Sindrom Kepala Meledak



Seorang pemuda, Rashidi(bukan nama sebenar) dari Klang, Selangor, didapati telah mengalami satu penyakit ganjil yang menyebabkannya sering kali diganggu bunyi bising sewaktu tidur. Walaupun sebelum ini pernah cuba untuk melelapkan mata, namun dia pasti terjaga sejurus mendengar bunyi bising yang seakan-akan bunyi letupan. Keadaan itu berlaku secara automatik setiap kali pada waktu tengah malam.

Bercerita lanjut mengenai penyakit aneh yang dialaminya, kata Rashidi, keadaannya menjadi begitu sejak di usia remaja lagi. Pada ketika itu, dia mengalami sakit kepala yang serius. Malangnya, selepas pulih dari kesakitan itu dia tidak mampu tidur dengan nyenyak pada setiap hari kerana diganggu oleh bunyi yang sangat kuat.

Bimbang dengan perubahan aneh yang dihadapinya, Rashidi cuba mendapatkan khidmat daripada pengamal perubatan. Malangnya, rata-rata daripada mereka yang ditemuinya tidak berjaya mengesan punca penyakit pelik yang dialami pemuda itu. Pada masa yang sama, kesemua pengamal perubatan yang merawatnya mengatakan tubuh badannya dalam keadaan normal.

Setakat ini, Rashidi hanya mengambil ubat penenang bagi menghilangkan gangguan bunyi bising yang dialaminya. Meskipun tidak berasa sakit dengan situasi itu dan keadaan dirinya normal, namun dia khuatir suatu hari nanti bakal berdepan dengan masalah kesihatan. Soalnya, apakah punca sebenar penyakit yang dialami Rashidi? Dan, dari manakah datangnya bunyi bising seperti yang didakwa pemuda itu?

Melihat situasi yang dialami Rashidi kemungkinan penyakit pelik yang dihidapinya berkait rapat dengan satu sindrom yang dikenali sebagai Exploding Head Syndrome  atau Sindrom Kepala Meledak. Ia merupakan sejenis penyakit jarang jumpa yang menyerang seseorang individu ketika sedang tidur.

Mengikut sejarah perubatan, penyakit ini mula dikesan pada tahun 1920-an. Ia dikenal pasti oleh seorang pakar psikiatri dari negara Wales yang bernama Robert  Armstrong- Jones. Kemudian,  pada tahun 1989 seorang pakar neurologi British, John M. S. Pearce akhirnya menamakan penyakit ini sebagai Exploding Head Syndrome.

Seseorang individu yang mengalami penyakit ini sering kali diganggu dengan pelbagai bunyi yang sangat kuat. Antara bunyi yang sering didengar adalah bunyi letupan, ngauman, tembakan senjata dan suara orang sedang meraung. Lazimnya, penyakit ini akan menyerang selama beberapa jam ketika seseorang individu sedang tidur.

Berdasarkan penyelidikan perubatan yang dilakukan mendapati, kebarangkalian untuk seseorang individu menghidapi penyakit ini tidaklah begitu membimbangkan. Ini kerana, bilangan pesakit  yang mengalami EHS tidak menunjukkan angka yang tinggi berbanding penyakit –penyakit berisiko lain.

Berdasarkan had umur pula, penyakit ini lebih cenderung menyerang golongan yang berumur 15 tahun ke atas. Pada masa yang sama, golongan wanita dikatakan lebih berisiko untuk menghidapi penyakit ini berbanding kaum lelaki.

Soalnya, apakah kaedah rawatan yang sesuai untuk menghindari seseorang individu daripada menghidapi penyakit ini? Setakat ini, belum ada kaedah rawatan sesuai untuk memulihkan penyakit ini. Bagaimanapun,terdapat beberapa cara yang diguna pakai untuk memberi kelegaan pada pesakit dalam tempoh waktu tertentu. Antaranya adalah dengan menggunakan teknik urutan di kepala, mengambil ubat penenang, meletakkan beg air batu atau tuala sejuk pada bahagian kepala dan menggunakan rawatan alternatif seperti Kiropraktik atau Akupuntur.

Hari ini, punca sebenar atau etiologi bagi EHS belum diketahui dan masih di peringkat kajian. Namun, kebanyakan pakar psikiatri di seluruh dunia berpendapat sindrom ini kemungkinan berpunca akibat tekanan atau keletihan melampau yang dialami oleh seseorang individu.

Comments

Popular posts from this blog

Pengawal Rumah Melayu Lama

Laluan rahsia Genting Bidai

Air yang menyembuhkan penyakit