Wednesday, January 22, 2014

Mandi bunga boleh sembuhkan penyakit?

Dalam sejarah peradaban masyarakat Melayu, terdapat pelbagai rahsia perubatan yang masih diamalkan sehingga hari ini. Salah satu daripadanya adalah amalan mandi bunga.

Ketika awal tradisi ini diperkenalkan, ia lebih kepada berbentuk spiritual. Amalan ini biasanya dilakukan dengan niat membuang bala, mempercepatkan jodoh, menarik semangat baik, menghindarkan diri daripada semangat jahat, menyucikan dosa dan lain-lain lagi.

Kini, tujuan asal amalan ini mulai berubah mengikut peredaran masa dan mula diguna pakai sebagai salah satu kaedah rawatan alternatif. Meskipun tiada kajian saintifik  terperinci mengenainya dilakukan, amalan ini dipercayai boleh menghilangkan tekanan, menyegarkan badan, mencantikkan kulit, menghilangkan bau badan dan menaikkan seri pada wajah.

Menurut  pegawai perubatan dari Cawangan Amalan dan Pendaftaran, Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Shamsaini Shamsuddin, mandi bunga adalah suatu amalan yang telah dipraktikkan oleh orang Melayu sejak dari turun-temurun lagi. Dipercayai, amalan ini amat baik untuk terapi kesihatan seperti menaikkan seri wajah, menyegarkan fizikal dan mental serta menambahkan tenaga di dalam badan.  

Sebelum upacara mandi bunga dilakukan, kata Dr. Shamsaini, bahan-bahan khusus  akan dicampurkan ke dalam air.  Antaranya, tujuh jenis  bunga wangi, tujuh biji limau purut, tujuh titik air mawar dan tujuh titik minyak wangi atar.

Jelasnya lagi, terdapat dua kaedah mandi bunga yang masih dipraktikkan iaitu melalui cara tradisional dan moden. Lazimnya, mandi bunga mengikut kaedah tradisional biasanya
dilakukan oleh pengamal perubatan tradisional.

Kebiasaannya, ia didahului dengan bacaan ayat-ayat tertentu yang bertujuan membantu mereka yang mempunyai masalah peribadi seperti lambat mendapat jodoh atau mengalami masalah rumah tangga. Sebagai contoh, bagi pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga selalunya di saran melakukan amalan ini bagi mengelakkan anasir-anasir negatif yang terdapat di dalam badan sebelum memulakan hidup baru.

Bagi kaedah moden pula, mandi bunga diperbaharui mengikut cita rasa masa kini dan boleh dilakukan di kebanyakan salun kecantikan atau dilakukan sendiri di rumah. Pada hari ini,  
ramai orang terikat dengan kerjaya dan urusan seharian dan adalah lebih mudah jika mereka mendapatkan khidmat mandi bunga di salun kecantikan. Selain ditawarkan pakej dengan harga berpatutan, pelanggan juga berpeluang memanjakan diri dengan pelbagai rawatan lain misalnya mandi lulur, mandi susu, sauna dan urutan.

Namun perlu diingatkan, jika anda ingin melakukan mandi bunga sendiri di rumah, pastikan anda memilih bunga yang betul. Jangan gunakan bunga yang banyak hama seperti bunga matahari atau bunga berbau busuk seperti bunga tahi ayam. Pilihlah bunga berbau wangi dan seelok-eloknya mempunyai warna menarik kerana dari segi saintifik, aura warna dan bauan bunga mempunyai tenaga sendiri yang akan bertindak balas dengan tenaga dalam tubuh seperti kuasa magnet.

Persoalannya,  sejauh manakah amalan ini boleh memberi manfaat khususnya pada aspek kesihatan manusia? Jelas Dr. Shamsaini, air merupakan satu agen pengantar tenaga yang sangat baik pada tubuh manusia. Apabila ia bercampur dengan bunga akan berlaku satu tindak balas yang menghasilkan sejenis aroma wangi. Aroma ini akan memasuki liang-liang roma dan menghasilkan  satu rangsangan yang menyegarkan badan. Berdasarkan kajian perubatan yang dilakukan, mendapati badan manusia akan merasa selesa sekiranya menghidu bau yang harum.

