Hidup Seorang Liar

MASIHKAH anda ingat pada watak tarzan yang pernah muncul dalam filem cereka suatu ketika dahulu? Ketika itu, watak tarzan sering menjadi sebutan kebanyakan orang terutama sekali kanak-kanak yang meminatinya. Tarzan, gelaran bagi manusia rimba yang hidup dan tinggal bersama haiwan-haiwan liar di dalam hutan belantara.

Pada awal tahun 2007, penduduk kawasan Phnom Penh di Kemboja telah digemparkan dengan kemunculan manusia rimba yang dijumpai di kawasan hutan tebal sekitar daerah tersebut. Lebih memeranjatkan lagi, manusia rimba itu merupakan seorang gadis remaja yang dikatakan telah hilang dari rumahnya 18 tahun lalu.

Rochom P’ngieng yang digelar sebagai gadis rimba itu dikatakan telah hilang dari rumahnya ketika sedang menggembala kerbau di wilayah Ratanakkiri, kira-kira 600 kilometer dari bandar raya Phnom Penh. Rochom berjaya ditemui setelah seorang penduduk kampung yang sedang berkebun merasakan bekas makanan yang dibawanya telah dicuri oleh gadis rimba itu.

Ketika dijumpai oleh penduduk kampung, Rochom kelihatan seperti manusia hutan, tidak memakai seurat benang dan berkelakuan seperti haiwan, iaitu merangkak menggunakan kedua tangan dan lututnya. Seorang lelaki, Sal Lou mendakwa Rochom adalah anaknya kerana mendapati gadis itu mempunyai bekas luka pada tangan kanan, sama seperti anaknya yang telah lama hilang.

Seorang penyelidik psikologi, Hector Rifa mendapati Rochom tidak mempunyai masalah psikologi sebaliknya gadis itu dikatakan mengalami gangguan perkembangan otak hingga menyebabkan dirinya tergolong dalam kalangan anak-anak liar. Disebabkan itu, Sal Lou dan isterinya berhasrat untuk membawa Rochom pulang ke rumah bagi memberi kehidupan baru buat gadis rimba itu.

Pada awal proses pemulihannya, Rochom dikatakan sering menjerit dan mengeluarkan suara seperti haiwan. Sebagai tanda protes terhadap apa yang telah dilakukan terhadap dirinya, Rochom juga kerap kali mengoyakkan pakaiannya dan telah cuba beberapa kali melarikan diri untuk kembali ke hutan semula.

Menurut pensyarah di Jabatan Pembangunan Manusia dan Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mariani Mansor, istilah anak-anak liar atau ‘wild child’ merupakan anak manusia yang dibesarkan dalam kawasan terpencil dan tidak terdedah kepada hubungan sosial dengan orang ramai.

Golongan anak-anak liar ini boleh dikategorikan kepada kanak-kanak dan juga remaja belasan tahun. Justeru, anak-anak yang dijaga oleh kedua ibu bapa sendiri juga boleh tergolong dalam kalangan anak-anak liar sekiranya mereka tidak mendapat penjagaan yang baik seperti dikurung dan tidak dibenarkan berjumpa dengan sesiapa.

Bukan sahaja Rochom, malah terdapat ratusan kanak-kanak dan remaja yang dipercayai hilang tergolong dalam kalangan anak-anak liar. Merujuk kepada kes Rochom, Dr. Mariani menjelaskan gadis itu menjadi liar kerana tidak mendapat hubungan sosial dalam tempoh masa yang sangat panjang. Disebabkan itu, Rochom tidak boleh bertutur seperti manusia biasa dan berperilaku seperti haiwan.

Golongan anak-anak liar tidak membahayakan keselamatan orang ramai. Mereka cuma ada masalah untuk berkomunikasi. Ini menyebabkan golongan ini bertindak ganas dan boleh berada di luar kawalan manusia normal kerana merasakan diri mereka terancam.

Dr. Mariani
Bagi kes anak-anak yang menjadi mangsa penderaan keluarga seperti dikurung dalam bilik terpencil, Dr. Mariani berpendapat terdapat banyak alasan mengapa ibu bapa di luar sana bertindak sebegitu. Selain berniat melakukan penderaan terhadap anak-anak malang itu, berkemungkinan ibu bapa sebegini bersikap terlalu melindungi atau malu dengan keadaan anak mereka, lebih-lebih lagi jika anak mereka mengalami kecacatan pada anggota badan.

Bagi mengatasi masalah ini, Dr. Mariani menjelaskan anak-anak liar boleh diberi rawatan dengan memberi kehidupan baru seperti yang dijalani manusia normal, namun ianya akan mengambil masa yang sangat lama. Biarpun dengan memberi makanan yang lazat dan tempat tinggal yang selesa, perubahan yang hendak dilakukan ke atas anak-anak liar agak sukar untuk dilaksanakan. Jika tersilap langkah, anak-anak liar ini boleh mati secara mengejut disebabkan tidak biasa dengan kehidupan baru yang dilaluinya.

Kebanyakan kes anak-anak liar banyak berlaku di luar negara, namun tidak mustahil kes sebegini boleh terjadi di negara kita. Dr. Mariani menyarankan agar kedua ibu dan bapa memainkan peranan dalam melindungi keperluan mental, fizikal dan juga emosi anak-anak, lebih-lebih lagi ketika proses pengembangan otak mereka sedang berlaku. Apa yang penting, anak-anak memerlukan kasih sayang daripada ibu bapa sepertimana ia berhajat kepada makanan dan minuman.

Comments

Popular posts from this blog

Pengawal Rumah Melayu Lama

Laluan rahsia Genting Bidai

Air yang menyembuhkan penyakit