Batu berbau kentut


Di antara mineral-mineral teras yang wujud di dalam perut bumi, terdapat sejenis batu kristal berwarna kuning yang mempunyai bau tengit menyesakkan hidung. Ia adalah batu sulfur – sejenis hablur pepejal yang berbau seperti telur busuk.

Sulfur atau dalam bahasa Latinnya sulpur telah ditemui oleh manusia sejak beberapa kurun sebelum Masihi (SM) lagi. Ia pernah disebut di dalam kitab lama sebagai satu unsur semula jadi alam. Dipercayai, perkataan sulfur ini berasal daripada bahasa Arab iaitu sufra yang bermaksud kekuning-kuningan.

Pengarang epik Yunani yang dikenali sebagai Homer pernah menyebut tentang sulfur pada abad ke-8 SM. Pada tahun 424 SM, kaum Boeotia telah merosakkan dinding-dinding sebuah kota menggunakan pembakaran campuran arang batu, sulfur dan tar.

Penggunaan sulfur makin lama makin berkembang dan manusia semakin bijak mengaplikasikan sulfur dalam kehidupan harian, terutamanya dalam bidang ketenteraan. Pada sekitar abad ke-12, orang Cina telah mencipta serbuk senapang, yang merupakan campuran kalium nitrat, karbon dan sulfur.

Sehinggalah beberapa kurun selepas itu, sulfur telah dimasukkan ke dalam perbincangan sains. Dan pada lewat 1770-an, seorang saintis, Antoine Lavoisier telah meyakinkan golongan sains bahawa sulfur merupakan sejenis unsur dan bukannya satu sebatian.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Ibrahim Ismail, di kalangan masyarakat Melayu, sulfur lebih dikenali sebagai belerang. Sulfur dalam bentuk aslinya adalah satu hablur pepejal lembut yang berwarna kuning. Dalam alam semula jadi, ia boleh ditemui dalam bentuk unsur tulen atau dalam bentuk mineral sulfida dan sulfat.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Ibrahim Ismail
Jelas Datuk Ibrahim, sulfur adalah satu-satunya mineral pepejal yang melepaskan bau busuk. Bauan sulfur dikatakan menyerupai bau telur busuk atau bau kentut. Ini kerana kebanyakan bau busuk bahan organik mengandungi sulfur. Contohnya bau busuk bawang putih dan bau busuk ‘skunk’ adalah disebabkan oleh sebatian organik yang mengandungi sulfur. Bau ini berfungsi untuk mengesan sekiranya berlaku sebarang kebocoran gas yang mudah terbakar.

Sulfur, menurut Datuk Ibrahim, adalah sejenis batuan yang unik kerana mempunyai pelbagai variasi warna dalam bentuk yang berbeza. Dalam bentuk pepejal atau hablur, sulfur berwarna kuning terang. Namun, apabila terbakar, sulfur akan menghasilkan nyalaan api yang berwarna biru. Bagaimanapun, perubahan warna berlaku dengan ketara apabila sulfur menjadi cair yang mana warnanya akan bertukar menjadi merah seperti darah.

Di seluruh belahan dunia, batuan sulfur boleh didapati di kawasan yang berhampiran dengan mata air panas dan sekitar kawasan kawah gunung berapi, terutamanya di sepanjang Lingkaran Api Pasifik. Antara lokasi utamanya ialah di Indonesia, Chile dan Jepun. Selain itu, longgokan ketara unsur sulfur juga wujud dalam bentuk kubah garam di sepanjang pantai Teluk Mexico serta di Eropah Timur dan Asia Barat.

Dalam bidang perindustrian, sulfur mempunyai banyak kegunaan. Melalui terbitan utamanya asid sulfurik, sulfur adalah antara unsur yang berkepentingan sebagai bahan mentah perindustrian. Malah, ia dianggap sebagai kepentingan utama dalam setiap sektor ekonomi dunia.

Sulfur digunakan dalam pembuatan bateri, bahan pencuci, pemvulkanan getah, racun kulat serta pembuatan baja fosfat. Oleh sebab sifatnya yang mudah terbakar, sulfur juga digunakan untuk menghasilkan mancis, ubat bedil dan bunga api. Manakala garam Epson atau garam sulfur boleh digunakan sebagai julap atau bahan penambah mandian.

Pada lewat tahun 1700-an, pengusaha-pengusaha perabot menggunakan sulfur untuk menghasilkan hiasan tatah dalam rekaan-rekaan mereka dan dijual dengan harga yang sangat tinggi. Namun, penggunaan sulfur ini boleh menyebabkan bahaya kerana ia bakal mendedahkan tukang ukir dengan gas beracun sulfur dioksida yang terhasil semasa peleburan sulfur. Justeru ketukangan ini tidak diteruskan lagi.

Comments

Popular posts from this blog

Pengawal Rumah Melayu Lama

Laluan rahsia Genting Bidai

Air yang menyembuhkan penyakit