Jelasnya lagi, setakat ini belum ada kajian saintifik dilakukan ke atas khasiat jenis-jenis bunga yang digunakan dalam amalan mandi bunga. Namun begitu, terdapat amalan moden yang berasaskan khasiat bunga dilakukan pada hari ini seperti Bach Flower, phytibiophysic dan aromaterapi.


Info: Bunga dan khasiat

·        # Mawar merah- membuatkan seseorang menjadi lebih berani dan berkeyakinan tinggi.
·         #Mawar putih-menyegarkan dan menyucikan badan supaya tampak lebih berseri.
·         #Cempaka putih-melembutkan dan mewangikan badan.
·         #Cempaka kuning – menyerikan wajah dan mewangikan badan.
·         #Melur putih dan kuning – menyucikan dalaman.
·         #Bunga kenanga – menaikkan seri dan senang didekati.
·         #Limau purut – buang kotoran badan dan membuka pori supaya aura serta seri bunga dapat bergabung dengan aura badan dengan mudah.
·        # Limau susu – melembutkan kulit.





Berjanji dengan buaya

Di Sungai Kinabatangan, Sabah, terdapat satu legenda yang berlegar di kalangan penduduk setempat perihal sebuah kisah perjanjian lama. Dikatakan, perjanjian tersebut yang dikenali berjanji dengan buaya atau dalam bahasa masyarakat etnik Orang Sungai disebut sebagai ‘Gegejanji Gunai Boya’.

Kandungan dalam perjanjian itu cukup ringkas. Sesiapa yang berketurunan daripada masyarakat etnik Orang Sungai tinggal di sepanjang sungai Kinabatangan atau di lain-lain tempat tidak boleh diganggu apatah lagi dibaham oleh sang bedal.

Sama ada kisah ini hanya sekadar suatu mitos atau sebaliknya, tidak dapat dipastikan kebenarannya. Meskipun kisah perjanjian ini tidak seratus peratus dipegang sebagai kepercayaan pada hari ini, ia tetap menjadi satu khazanah bernilai kisah nenek moyang Orang Sungai yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi lain.

Berdasarkan bukti lisan daripada beberapa orang warga emas tempatan, ‘Gegejanji Gunai Boya’ atau perjanjian dengan sang bedal merupakan sebuah peristiwa yang benar-benar berlaku di dalam budaya masyarakat etnik Orang Sungai, terutama bagi mereka yang sudah lanjut usia.

Menurut seorang warga emas yang bernama Mak Andam Bahima Sapiudin,65, perjanjian ini dipercayai bermula di antara seekor raja buaya yang digelar Aki Turonggari dengan seorang wanita tua yang lebih dikenali sebagai dukun Aduk Sibulig-buliq. Mengikut inti pati perjanjian itu, selagi pantang larang seperti mandi, membasuh pakaian atau mencari rezeki sekitar sungai dipatuhi oleh anak cucu Aduk Sibulig-buliq, maka selagi itulah keturunan Aki Turonggari akan mematuhi perjanjian itu.

Bukan mitos dan bukan juga legenda, kata Bahima, walaupun ‘Gegejanji Gunai Boya’ sekadar cerita yang diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain, ia tetap memberi kesan dalam kehidupan masyarakat etnik Orang Sungai. Tidak hairanlah jika cerita itu ada yang diyakini  mereka walaupun tidak kurang juga yang menganggapnya sekadar cerita khayalan.

Tidak dinafikan sama sekali ketentuan nasib insan yang sememangnya adalah hak Allah SWT, ‘gegejanji ganai boya’ seolah-olah terpakai pada kehidupan masyarakat etnik Orang Sungai. Ketika mereka masih berpegang kukuh kepada pantang larang yang dipersetujui antara Aduk Sibulig-bulig dengan Aki Turonggari, seingat anggota masyarakat generasi tua di sepanjang Sungai Kinabatangan, belum ada antara mereka atau anak cucu mereka dibaham buaya.

