Hujan Salji di Padang Pasir


Mengikut laporan akhbar tempatan, Gulf News, fenomena pelik tersebut berlaku di wilayah utara UAE iaitu sebuah kawasan pergunungan yang dikenali Ras Al-Khaimah. Kawasan pergunungan yang berukuran 1,737 meter daripada paras laut itu telah mengejutkan ramai penduduk di negara berkenaan yang menyaksikan salji mulai turun pada sebelah malam selama dua hari  berturut-turut. Ketika keadaan itu berlaku, suhu di kawasan tersebut turun pada paras serendah -5 darjah Celsius.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kaji Cuaca Emiriah Arab Bersatu (UAE), mereka tidak dapat menjelaskan punca sebenar yang menyebabkan fenomena pelik itu berlaku. Ini kerana, ia merupakan kejadian yang kali pertama dilaporkan mengenai kewujudan salji di negara tersebut. Namun, jabatan berkenaan meramalkan fenomena ini kemungkinan berlaku pada tempoh 20 atau 30 tahun sekali.

Sebelum itu, akhbar berkenaan pernah melaporkan hujan lebat berukuran 12.6 milimeter telah berlaku di sebuah kawasan gurun di Dubai iaitu satu daerah yang jarang sekali menerima hujan. Berikutan itu, laporan akhbar tersebut dikaitkan sebagai punca kemunculan salji di kawasan pergunungan Ras Al-Khaimah. Dipercayai, hujan lebat terbabit turun selepas pemimpin negara itu mengarahkan supaya penduduk mengadakan solat sunat Istisqa’ dan berdoa meminta hujan sebulan sebelum kejadian.
  
Sejak kebelakangan ini, negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) sedang mengalami krisis bekalan air selain masalah jumlah taburan hujan yang sedikit. Bagi menyelesaikan masalah itu, Presiden UAE, Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan dan penduduk Islam lain mengadakan solat Istisqa’ bagi meminta hujan. Alternatif yang dilakukan itu membuahkan hasil dan doa mereka dimakbulkan apabila menerima hujan lebat sekali gus mendapat imbuhan apabila dapat memegang salji di bumi bergurun itu. 

Seperti yang diramalkan oleh pegawai kaji cuaca, suhu sejuk di negara tersebut mulai berkurangan dan salji pula mencair selepas beberapa minggu. Meskipun ianya seketika sahaja, fenomena alam yang aneh ini menjadi kenangan yang indah bagi penduduk apabila menyaksikan salji turun di negara mereka.

Menurut pensyarah dari Jabatan Sains dan Alam Sekitar, Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia(UPM), Profesor Madya Dr. Shaharin Ibrahim, terdapat dua faktor yang kemungkinan boleh menjelaskan kewujudan fenomena alam ini iaitu tiupan angin dan tekanan suhu yang ekstrem.

Kata Dr. Shaharin, bagi sesebuah negara yang beriklim gurun biasanya akan memiliki tekanan suhu yang sangat ekstrem. Keadaan ini terbahagi kepada dua iaitu pada waktu siang suhu persekitaran amat panas dan boleh mencapai sehingga 40 darjah Celsius. Manakala pada sebelah malam, perubahan suhu persekitaran mulai menurun sehingga angka sifar ke bawah.
Perbezaan ketara kedua suhu persekitaran ini, Dr. Shaharin menjelaskan, kemungkinan pada waktu malam salji lebih berpotensi turun di kawasan ini. Disebabkan faktor keadaan suhu pada waktu ini berada pada bawah paras beku, tidak mustahil hal ini boleh mempengaruhi kepada proses pembentukan salji.  
  
Selain suhu persekitaran yang sejuk, fenomena alam ini kemungkinan turut dipengaruhi oleh faktor tiupan angin bermusim yang datang dari arah Lautan Pasifik. Jelas Dr. Shaharin, angin bermusim selalunya membawa kandungan udara yang sejuk. Apabila ia memasuki ruang udara panas, kandungan udara sejuk ini akan bertindak balas dan membentuk ketulan-ketulan ais sebelum jatuh ke bumi.

Tambahnya lagi, fenomena salji yang turun di kawasan negara beriklim gurun selalunya berlaku pada tempoh yang singkat iaitu dalam jangka masa sehari atau dua hari. Ini kerana, salji yang turun di kawasan akan mencair apabila keadaan suhu mula meningkat pada waktu siang.

Pada awal bulan Januari tahun ini, kejadian seumpama ini turut dialami oleh penduduk di Arab Saudi. Berikutan kejadian itu, Jabatan Pertahanan Awam negara tersebut diarahkan berada dalam keadaan berjaga-jaga ekoran salji tebal yang turun di wilayah Tabuk, utara Arab Saudi.

Menurut Pengarah Jabatan berkenaan, Sulaiman Al-Huwaiti, rondaan keselamatan sudah dikerahkan di wilayah utara itu untuk memeriksa ketebalan salji. Beliau menggesa pemandu kenderaan yang melalui kawasan itu agar mematuhi had kelajuan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.


Sementara itu, Bulan Sabit Merah Arab Saudi turut mengerahkan pasukannya ke kawasan bukit Allouz dan Alqan di wilayah itu yang jarang sekali ditimpa salji tebal. Tabuk merupakan sebuah wilayah yang mempunyai iklim padang pasir dengan musim panas yang bersuhu tinggi iaitu 27 hingga 46 darjah Celsius dan musim sejuk yang bersuhu sederhana pada takat suhu empat hingga lapan darjah Celsius.

Comments

Popular posts from this blog

Pengawal Rumah Melayu Lama

Laluan rahsia Genting Bidai

Air yang menyembuhkan penyakit