah. Namun begitu, saki baki amalan mistik ini masih lagi diamalkan.


Comments

Popular posts from this blog

Pengawal Rumah Melayu Lama

Laluan rahsia Genting Bidai

Air yang menyembuhkan penyakit