Selain Bahima, kisah perjanjian tersebut turut dikongsi oleh lima orang nelayan dari kampung Sukau iaitu Sumanto Selamat, 52, Aris Mail, 38, Kamsa Ahmad, 29, Riduan Takasi, 45, dan Ramli Juair, 41. Meskipun belum pernah di antara mereka diganggu sang bedal, langkah berjaga-jaga tetap diutamakan setiap kali mereka turun ke sungai untuk menangkap ikan.
Memang tidak dinafikan, kelima-lima orang nelayan ini mendakwa pernah terserempak dengan keturunan sang raja buaya. Peristiwa menakutkan itu dialami sendiri oleh Riduan yang berseorangan sedang asyik menarik bubu udang galah yang dipasangnya.

Bagaimanapun, keasyikannya itu dikejutkan dengan kemunculan seekor buaya sepanjang 15 kaki di hujung perahunya. Dia yang terperanjat dengan situasi yang mencemaskan itu, tidak mampu berbuat apa-apa melainkan mulutnya terkumat-kamit membaca doa. Pun begitu, nasib masih menyebelahinya kerana buaya tersebut perlahan-lahan tenggelam dan menghilang ke dasar sungai.

Namun demikian, bukan tidak pernah sang bedal menyambar manusia di tebing sungai sebagai santapannya. Kira-kira empat bulan lalu, difahamkan seorang pekerja ladang di sebuah syarikat perladangan kelapa sawit menjadi habuan sang bedal. Pekerja lelaki warga Indonesia yang berusia awal 20-an itu dikatakan sedang menjala ikan di hulu Sungai Kinabatangan hingga lewat petang.

Tanpa mengendahkan papan tanda yang melarang kegiatan memancing atau menjala di kawasan berkenaan, pekerja terbabit dan rakannya tidak menghiraukan dan melangkah masuk ke dalam sungai hingga ke paras pinggang. Malang tidak berbau, kelekaan mereka yang terlalu asyik menjala ikan berakhir dengan satu tragedi yang mengerikan. Kehadiran mereka di kawasan itu rupa-rupanya telah dihidu oleh seekor sang bedal yang membaham salah seorang daripada mereka dalam sekelip mata.

Antara realiti dan cerita ‘Gegejanji Gunai Boya mungkin ada kebenarannya. Ketika masyarakat etnik Orang Sungai anak cucu Aduk Sibulig-bulig masih berpegang teguh kepada pantang larang ketika mencuci pakaian atau mandi atau mencari rezeki di sungai, anak cucu Aki Turonggari pula tidak pernah lupa akan syarat yang dikenakan oleh raja mereka.

Yang pasti, masyarakat etnik Orang Sungai di Sungai Kinabatangan dan Sungai Segama atau di mana saja di Sabah tetap tabah meneruskan kehidupan di tebing sungai. Meskipun masih teguh berpegang pada janji itu, mereka cukup pasti sang bedal bukanlah penghuni sungai yang boleh diberikan kepercayaan sebagai teman.

Tahukah anda?

 #Tahi burung merupakan eksport utama sebuah negara pulau yang terletak di Barat Lautan Pasifik, Republik of Nauru.

Negara Cuba merupakan satu-satunya pulau di Lautan Carribbean yang mempunyai landasan kereta api.

·    #Di dalam bahasa India, perkataan ‘Canada’ adalah bermaksud ‘Kampung Besar’. Manakala, perkataan ‘I am’ merupakan ayat yang paling pendek di dalam bahasa Inggeris.

·    #Sari merupakan pakaian tradisional bagi kaum wanita di India. Tahukah anda, ukuran sari untuk pakaian seharian atau di dalam majlis tidak rasmi adalah sepanjang dua meter manakala bagi majlis rasmi pula adalah sepanjang tiga meter.

·    #Sewaktu pelukis terkenal dunia, Pablo Picasso, dilahirkan pada 25 Februari 1881 di Malaga, Sepanyol, dia telah disahkan mati oleh seorang bidan yang menyambut kelahirannya. Bagaimanapun, berita kematiannya tidak dapat diterima oleh bapa saudaranya yang juga merupakan seorang doktor. Lantaran itu, bapa saudaranya cuba memberikan batuan pernafasan hingga Picasso dapat bernafas semula.

