Mandi bunga boleh sembuhkan penyakit?

Dalam sejarah peradaban masyarakat Melayu, terdapat pelbagai rahsia perubatan yang masih diamalkan sehingga hari ini. Salah satu daripadanya adalah amalan mandi bunga.

Ketika awal tradisi ini diperkenalkan, ia lebih kepada berbentuk spiritual. Amalan ini biasanya dilakukan dengan niat membuang bala, mempercepatkan jodoh, menarik semangat baik, menghindarkan diri daripada semangat jahat, menyucikan dosa dan lain-lain lagi.

Kini, tujuan asal amalan ini mulai berubah mengikut peredaran masa dan mula diguna pakai sebagai salah satu kaedah rawatan alternatif. Meskipun tiada kajian saintifik  terperinci mengenainya dilakukan, amalan ini dipercayai boleh menghilangkan tekanan, menyegarkan badan, mencantikkan kulit, menghilangkan bau badan dan menaikkan seri pada wajah.

Menurut  pegawai perubatan dari Cawangan Amalan dan Pendaftaran, Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Shamsaini Shamsuddin, mandi bunga adalah suatu amalan yang telah dipraktikkan oleh orang Melayu sejak dari turun-temurun lagi. Dipercayai, amalan ini amat baik untuk terapi kesihatan seperti menaikkan seri wajah, menyegarkan fizikal dan mental serta menambahkan tenaga di dalam badan.  

Sebelum upacara mandi bunga dilakukan, kata Dr. Shamsaini, bahan-bahan khusus  akan dicampurkan ke dalam air.  Antaranya, tujuh jenis  bunga wangi, tujuh biji limau purut, tujuh titik air mawar dan tujuh titik minyak wangi atar.

Jelasnya lagi, terdapat dua kaedah mandi bunga yang masih dipraktikkan iaitu melalui cara tradisional dan moden. Lazimnya, mandi bunga mengikut kaedah tradisional biasanya
dilakukan oleh pengamal perubatan tradisional.

Kebiasaannya, ia didahului dengan bacaan ayat-ayat tertentu yang bertujuan membantu mereka yang mempunyai masalah peribadi seperti lambat mendapat jodoh atau mengalami masalah rumah tangga. Sebagai contoh, bagi pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga selalunya di saran melakukan amalan ini bagi mengelakkan anasir-anasir negatif yang terdapat di dalam badan sebelum memulakan hidup baru.

Bagi kaedah moden pula, mandi bunga diperbaharui mengikut cita rasa masa kini dan boleh dilakukan di kebanyakan salun kecantikan atau dilakukan sendiri di rumah. Pada hari ini,  
ramai orang terikat dengan kerjaya dan urusan seharian dan adalah lebih mudah jika mereka mendapatkan khidmat mandi bunga di salun kecantikan. Selain ditawarkan pakej dengan harga berpatutan, pelanggan juga berpeluang memanjakan diri dengan pelbagai rawatan lain misalnya mandi lulur, mandi susu, sauna dan urutan.

Namun perlu diingatkan, jika anda ingin melakukan mandi bunga sendiri di rumah, pastikan anda memilih bunga yang betul. Jangan gunakan bunga yang banyak hama seperti bunga matahari atau bunga berbau busuk seperti bunga tahi ayam. Pilihlah bunga berbau wangi dan seelok-eloknya mempunyai warna menarik kerana dari segi saintifik, aura warna dan bauan bunga mempunyai tenaga sendiri yang akan bertindak balas dengan tenaga dalam tubuh seperti kuasa magnet.

Persoalannya,  sejauh manakah amalan ini boleh memberi manfaat khususnya pada aspek kesihatan manusia? Jelas Dr. Shamsaini, air merupakan satu agen pengantar tenaga yang sangat baik pada tubuh manusia. Apabila ia bercampur dengan bunga akan berlaku satu tindak balas yang menghasilkan sejenis aroma wangi. Aroma ini akan memasuki liang-liang roma dan menghasilkan  satu rangsangan yang menyegarkan badan. Berdasarkan kajian perubatan yang dilakukan, mendapati badan manusia akan merasa selesa sekiranya menghidu bau yang harum.

Jelasnya lagi, setakat ini belum ada kajian saintifik dilakukan ke atas khasiat jenis-jenis bunga yang digunakan dalam amalan mandi bunga. Namun begitu, terdapat amalan moden yang berasaskan khasiat bunga dilakukan pada hari ini seperti Bach Flower, phytibiophysic dan aromaterapi.


Info: Bunga dan khasiat

·        # Mawar merah- membuatkan seseorang menjadi lebih berani dan berkeyakinan tinggi.
·         #Mawar putih-menyegarkan dan menyucikan badan supaya tampak lebih berseri.
·         #Cempaka putih-melembutkan dan mewangikan badan.
·         #Cempaka kuning – menyerikan wajah dan mewangikan badan.
·         #Melur putih dan kuning – menyucikan dalaman.
·         #Bunga kenanga – menaikkan seri dan senang didekati.
·         #Limau purut – buang kotoran badan dan membuka pori supaya aura serta seri bunga dapat bergabung dengan aura badan dengan mudah.
·        # Limau susu – melembutkan kulit.





Comments

Popular posts from this blog

Pengawal Rumah Melayu Lama

Laluan rahsia Genting Bidai

Air yang menyembuhkan penyakit