Perkampungan manusia kerdil

Di satu lokasi yang terletak bersebelahan Bukit Xishan, wilayah Yunan, China, terdapat sebuah perkampungan yang diberi nama ‘Dwarf empire’. Uniknya, keseluruhan populasi penghuni yang tinggal di kawasan ini adalah terdiri daripada manusia kerdil.

Perkampungan yang mirip seperti di dalam sebuah cerita dongeng yang bertajuk ‘Gulliver’s Travel’ ini,mula dibina pada tahun 2009. Ia merupakan salah sebuah tiga taman tema 
yang dimiliki oleh seorang usahawan elektronik dan hartanah di China, Cheng Minjing.

Mengikut laporan agensi berita antarabangsa, Agency France-Presse (AFP), Cheng telah melabur hampir 100 Million Yuan untuk membina taman tema tersebut. Ini kerana, hatinya tersentuh apabila melihat sekumpulan orang kerdil yang ditemui di dalam sebuah kereta api. Sebagai seorang usahawan yang berjaya, kata Cheng, tanggungjawab sosial adalah penting dan seharusnya diutamakan bagi meningkatkan taraf hidup orang kerdil di China.

Selain meningkatkan taraf hidup, perkampungan tersebut turut dibina sebagai platform bagi golongan ini mendapat pekerjaan dan tempat tinggal yang selesa berbanding kehidupan lalu mereka yang susah dan teruk. Antara peluang pekerjaan yang diwujudkan di perkampungan ini adalah berkaitan dengan seni persembahan seperti menyanyi, menari dan persembahan silap mata serta akrobatik. Justeru, bagi pengunjung yang datang untuk menyaksikan persembahan ini akan dikenakan bayaran sebanyak 80 Yuan.

Meskipun begitu, bagi penghuni yang tidak terlibat dengan persembahan mereka akan diberikan tugas lain seperti menyelia kantin, membuat bunga sutera, mengendalikan gerai-gerai dan pemandu pelancong. Selain mewujudkan peluang pekerjaan, orang-orang kerdil ini turut diberi latihan yang berfaedah. Antara latihan tersebut adalah menyertai kursus etika, kaunseling-terapi, pembelajaran bahasa Inggeris secara percuma dan sesi mencari cinta seperti yang pernah menyatukan seorang penghuni di sini, Ou Jielin, 24, yang dijadualkan akan berkahwin tidak lama lagi dengan pasangannya.

Pada hari ini, ‘Dwarf empire’ mempunyai lebih daripada 100 orang penghuni orang kerdil yang pernah hidup di jalanan. Kesemua mereka ini diberi bilik percuma dan gaji mingguan antara 800 hingga 2000 yuan. Sejak perkampungan tersebut dibuka, ia mendapat perhatian ramai khususnya golongan manusia kerdil yang berminat untuk mendaftar menjadi penghuni di sini dan pengunjung dari luar dan dalam negara itu.

Sementara itu, sebuah badan bukan kerajaan di bawah United Nations (UN) iaitu World Peace Foundation, merancang untuk menerbitkan sebuah dokumentari mengenai ‘Dwarf empire’. Menurut Pengerusi Eksekutif badan itu, Wan Mantang, dokumentari tersebut diterbitkan adalah bertujuan untuk memberi kesedaran di kalangan masyarakat agar tidak meminggirkan golongan ini.
Melihat keadaan situasi itu, kata Cheng, dia bercadang akan membina sebuah lagi penempatan yang lebih besar dan menjadi sebuah kawasan yang terbesar bagi golongan manusia kerdil di dunia. Dia berharap dapat mengumpulkan lebih daripada 800 hingga 1000 orang manusia kerdil  bagi penempatan yang akan dibina dalam masa terdekat ini.

Bagaimanapun, usaha yang dilakukan oleh Chen Minjing adalah berdasarkan imaginasi manusia sahaja. Persoalannya, adakah dunia orang kerdil pernah wujud di dunia ini? Setakat ini, jawapan untuk teka-teki kewujudannya masih menjadi misteri dan tidak dapat dipastikan kesahihannya. Hanya mitos yang menceritakan orang kerdil sebenarnya wujud, tetapi sains masih belum memperakuinya secara sah disebabkan tidak ada bukti yang kukuh.