·    #Anda jangan terkejut kerana di Florida, Amerika Syarikat, kebanyakan syarikat insurans di situ menawarkan polisi perlindungan insurans daripada diculik oleh makhluk asing.

·    #Suatu ketika dahulu iaitu ketika peradaban Rom dan Mesir kuno, masyarakatnya menggunakan campuran minyak panas dan sisa berudu yang dihancurkan untuk menghasilkan pewarna rambut mereka.

·    #Sebelum wujud di dalam sistem solar, planet Zuhrah pada asalnya merupakan sebuah komet (objek di dalam cakerawala yang beredar mengelilingi matahari dan meninggalkan kesan ekor yang bercahaya.

·    #Shih Huang Ti ialah seorang maharaja China yang pertama menyatukan kesemua wilayah di negara China.

·    #Mesin jahit dicipta oleh seorang pereka cipta dari Amerika, Elias Howe (1819-1867).

·    #Tarian Ballet merupakan seni tari yang bermula di negara Itali pada kurun ke-15.

·    #Terdapat empat buah negara yang terlibat dalam usaha merangka usul-usul perlembagaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1944. Antara negara-negara itu ialah Great Britain, Rusia, Amerika Syarikat dan China.


Perkampungan manusia kerdil

Di satu lokasi yang terletak bersebelahan Bukit Xishan, wilayah Yunan, China, terdapat sebuah perkampungan yang diberi nama ‘Dwarf empire’. Uniknya, keseluruhan populasi penghuni yang tinggal di kawasan ini adalah terdiri daripada manusia kerdil.

Perkampungan yang mirip seperti di dalam sebuah cerita dongeng yang bertajuk ‘Gulliver’s Travel’ ini,mula dibina pada tahun 2009. Ia merupakan salah sebuah tiga taman tema 
yang dimiliki oleh seorang usahawan elektronik dan hartanah di China, Cheng Minjing.

Mengikut laporan agensi berita antarabangsa, Agency France-Presse (AFP), Cheng telah melabur hampir 100 Million Yuan untuk membina taman tema tersebut. Ini kerana, hatinya tersentuh apabila melihat sekumpulan orang kerdil yang ditemui di dalam sebuah kereta api. Sebagai seorang usahawan yang berjaya, kata Cheng, tanggungjawab sosial adalah penting dan seharusnya diutamakan bagi meningkatkan taraf hidup orang kerdil di China.

Selain meningkatkan taraf hidup, perkampungan tersebut turut dibina sebagai platform bagi golongan ini mendapat pekerjaan dan tempat tinggal yang selesa berbanding kehidupan lalu mereka yang susah dan teruk. Antara peluang pekerjaan yang diwujudkan di perkampungan ini adalah berkaitan dengan seni persembahan seperti menyanyi, menari dan persembahan silap mata serta akrobatik. Justeru, bagi pengunjung yang datang untuk menyaksikan persembahan ini akan dikenakan bayaran sebanyak 80 Yuan.

Meskipun begitu, bagi penghuni yang tidak terlibat dengan persembahan mereka akan diberikan tugas lain seperti menyelia kantin, membuat bunga sutera, mengendalikan gerai-gerai dan pemandu pelancong. Selain mewujudkan peluang pekerjaan, orang-orang kerdil ini turut diberi latihan yang berfaedah. Antara latihan tersebut adalah menyertai kursus etika, kaunseling-terapi, pembelajaran bahasa Inggeris secara percuma dan sesi mencari cinta seperti yang pernah menyatukan seorang penghuni di sini, Ou Jielin, 24, yang dijadualkan akan berkahwin tidak lama lagi dengan pasangannya.

Pada hari ini, ‘Dwarf empire’ mempunyai lebih daripada 100 orang penghuni orang kerdil yang pernah hidup di jalanan. Kesemua mereka ini diberi bilik percuma dan gaji mingguan antara 800 hingga 2000 yuan. Sejak perkampungan tersebut dibuka, ia mendapat perhatian ramai khususnya golongan manusia kerdil yang berminat untuk mendaftar menjadi penghuni di sini dan pengunjung dari luar dan dalam negara itu.

