Bandar biru Jodhpur



Ribuan seni bina yang terletak di Jodhpur, wilayah Rajashtan, utara India, menyimpan seribu satu rahsia yang masih menjadi misteri sehingga hari ini. Seolah-olah berada di dunia lain, bandar tersebut dipenuhi pelbagai binaan yang berwarna biru.

Lantaran keadaan itu, bandar misteri berkenaan digelar sebagai Kota Biru. Berikutan keadaan cuacanya yang sentiasa cerah sepanjang tahun, ia juga turut mendapat jolokan nama sebagai ‘Sun City’.

Sepanjang tahun, bandar Jodhpur yang terletak di wilayah Rajashtan, India sentiasa dikunjungi orang ramai yang datang dari segenap pelosok dunia. Kesemua mereka datang dengan satu impian iaitu ingin menyaksikan ribuan seni bina berwarna biru di bandar tersebut.

Persoalannya yang sering ditanya, mengapa keseluruhan binaan di bandar tersebut berwarna biru? Apakah punca yang menyebabkan masyarakat di kawasan itu mengecat kediaman mereka dengan warna yang sama? Jika dilihat dengan logik akal, ia adalah satu perkara yang tidak masuk akal dan warna biru bukan satu-satunya warna yang terdapat di dunia ini.   

Berikutan itu, ramai di kalangan pengunjung cuba mendapatkan jawapan sendiri daripada penduduk tempatan di bandar tersebut. Malangnya, kebanyakan daripada mereka yang di soal gagal mengemukakan jawapan tepat. Pelbagai alasan dikemukakan seolah-olah ada sesuatu rahsia yang cuba disembunyikan mereka daripada perhatian umum.
  
Pun begitu, terdapat beberapa sumber ada menyebut mengapa penduduk di situ memilih warna biru untuk mengecat kediaman mereka. Salah satu sebabnya, ia dikaitkan dengan kepercayaan agama yang dianuti masyarakat di bandar tersebut.

Difahamkan, pemilihan warna biru mula menarik minat penduduk tempatan sejak zaman dahulu lagi. Pada waktu itu, golongan pendeta dikatakan menjadi pelopor pertama yang mengecat kediaman mereka dengan menggunakan warna biru. Kononnya, ia dianggap warna suci yang berkait rapat dengan tuhan mereka.  

Selain kepercayaan agama, masyarakat di bandar tersebut juga percaya secara biologinya warna biru mampu menghalau kehadiran nyamuk dalam rumah mereka. Kepercayaan ini telah diamalkan sejak turun-temurun lagi, namun tidak diketahui siapakah pelopor idea berkenaan.   

Difahamkan, masyarakat kota biru Jodhpur turut menganggap warna biru mampu mengawal
tekanan suhu di dalam rumah mereka. Ia seolah-olah berfungsi sebagai sebuah penyaman udara yang dapat menyejukkan rumah secara semula jadi biarpun ketika cuaca panas.   

Di wilayah Rajashtan, Jodhpur merupakan sebuah bandar kedua terbesar selepas Jaipur. Mempunyai keluasan 60,980 kilometer persegi, bandar ini mempunyai populasi penduduk kira-kira 1.5 juta orang.

Meskipun bandar ini terkenal dengan kunjungan pelancong sepanjang tahun, ia bukanlah sumber pendapatan utama bagi masyarakat di sini. Sebaliknya, ia terkenal dengan pelbagai industri kraf tangan, tekstil dan besi.      
Selain terkenal dengan binaan berwarna biru, bandar Jodhpur turut mempunyai keunikan sebuah kubu yang dikenali Mehrangarh Fort. Binaan ini merupakan salah sebuah kubu yang terbesar di negara India. Berketinggian 400 kaki, kubu dibina semasa pemerintahan seorang  pemerintah di Jaipur yang bernama Man Singh I pada tahun 1806.
Pada Jun tahun lalu, keseluruhan binaan di bandar Juzcar selatan Sepanyol turut dicat dengan warna biru. Sebanyak 4,200 liter cat dan 12  orang penduduk tempatan digunakan untuk mengecat rumah dan bangunan di sekitar bandar tersebut, sempena meraikan pelancaran filem Smurfs.   

Syarikat Sony yang mengeluarkan filem tersebut memilih bandar berkenaan sebagai lokasi tayangan perdana The Smurfs 3D pada 16 Jun 2011. Smurfs merupakan cerita kartun mengenai makhluk kerdil berwarna biru yang disiarkan buat kali pertama di televisyen pada 1981. Ia disiarkan 30 tahun selepas pelukis kartun dari Belgium, Pierre Culliford menghasilkan komik smurfs. 

Comments

Popular posts from this blog

Pengawal Rumah Melayu Lama

Laluan rahsia Genting Bidai

Air yang menyembuhkan penyakit