Planet Nibiru Ada Kaitan Dengan Hari Kiamat?

PADA bulan September 1846, selepas penemuan planet kelapan iaitu Neptun, seorang ahli matematik Perancis bernama Le Verrie mengandaikan bahawa berkemungkinan masih ada planet lain dalam sistem suria kita yang belum ditemui.

Justeru, ahli astronomi tersebut telah berusaha untuk mencari planet lain yang orbitnya melepasi orbit Neptun. Pencarian ini dapat menjelaskan gangguan yang terdapat pada orbit-orbit planet Uranus dan Neptun. Ketika itu, seorang ahli astronomi, Percival Lowell telah menamakan planet yang dicari ini sebagai Planet X.

Namun apabila Clyde Tombaugh, seorang ahli astronomi Amerika menjumpai planet Pluto pada tahun 1930, didapati ciri-ciri yang terdapat pada planet Pluto adalah tidak sama dengan planet X seperti yang diramalkan. Sejak peristiwa itu, ahli astronomi sering menggunakan tata tanda planet X bagi sebarang planet yang diramalkan wujud, tetapi masih belum dijumpai.

Menurut Felo Penyelidik di Institut Sains Angkasa (ANGKASA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Geri Gopir, gelaran planet X sebenarnya digunakan untuk planet yang tidak diketahui, tetapi diramalkan sahaja. Ia sama seperti pemboleh ubah X tidak diketahui nilainya dalam matematik. Tetapi para penyokong kewujudan planet Nibiru menyatakan bahawa planet Nibiru adalah sama dengan planet X.

Kewujudan planet Nibiru pula dicadangkan oleh Zecharia Sitchin, seorang penulis dari Amerika yang telah mengkaji mengenai sejarah, tamadun dan tulisan masyarakat Sumeria di Babylon. Berdasarkan penulisan masyarakat Sumeria, Sitchin menyatakan bahawa masih wujud sebuah planet yang belum dijumpai selepas Neptun. Planet itu juga dikatakan akan mendekati dalaman sistem suria setiap 3,600 tahun.

Dr. Geri Gopir
Selain itu, Sitchin juga telah menghebahkan kenyataan ini menerusi bukunya, The 12th Planet pada tahun 1976. Walau bagaimanapun, para saintis yang lain telah membuat tuduhan terhadap Sitchin kerana tidak melakukan terjemahan dengan tepat dan hanya menokok tambah fakta dalam penulisannya itu.

Planet Nibiru dikatakan sebuah planet yang besar dan mempunyai orbit yang sangat elips, iaitu berbentuk bujur. Planet ini juga diramal akan tiba ke sistem suria dalaman dan akan mengganggu bumi pada tahun 2003, iaitu berdasarkan dakwaan asal penyokong atau pada tahun 2012 (dakwaan terkini).

Disebabkan itu, pada bulan Disember 2010 yang lalu telah timbul satu isu mengenai planet Nibiru yang diramal akan menghancurkan bumi. Dalam satu persidangan di Parlimen Malaysia, seorang wakil rakyat telah meminta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, Dato’ Seri Dr. Maximus Ongkili untuk menjawabnya dengan serius. Disebabkan itu, isu ini telah dibawa ke ANGKASA dan NASA (National Aeronautical and Space Administration) Amerika Syarikat bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Bagi Dr. Geri, isu mengenai planet Nibiru akan membawa kehancuran kepada bumi hanyalah satu spekulasi yang ditimbulkan kebanyakan orang. Jika orang ramai terus menyebarkan andaian dan kepercayaan mengenainya, maka orang lain juga akan berterusan mempercayainya.

Tambahnya, kebanyakan ahli astronomi sama ada profesional atau amatur masih tidak mengetahui dan menerima tentang kewujudan planet Nibiru. Ini kerana jika ia benar-benar wujud, sudah pasti ramai ahli astronomi telah mengkaji dan menulis dalam jurnal, buku dan laman web atau membuat perbincangan mengenainya dalam mana-mana persidangan mahupun ceramah umum.

Selain itu juga, tidak ada sebarang teori yang boleh menyokong kewujudan planet Nibiru. Malah menurut Dr. Geri, para saintis mempunyai ribuan hujah bagi menyangkal dakyah kewujudannya selain menganggap kewujudan planet Nibiru adalah bercanggah dengan hukum-hukum fizik, biologi dan logik.

Kiamat

Pada tahun 1995, menerusi laman web ZetaTalk, pemiliknya Nancy Lieder menyatakan beliau telah didatangi dan diberitahu oleh makhluk asing mengenai planet Nibiru akan menghampiri bumi pada 27 Mei 2003. Keadaan ini akan menyebabkan bumi teranjak dan kemudiannya akan mengubah medan magnet dan teras bumi. Namun apabila sampai tahun 2003 dan pelanggaran yang dinantikan tidak berlaku, para penyokong Lieder telah mengubah tarikh perlanggaran dan mengatakan kiamat akan berlaku pada tahun 2012 pula.

Disebabkan itu, muncul satu spekulasi yang menyatakan planet Nibiru akan menghampiri bumi pada tahun 2012, iaitu pada 21 Disember 2012, atau lebih popular ditulis seperti 21.12.12. Spekulasi ini juga dibuat berdasarkan ramalan kalendar Maya, iaitu bangsa di tamadun Amerika tengah suatu ketika dahulu.

Justeru, adakah benar bumi akan dihancurkan seperti yang berlaku dalam filem blockbuster 2012? Benarkah waktu kiamat yang diramalkan oleh kalendar Maya? Atau adakah pengarah filem bencana 2012 harus dipersalahkan kerana menghasilkan filem berdasarkan kepercayaan dan ketakutan sesetengah orang untuk mengaut keuntungan yang besar?

Menurut Dr. Geri, berdasarkan kepercayaan saintis, bencana dalam bentuk lain akan berlaku di antara tahun 2011 hingga 2013 kerana tempoh ini merupakan kemuncak kitaran suria, di mana matahari akan menjadi sangat aktif dan akan menghujani bumi dengan zarah dan sinaran elektromagnet yang lebih bertenaga dan berkeamatan tinggi.

Comments

Popular posts from this blog

Pengawal Rumah Melayu Lama

Laluan rahsia Genting Bidai

Air yang menyembuhkan penyakit