Sementara itu, sebuah badan bukan kerajaan di bawah United Nations (UN) iaitu World Peace Foundation, merancang untuk menerbitkan sebuah dokumentari mengenai ‘Dwarf empire’. Menurut Pengerusi Eksekutif badan itu, Wan Mantang, dokumentari tersebut diterbitkan adalah bertujuan untuk memberi kesedaran di kalangan masyarakat agar tidak meminggirkan golongan ini.
Melihat keadaan situasi itu, kata Cheng, dia bercadang akan membina sebuah lagi penempatan yang lebih besar dan menjadi sebuah kawasan yang terbesar bagi golongan manusia kerdil di dunia. Dia berharap dapat mengumpulkan lebih daripada 800 hingga 1000 orang manusia kerdil  bagi penempatan yang akan dibina dalam masa terdekat ini.

Bagaimanapun, usaha yang dilakukan oleh Chen Minjing adalah berdasarkan imaginasi manusia sahaja. Persoalannya, adakah dunia orang kerdil pernah wujud di dunia ini? Setakat ini, jawapan untuk teka-teki kewujudannya masih menjadi misteri dan tidak dapat dipastikan kesahihannya. Hanya mitos yang menceritakan orang kerdil sebenarnya wujud, tetapi sains masih belum memperakuinya secara sah disebabkan tidak ada bukti yang kukuh.

Meskipun begitu, terdapat beberapa laporan yang mengatakan spesies ini wujud di beberapa lokasi di dunia iaitu di sekitar Amerika Selatan dan Nusantara. Lokasi tersebut adalah di negara Chile, beberapa daerah di Indonesia seperti Sumatera  dan Jawa, kepulauan Borneo serta di semenanjung Malaysia.

Bermula pada tahun 1910 hingga kini, beberapa kajian tentang makhluk tersebut telah dilakukan oleh pengkaji yang berasingan. Bagaimanapun, rumusan spesifik mengenai spesies ini masih tidak dapat diberikan secara terperinci. Setakat ini, makhluk tersebut dikatakan berbulu di keseluruhan badan dan menyerupai haiwan cryptid.

Pada Oktober 2002, satu penemuan yang menggemparkan telah dilaporkan di Chile. Seorang kanak-kanak lelaki, Julio Carreno dikatakan telah menemui spesies makhluk kenit ketika bercuti bersama keluarganya di selatan negara itu.

Makhluk yang fizikalnya seakan manusia itu cuma sepanjang 7.2 sentimeter dan memiliki kepala besar, dua tangan serta dua kaki kecil. Ketika ditemui, makhluk tersebut dikatakan masih hidup namun tidak lama kemudian ia mati tanpa sebab musabab yang diketahui.

Pengkaji dari Universiti of Chile menganggap makhluk itu mungkin fetus sejenis haiwan hidupan liar seperti kucing hutan. Manakala pengkaji dari Universiti of Sonto Tomas beranggapan ia adalah hidupan seakan tupai iaitu ‘monito de monte’ yang berasal daripada spesies mamalia kecil yang suka menyembunyikan diri pada waktu siang.

Di antara tahun 1950 hingga 1980, sebanyak 46 kes penemuan makhluk ini dilaporkan di Malaysia. Daripada 46 kes, 32 insiden melibatkan kanak-kanak. Tahun 1970 mencatatkan penemuan paling tinggi iaitu sembilan kes.

Makhluk ini dikatakan kerap muncul pada jam sekitar 10.00 pagi, pada waktu malam dan subuh. Daripada semua kes yang dilaporkan itu, rata-rata mengatakan ketinggiannya hanya sekitar dua hingga empat inci. Beberapa gambaran menyebut makhluk tersebut menyerupai manusia, mempunyai bulu di seluruh tubuh, kelihatan seperti monyet dan berambut panjang seperti wanita.

Sementara itu di Kepulauan Flores, Indonesia, turut dipercayai wujudnya spesies ini. Makhluk aneh itu memiliki lengan yang lebih panjang, alis tebal, dahi jendul, mata yang bulat, tidak mempunyai dagu serta bergigi besar dan agak tumpul. Masyarakat setempat menggelarnya Ebu Gogo.