Meskipun begitu, terdapat beberapa laporan yang mengatakan spesies ini wujud di beberapa lokasi di dunia iaitu di sekitar Amerika Selatan dan Nusantara. Lokasi tersebut adalah di negara Chile, beberapa daerah di Indonesia seperti Sumatera  dan Jawa, kepulauan Borneo serta di semenanjung Malaysia.

Bermula pada tahun 1910 hingga kini, beberapa kajian tentang makhluk tersebut telah dilakukan oleh pengkaji yang berasingan. Bagaimanapun, rumusan spesifik mengenai spesies ini masih tidak dapat diberikan secara terperinci. Setakat ini, makhluk tersebut dikatakan berbulu di keseluruhan badan dan menyerupai haiwan cryptid.

Pada Oktober 2002, satu penemuan yang menggemparkan telah dilaporkan di Chile. Seorang kanak-kanak lelaki, Julio Carreno dikatakan telah menemui spesies makhluk kenit ketika bercuti bersama keluarganya di selatan negara itu.

Makhluk yang fizikalnya seakan manusia itu cuma sepanjang 7.2 sentimeter dan memiliki kepala besar, dua tangan serta dua kaki kecil. Ketika ditemui, makhluk tersebut dikatakan masih hidup namun tidak lama kemudian ia mati tanpa sebab musabab yang diketahui.

Pengkaji dari Universiti of Chile menganggap makhluk itu mungkin fetus sejenis haiwan hidupan liar seperti kucing hutan. Manakala pengkaji dari Universiti of Sonto Tomas beranggapan ia adalah hidupan seakan tupai iaitu ‘monito de monte’ yang berasal daripada spesies mamalia kecil yang suka menyembunyikan diri pada waktu siang.

Di antara tahun 1950 hingga 1980, sebanyak 46 kes penemuan makhluk ini dilaporkan di Malaysia. Daripada 46 kes, 32 insiden melibatkan kanak-kanak. Tahun 1970 mencatatkan penemuan paling tinggi iaitu sembilan kes.

Makhluk ini dikatakan kerap muncul pada jam sekitar 10.00 pagi, pada waktu malam dan subuh. Daripada semua kes yang dilaporkan itu, rata-rata mengatakan ketinggiannya hanya sekitar dua hingga empat inci. Beberapa gambaran menyebut makhluk tersebut menyerupai manusia, mempunyai bulu di seluruh tubuh, kelihatan seperti monyet dan berambut panjang seperti wanita.

Sementara itu di Kepulauan Flores, Indonesia, turut dipercayai wujudnya spesies ini. Makhluk aneh itu memiliki lengan yang lebih panjang, alis tebal, dahi jendul, mata yang bulat, tidak mempunyai dagu serta bergigi besar dan agak tumpul. Masyarakat setempat menggelarnya Ebu Gogo.

Selama beberapa lama ia kekal sebagai rahsia, akhirnya kewujudan manusia aneh itu terbongkar dengan penemuan sembilan rangka manusia kerdil itu di gua Liang Bua di Flores. Ia kemudian diberi nama saintifik ‘Homo Floresiensis’. Banyak pihak yang menggelarnya sebagai Hobbit disebabkan fizikalnya yang kerdil. Ketinggian ‘Homo Floresiensis’ ini hanya sekitar setengah meter, dengan berat rata-rata 20 kilogram. Adakah ia orang kenit yang dimaksudkan selama ini?


Sehingga ke hari ini, persoalan mengenai spesies manusia ini masih belum terjawab sepenuhnya. Tidak diketahui secara khusus sama ada makhluk ini benar-benar wujud, ataupun hanya sekadar mitos orang zaman dahulu.

Comments

Popular posts from this blog

Pengawal Rumah Melayu Lama

Laluan rahsia Genting Bidai

Air yang menyembuhkan penyakit