Perihal Haiwan Peperangan


SEGALA makhluk yang merayap di bumi, dan burung-burung yang terbang dengan sayap-sayapnya adalah umat-umat yang serupa dengan manusia. Keserupaan ini menyerlah melalui sifat sesetengah daripada haiwan ini yang seakan-akan sama dengan tabiat manusia. Walaupun haiwan tidak diberikan kedudukan setaraf dengan manusia namun kedudukannya merupakan sesuatu yang penting dalam keseimbangan kehidupan di bumi.

Di dalam Al-Quran, terdapat enam daripada 114 surah menceritakan mengenai haiwan. Surah-surah tersebut seperti al-Baqarah (lembu), Al-An’am (haiwan ternakan), al-Nahl (lebah), al-naml (semut), al-Ankabut (labah-labah) dan al-Fil (gajah). Ini menunjukkan, haiwan merupakan sesuatu yang sangat berfungsi di dalam kehidupan manusia. 

Menurut Prof. Madya Dr. Bashir Ahmad Fateh Mohamed, Dekan Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM), secara umumnya, terdapat tiga kegunaan haiwan dalam kehidupan manusia. Pertama sebagai makanan, kedua sebagai alat yang membantu dalam urusan kehidupan contohnya dalam pekerjaan dan ketiga sebagai haiwan kesayangan dan peliharaan.

Selain itu, sejarah tamadun dunia menunjukkan, haiwan juga dapat diaplikasikan sebagai senjata pertempuran. Kisah-kisah mengenai penaklukan dan penjarahan oleh raja-raja perang ternama dunia sebenarnya tidak boleh lari daripada haiwan. Haiwan memainkan peranan penting dan merupakan faktor kemenangan mereka. Keadaan ini menyebabkan sesetengah haiwan diletakkan taraf dan prestij dalam sesebuah negara malah ada kalanya ia menjadi lambang negara. Misalnya kuda. Ia bukan saja menjadi kenderaan tetapi ia merupakan lambang kehebatan raja-raja dulu kala dan digunakan dalam pelbagai upacara rasmi diraja seluruh dunia. 

Namun, kecanggihan teknologi telah mengubah kedudukan haiwan yang menjadi pahlawan perang kepada satu lambang kemasyhuran. Menurut Dr. Bashir Ahmad, jika dulu kuda digunakan untuk berjuang di medan pertempuran, tetapi kini, kuda lebih banyak digunakan dalam aktiviti kesukanan dan riadah selain dijadikan haiwan untuk pertunjukan hiburan.   

Bagi mengekalkan simbol kegemilangannya, kuda juga selalu digunakan sebagai tunggangan pasukan keselamatan untuk membuat rondaan di taman-taman awam. Perkara ini banyak dipraktikkan di negara-negara maju.

Bagaimanapun kini, kegunaan kuda mula ditambah. Ia juga boleh digunakan untuk proses rawatan terapi. Misalnya, kanak-kanak yang mengalami sindrom kecacatan otot boleh menggunakan khidmat kuda untuk melakukan proses terapi. Kuda akan digunakan untuk menggerakkan otot-otot selain mempercepatkan proses perkembangan otak dan minda. Penggunaan kuda mampu menggerakkan percambahan fungsi otak mereka supaya dapat berfungsi dengan lebih cepat.

Di dalam banyak-banyak tentera haiwan, gajah merupakan haiwan yang paling banyak dan penting dalam sesuatu medan perang terutamanya di benua Asia. Mengikut kisah sejarah perang zaman pemerintahan raja-raja Ayuthaya, gajah merupakan kenderaan perang raja-raja. Raja akan berada di bahagian hadapan kepala gajah semasa bertempur dengan musuh. Lukisan serta lakaran-lakaran lama menunjukkan, raja akan bertempur dengan musuh dari atas gajah.  

Kegunaan gajah secara taktikal perang adalah alat untuk memecahkan kubu pertahanan musuh ketika pertempuran bermula. Biasanya, gajah perang akan diletakkan di barisan kedua yang berfungsi sebagai pemecah benteng tentera musuh bagi membuka ruang untuk proses serangan. Gajah perang akan dilatih dengan teknik serangan menyerbu, memijak musuh dan melindungi askar pejalan kaki.

Gajah-gajah perang yang terpilih akan melalui satu latihan intensif agar ia tidak mudah gentar dengan bunyi bising dan hiruk pikuk semasa peperangan berlangsung. Jika tidak dilatih, gajah akan bertindak liar dan akan menyerang sesiapa saja. Ini akan membahayakan pasukan sendiri. Kelazimannya, gajah jantan yang dipilih sebagai gajah perang kerana ia agak pantas dan mempunyai kecekapan memimpin serta lebih garang.

Kegunaan gajah juga diaplikasikan di Malaysia sejak daripada zaman kesultanan Melayu Melaka lagi. Menurut beberapa pengkaji sejarah, sebenarnya gajah bukan saja menjadi peralatan dan kenderaan perang namun ia juga merupakan alat yang digunakan untuk kerja-kerja berat.

Pada abad ke-15, semasa era penjajahan Portugis di Melaka, banyak gajah telah dilatih dan dihantar ke India menggunakan kapal untuk kegunaan raja-raja di sana. Perniagaan ini juga telah banyak mendatangkan keuntungan kepada pedagang gajah.

Selain daripada itu, gajah-gajah terlatih juga digunakan sebagai kenderaan oleh kerabat diraja Melayu di masa silam. Gajah juga telah digunakan untuk mengangkat barang diraja dari satu tempat ke suatu tempat yang lain di masa dahulu. Namun begitu, Malaysia tidak lagi menjalankan aktiviti melatih gajah setelah mendapat alternatif lain sebagai kenderaan dan gajah yang tinggal di Malaysia hanyalah merupakan gajah-gajah liar yang hidup bebas di hutan.

Prof. Madya Dr. Bashir Ahmad
Fateh Mohamed
Selain dua haiwan di atas, anjing juga merupakan pahlawan perang yang cukup berguna dan terus digunakan sampai ke hari ini. Kebolehan dan keupayaan anjing terus dipraktikkan sebagai agen pengesan yang paling berguna di dunia. Di negara-negara barat, anjing jenis German Shepherd, memang digunakan sebagai alat pengesan dan pemburu yang cukup handal. Dalam aktiviti ketenteraan moden juga, anjing turut dilatih sebagai askar dan telah digunakan semasa kempen peperangan di Afganistan dan timur tengah.

Mengikut rekod, pada 7 Julai 1979, anjing jenis German Shepherd telah digunakan untuk mengesan periuk api dan jerangkap samar semasa zaman penentangan komunis di Malaysia. Anjing ini diberi nama Max dan telah melakukan tugasnya dengan cemerlang hinggalah ia mati terkena tembakan komunis di kawasan hutan Bukit Pertang, Pahang. 

Comments

Popular posts from this blog

Pengawal Rumah Melayu Lama

Laluan rahsia Genting Bidai

Air yang menyembuhkan penyakit