Selama beberapa lama ia kekal sebagai rahsia, akhirnya kewujudan manusia aneh itu terbongkar dengan penemuan sembilan rangka manusia kerdil itu di gua Liang Bua di Flores. Ia kemudian diberi nama saintifik ‘Homo Floresiensis’. Banyak pihak yang menggelarnya sebagai Hobbit disebabkan fizikalnya yang kerdil. Ketinggian ‘Homo Floresiensis’ ini hanya sekitar setengah meter, dengan berat rata-rata 20 kilogram. Adakah ia orang kenit yang dimaksudkan selama ini?


Sehingga ke hari ini, persoalan mengenai spesies manusia ini masih belum terjawab sepenuhnya. Tidak diketahui secara khusus sama ada makhluk ini benar-benar wujud, ataupun hanya sekadar mitos orang zaman dahulu.

Hujan Salji di Padang Pasir


Mengikut laporan akhbar tempatan, Gulf News, fenomena pelik tersebut berlaku di wilayah utara UAE iaitu sebuah kawasan pergunungan yang dikenali Ras Al-Khaimah. Kawasan pergunungan yang berukuran 1,737 meter daripada paras laut itu telah mengejutkan ramai penduduk di negara berkenaan yang menyaksikan salji mulai turun pada sebelah malam selama dua hari  berturut-turut. Ketika keadaan itu berlaku, suhu di kawasan tersebut turun pada paras serendah -5 darjah Celsius.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kaji Cuaca Emiriah Arab Bersatu (UAE), mereka tidak dapat menjelaskan punca sebenar yang menyebabkan fenomena pelik itu berlaku. Ini kerana, ia merupakan kejadian yang kali pertama dilaporkan mengenai kewujudan salji di negara tersebut. Namun, jabatan berkenaan meramalkan fenomena ini kemungkinan berlaku pada tempoh 20 atau 30 tahun sekali.

Sebelum itu, akhbar berkenaan pernah melaporkan hujan lebat berukuran 12.6 milimeter telah berlaku di sebuah kawasan gurun di Dubai iaitu satu daerah yang jarang sekali menerima hujan. Berikutan itu, laporan akhbar tersebut dikaitkan sebagai punca kemunculan salji di kawasan pergunungan Ras Al-Khaimah. Dipercayai, hujan lebat terbabit turun selepas pemimpin negara itu mengarahkan supaya penduduk mengadakan solat sunat Istisqa’ dan berdoa meminta hujan sebulan sebelum kejadian.
  
Sejak kebelakangan ini, negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) sedang mengalami krisis bekalan air selain masalah jumlah taburan hujan yang sedikit. Bagi menyelesaikan masalah itu, Presiden UAE, Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan dan penduduk Islam lain mengadakan solat Istisqa’ bagi meminta hujan. Alternatif yang dilakukan itu membuahkan hasil dan doa mereka dimakbulkan apabila menerima hujan lebat sekali gus mendapat imbuhan apabila dapat memegang salji di bumi bergurun itu. 

Seperti yang diramalkan oleh pegawai kaji cuaca, suhu sejuk di negara tersebut mulai berkurangan dan salji pula mencair selepas beberapa minggu. Meskipun ianya seketika sahaja, fenomena alam yang aneh ini menjadi kenangan yang indah bagi penduduk apabila menyaksikan salji turun di negara mereka.

Menurut pensyarah dari Jabatan Sains dan Alam Sekitar, Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia(UPM), Profesor Madya Dr. Shaharin Ibrahim, terdapat dua faktor yang kemungkinan boleh menjelaskan kewujudan fenomena alam ini iaitu tiupan angin dan tekanan suhu yang ekstrem.

