sains & al-quran - Mayat yang terpelihara

Pada pertengahan tahun 1975, presiden Perancis ketika itu, Francisco Mitterand telah menawarkan bantuan kepada kerajaan Mesir untuk meneliti dan menganalisis mumia Firaun Ramses II. Kajian tersebut dilakukan untuk membongkar rahsia yang sering dikaitkan dengan Ramses Agung itu.

Sebelum ini, persoalan mengenai siapakah Firaun yang telah ditenggelamkan dalam peristiwa Laut Merah sering menjadi tanda tanya. Bagaimanapun, berdasarkan kiraan tarikh, ramai ahli sejarah percaya bahawa Ramses II atau dikenali juga sebagai Ozymandias adalah individu yang dimaksudkan.

Bagi mengungkai persoalan tersebut, kerajaan Mesir telah bersetuju dan menyambut baik pelawaan pihak Perancis itu. Mumia tersebut kemudiannya diterbangkan ke Paris dan diletakkan di Pusat Arkeologi Perancis untuk dijadikan subjek kajian.

Profesor Dr. Maurice Bucaille
Pakar bedah dan autopsi Perancis, Profesor Dr. Maurice Bucaille telah ditugaskan untuk mengetuai penyelidikan bersejarah itu. Pengalamannya yang luas dalam bidang perubatan telah menyebabkan beliau dipilih untuk mengungkai misteri di sebalik penyebab kematian raja Mesir kuno itu.

Hasil autopsi yang dijalankan oleh Dr. Bucaille sangat mengejutkan kerana beliau telah menemui sisa-sisa kandungan garam yang masih melekat pada jasad mumia tersebut. Ia sekali gus telah menjawab persoalan yang selama ini tergantung dan menjadi bukti bahawa Firaun itu mati kerana lemas di dalam laut.

Namun, satu lagi persoalan timbul di benak fikiran Dr. Bucaille apabila beliau mendapati mumia tersebut berada dalam keadaan sangat baik dan sempurna fizikalnya. Dari pandangan luaran, tiada langsung tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mumia itu mengalami kecederaan. Keadaannya sangat berbeza jika dibandingkan dengan mayat lain yang mati lemas di dalam laut.

Lalu, beliau menyiapkan sebuah laporan akhir yang diyakininya sebagai satu penemuan baru, iaitu proses menyelamatkan mayat firaun dari laut dan kaedah pengawetannya. Laporan yang diterbitkan itu bertajuk Les Momies Des Pharaons Et La Midecine (Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden).

Bagaimanapun, dalam Islam, jasad Firaun yang terpelihara itu telah pun terlebih dahulu diterangkan dalam Al-Quran. Menurut pensyarah di Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr. Arip Kasmo, ketika kronologi Laut Merah berlaku, hanya mayat Firaun sahaja yang diselamatkan oleh Allah, sedangkan kesemua bala tenteranya telah ditelan oleh gelombang laut.  Perkara ini telah pun dijelaskan secara terperinci melalui surah Yunus, ayat 90 hingga 92, yang bertujuan untuk memberi pengajaran kepada umat manusia kemudian hari.

Firman Allah yang bermaksud, “...Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terselamat dengan badan mu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil iktibar)….”. (Surah Yunus; ayat 90-92)

Jelas Dr. Arip, dalam kejadian yang berlaku lebih 4000 tahun lalu itu, mayat Firaun yang tidak tenggelam telah hanyut ke pesisir pantai dan kemudian diambil oleh saki-baki pengikutnya yang masih tinggal. Jasad tersebut kemudiannya di bawa pulang ke Mesir untuk diawet dan dimakamkan bersama Firaun-firaun yang terdahulu. Selepas kematian Ramses II, legasi Firaun kemudiannya diteruskan oleh Merneptah.

Ia telah dimakamkan dan tidak terusik selama beberapa ribu tahun. Sehinggalah pada tahun 1817, seorang ahli arkeologi bernama Giovanni Battista Belzoni telah menemui makam mumia Firaun Mesir yang telah pun tertimbun tanah. Makam tersebut merupakan perkuburan pembesar Mesir kuno daripada Dinasti Nineteenth. Salah satu daripada mumia tersebut ialah Ramses II.

Menurut Dr. Arip lagi, ketika ini di Mesir terdapat satu muzium khas yang menyimpan khazanah Firaun yang dikeluarkan daripada piramid dan kuil-kuil Firaun. Dalam muzium tersebut terdapat satu ruang khas iaitu ‘The Royal Mummies’ atau Mumiyat Malakiah. Terdapat sembilan mumia Firaun di tempat tersebut dan di antara sembilan mumia itu, jasad Ramses II adalah yang paling sempurna.

Kesemua anggota tubuhnya lengkap. Masih terdapat rerambut di atas kepalanya dan pada jarinya pula terdapat jalur-jalur yang dapat dilihat dengan jelas. Keadaannya sama sekali berbeza dengan mumia lain yang kebanyakannya sudah tidak memiliki fizikal yang sempurna.

Tambahnya, kajian yang dilakukan oleh Dr. Bucaille pada tahun 1975 itu menunjukkan apa yang dijanjikan oleh Allah itu adalah benar. Perkara ini menjadi semakin kukuh apabila ahli arkeologi Ron Wyatt telah menemui beberapa tulang manusia serta bangkai roda kereta tempur kuno di dasar Laut Merah pada tahun 1988. Analisis yang dilakukan terhadap penemuan tersebut mendapati tulang-temulang itu berusia sekitar 4000 tahun, iaitu berada pada kurun yang sama tragedi Laut Merah itu berlaku.

Dalam kitab Injil dan Taurat juga, kata Dr. Arip lagi, turut menceritakan kronologi kisah Firaun yang tenggelam di Laut Merah. Bagaimanapun, kenyataan mengenai jasad Firaun yang terpelihara tidak terdapat di dalam kedua-dua kitab tersebut, sebaliknya dinyatakan di dalam Al-Quran selepas beribu-ribu tahun kisah itu berlaku. Apa yang lebih istimewa, kenyataan tersebut telah dibuktikan sahih melalui kajian moden yang hanya dilakukan pada abad ke-20.

Comments

  1. allahhuakbar segala puji bagi allah tuhan yg maha esa

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Pengawal Rumah Melayu Lama

Laluan rahsia Genting Bidai

Air yang menyembuhkan penyakit