Strawberi warna biru


Bolehkah warna sebiji buah diubah menjadi warna lain? Apakah kejuruteraan genetik tumbuhan mampu melakukannya? Berdasarkan pendedahandi beberapa laman sesawang, ternyata usaha tersebut pernah dilakukan dan didakwa menunjukkan hasil yang positif.   

Salah satu kajian yang dilakukan adalah pengubahsuaian warna buah strawberi yang asalnya berwarna merah ditukarkan menjadi biru. Dikhabarkan, teknologi baru ini diusahakan oleh para saintis di sebuah syarikat penyelidikan Genetically Modified Organism (GMO) yang berpusat di negara Amerika Syarikat.

Selain melakukan pengubahsuaian warna, syarikat itu juga mendakwa berjaya menghasilkan buah strawberi yang lebih berkualiti dan tahan suhu di bawah paras beku. Ia di buktikan melalui satu penemuan sejenis gen baru yang diperoleh daripada spesies ikan yang dikenali Artic Flounder Fish. Kononnya, gen ini dikatakan mengandungi kandungan kimia anti beku yang membolehkan buah tersebut di simpan dalam tempoh masa yang lama.   



Malangnya, penemuan tersebut mendapat kritikan daripada pelbagai pihak. Sesetengah daripada mereka menganggap buah strawberi itu berbahaya dan menyebabkan kesan sampingan kepada pengguna. Selain itu, kewujudan buah berkenaan turut dipertikai kesahihannya.  Kebanyakan daripada mereka menganggap ia adalah satu perkara yang mustahil untuk dihasilkan.

Bagaimanapun ulasan daripada pakar-pakar tumbuhan yang ditemui Infiniti mempertikaikan kewujudan buah strawberi ini. Rata-rata daripada meraka yang ditanya sukar untuk mengesahkannya kerana belum pernah kajian seumpama itu dilakukan di Malaysia. Berdasarkan konsep penyelidikan GMO, mereka menyifatkan penghasilan buah yang berkualiti lebih penting berbanding pengubahsuaian warna.
Timbul persoalan, apakah itu penyelidikan Genetically Modified Organism (GMO)? Sejak bilakah ia diperkenalkan? Dan, untuk tujuan apa kajian ini dilakukan?

Mengikut sejarah penyelidikan ini, ia merupakan salah satu cabang dalam pembangunan teknologi kejuruteraan genetik. Mula mendapat perhatian sejak 12 tahun lalu, penyelidikan ini tertumpu pada tanaman atau organisma lain dalam penggunaan gen asing daripada organisma lain dan diberikan kepada sel benih untuk menghasilkan genetik baru.

Kebanyakan penyelidikan GMO bertujuan untuk menghasilkan spesies tanaman yang superior dan mempunyai daya tahan kepada serangan makhluk perosak, berupaya menghasilkan sumber makanan yang berkualiti tinggi. Ia dihasilkan dalam jumlah yang banyak dalam kitaran pertumbuhan yang singkat.

Apa yang menariknya lagi, hasil tanaman boleh disimpan untuk suatu jangka masa lebih lama dan berpotensi hidup dalam persekitaran ekstrem seperti di tanah gersang atau padang pasir.
Kebiasaannya, ia melibatkan spesies tanaman makanan seperti jagung, kacang soya, padi dan tomato. 


Sebagai contoh, dua buah negara iaitu Amerika Syarikat dan China telah mengusahakan berjuta ekar tanah  untuk menanam sejenis spesies pokok kapas yang dihasilkan melalui penyelidikan GMO.   Difahamkan, spesies pokok tersebut boleh menghasilkan sejenis racun yang boleh membunuh larva serangga perosak. Gen yang menghasilkan racun berkenaan diambil daripada sejenis bakteria Bacillus thurigiensis yang mudah didapati daripada tanah.

Biarpun banyak kebaikan diperoleh melalui penyelidikan GMO, sehingga hari ini ia masih lagi menjadi isu yang hangat diperdebatkan. Rata-ratanya menyuarakan kebimbangan kebimbangan terhadap kehadiran bahan genetik asing yang  kemungkinan boleh mendatangkan kesan sampingan.

Bagaimanapun, sebilangan penyelidik mengesahkan ia selamat digunakan tetapi tidak kurang pula yang bimbang GMO boleh memudaratkan kesihatan dan juga persekitaran. Ia berikutan dakwaan yang mengatakan boleh mengakibatkan pelbagai penyakit yang sukar dikenal pasti puncanya. Tidak kurang juga bimbang penggunaan bahan genetik asing pada GMO boleh dipindahkan secara rambang kepada spesies lain melalui proses pendebungaan, jangkitan bakteria, serangga atau makanan.

Di Amerika Syarikat, penyelidikan GMO mendapat sokongan penuh dan ia disahkan selamat diaplikasikan dalam pertanian dan sumber makanan. Ini kerana, negara berkenaan merupakan pengeluar utama dunia hasil pertanian dan sebanyak 60 peratus daripadanya bersumberkan penyelidikan GMO.


Sebaliknya, di negara-negara Eropah menolak GMO kerana bimbangkan tahap keselamatannya yang belum terbukti terutamanya dalam tempoh masa yang panjang. Begitu sesetengah negara di Afrika, meskipun mengalami krisis kebuluran yang sangat serius turut  menolak bantuan makanan yang berasaskan daripada GMO.

Comments

Popular posts from this blog

Pengawal Rumah Melayu Lama

Laluan rahsia Genting Bidai

Air yang menyembuhkan penyakit