Kata Dr. Shaharin, bagi sesebuah negara yang beriklim gurun biasanya akan memiliki tekanan suhu yang sangat ekstrem. Keadaan ini terbahagi kepada dua iaitu pada waktu siang suhu persekitaran amat panas dan boleh mencapai sehingga 40 darjah Celsius. Manakala pada sebelah malam, perubahan suhu persekitaran mulai menurun sehingga angka sifar ke bawah.
Perbezaan ketara kedua suhu persekitaran ini, Dr. Shaharin menjelaskan, kemungkinan pada waktu malam salji lebih berpotensi turun di kawasan ini. Disebabkan faktor keadaan suhu pada waktu ini berada pada bawah paras beku, tidak mustahil hal ini boleh mempengaruhi kepada proses pembentukan salji.  
  
Selain suhu persekitaran yang sejuk, fenomena alam ini kemungkinan turut dipengaruhi oleh faktor tiupan angin bermusim yang datang dari arah Lautan Pasifik. Jelas Dr. Shaharin, angin bermusim selalunya membawa kandungan udara yang sejuk. Apabila ia memasuki ruang udara panas, kandungan udara sejuk ini akan bertindak balas dan membentuk ketulan-ketulan ais sebelum jatuh ke bumi.

Tambahnya lagi, fenomena salji yang turun di kawasan negara beriklim gurun selalunya berlaku pada tempoh yang singkat iaitu dalam jangka masa sehari atau dua hari. Ini kerana, salji yang turun di kawasan akan mencair apabila keadaan suhu mula meningkat pada waktu siang.

Pada awal bulan Januari tahun ini, kejadian seumpama ini turut dialami oleh penduduk di Arab Saudi. Berikutan kejadian itu, Jabatan Pertahanan Awam negara tersebut diarahkan berada dalam keadaan berjaga-jaga ekoran salji tebal yang turun di wilayah Tabuk, utara Arab Saudi.

Menurut Pengarah Jabatan berkenaan, Sulaiman Al-Huwaiti, rondaan keselamatan sudah dikerahkan di wilayah utara itu untuk memeriksa ketebalan salji. Beliau menggesa pemandu kenderaan yang melalui kawasan itu agar mematuhi had kelajuan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.


Sementara itu, Bulan Sabit Merah Arab Saudi turut mengerahkan pasukannya ke kawasan bukit Allouz dan Alqan di wilayah itu yang jarang sekali ditimpa salji tebal. Tabuk merupakan sebuah wilayah yang mempunyai iklim padang pasir dengan musim panas yang bersuhu tinggi iaitu 27 hingga 46 darjah Celsius dan musim sejuk yang bersuhu sederhana pada takat suhu empat hingga lapan darjah Celsius.

Jambatan Adam

Pada bulan Oktober 2010, sebuah satelit angkasa berkuasa tinggi milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika (NASA), mendakwa telah merakam sebuah objek yang tidak dikenali di lokasi sempadan antara India dan Sri Lanka. Apa yang menariknya, objek tersebut kelihatan mirip seperti sebuah jambatan yang menghubungkan kedua-dua negara itu.

Lantaran penemuan yang menakjubkan itu, pihak NASA telah menamakan objek tersebut sebagai  ‘Adam Bridge’. Dianggarkan berukuran sepanjang 30 Kilometer, objek tersebut mempunyai satu bentuk garisan melengkung yang hampir sama seperti sebuah jambatan.

Ekoran itu, penemuan objek yang didakwa oleh pihak NASA mula tersebar dan mendapat perhatian daripada Jabatan Arkeologi Sri Langka. Melalui satu kenyataan yang dikeluarkan jabatan tersebut, mereka mengesahkan bahawa objek berkenaan adalah sebuah jambatan purba yang dikenali sebagai Jambatan Rama.

Berdasarkan kajian yang pernah dilakukan sebelum ini mendapati, kewujudan jambatan tersebut dibuktikan melalui penelitian sebuah kitab kuno yang dikenali Mahabhrata dan Ramayana. Mengikut rekod kajian mereka, usia jambatan tersebut berkemungkinan mencecah satu hingga dua juta tahun yang lalu. Uniknya lagi, dikatakan jambatan berkenaan didakwa dibina oleh manusia yang hidup pada ketika itu.

Timbul persoalan, sejauh manakah kebenaran dakwaan ini? Lebih mengelirukan lagi, bagaimana manusia pada ketika itu boleh membina sebuah jambatan yang berukuran sepanjang 30 Kilometer. Ia suatu yang agak mustahil!

Jika dilihat pada situasi ini, kewujudan artifak tersebut tidak sesuai dengan zamannya. Dalam erti kata lain, penemuan jambatan purba ini telah mendahului zaman di mana perbandingan corak sosial dan teknologi penghasilannya menyebabkan artifak itu dilihat datang daripada satu zaman yang tidak sepadan dengan waktu ia dijumpai.

Bagaimanapun, penemuan artifak seperti ini banyak sekali dijumpai dan masih belum dapat dijelaskan sehingga hari ini. Mengikut teori yang dikemukakan oleh seorang ahli Cryptozoologist Amerika Syarikat, Ivan T. Sanderson, penemuan seumpama ini digelar sebagai Out of Place Artifact (OOPART).

Jelasnya, fenomena OOPART merupakan kejadian yang tidak diketahui puncanya. Ia juga merupakan istilah asing yang paling jarang digunakan dalam sesuatu penemuan. Merujuk kepada objek sejarah, arkeologi atau paleontologi yang ditemui tidak sesuai pada tempat dan zamannya.  Justeru, ia dilihat bertentangan dengan sejarah, waktu, dan teori kewujudan.

Selain ‘Adam Bridge’, terdapat dua penemuan arkeologi yang terkenal dikategorikan sebagai OOPART. Pertama, penemuan Tengkorak Kristal atau ‘Crystal Skull’ yang merupakan barang tinggalan daripada bangsa Maya di daerah Yacatan, Mexico.

Seperti yang diketahui umum, bangsa Maya merupakan salah satu bangsa yang telah mengeluarkan satu ramalan mengenai kemusnahan bumi yang bakal berlaku pada tahun 2012. Ramalan ini berlandaskan kepada kiraan kalendar matahari dalam tamadun ini. Namun selepas penemuan Tengkorak Kristal, banyak ahli arkeologi merasakan, terlalu banyak rahsia dalam tamadun Maya yang mereka tidak ketahui.

Jika dilihat daripada aspek ketelitian dan reka bentuk tengkorak ini, ramai pengkaji mengandaikan, adalah sesuatu yang mustahil bangsa ini mampu menghasilkan artifak yang begitu sempurna seperti ini? Lebih-lebih lagi ia dihasilkan daripada batu permata Amesthyst. Soalnya, sejauh manakah bangsa Maya pada waktu itu mampu membentuk batu keras ini menjadi artifak yang sama seperti tengkorak manusia, sedangkan manusia di zaman teknologi pun susah untuk mengukir batu permata ini? 

Selain artifak purba Maya, satu lagi penemuan yang dianggap OOPART. Penemuan yang dimaksudkan adalah tulisan Hiroglif yang menggambarkan peradaban kuno Mesir Sebelum Masihi (SM). Anehnya, di dalam tulisan ini terkandung pelbagai jenis kenderaan udara pada zaman kini seperti helikopter, kapal terbang dan lain-lain figura yang berkemungkinan wujud pada masa hadapan.

Namun, kemunculan tulisan ini menjadi tanda tanya kerana pesawat yang pertama kali dicipta di bumi adalah berlaku pada abad ke-16. Pesawat ini dicipta oleh dua orang adik beradik,  Orville dan Wilbur Wright. 

Bagaimanapun, istilah OOPART yang dikemukakan oleh Sanderson disangkal oleh sesetengah ahli sejarah yang skeptikal. Mereka berpendapat teknologi untuk menghasilkan artifak itu telah pun wujud sezaman dengan perkembangan sesuatu tamadun. Jadi, dakwaan yang mengatakan teknologi pembuatan artifak yang mendahului zaman sebenarnya tidak wujud.


Golongan ini berpendapat adalah tipu helah semata-mata dan ia tidak ada kena mengena dengan teknologi yang mendahului zaman. Walaupun begitu, istilah ini dilihat berlaku masih diaplikasikan untuk mencari bukti dan teori terhadap teknologi mendahului zaman pada peradaban silam.