Bintang yang menyanyi

Sejak bumi ini wujud berjuta-juta tahun dahulu, bintang menjadi penyeri di langit malam dengan keindahan kerlipannya. Tapi, tahukah anda, bintang juga boleh ‘menyanyi’ dan mengeluarkan melodi yang indah?

Penemuan terbaru ini telah berjaya diungkai oleh pengkaji astronomi dari University of Birmingham, Dr. Bill Chaplin yang turut bekerjasama dengan beberapa orang wakil dari Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika (NASA). Melodi yang dikeluarkan melalui bintang telah berjaya dirakam oleh mereka ketika mengukur perubahan kerlipan bintang KIC 11026764 yang dikenali sebagai bintang Gemma.

Bintang ini berukuran sekitar dua kali ganda matahari dan berada pada jarak 3,100 trilion batu dari bumi. Para pengkaji memberitahu, bintang Gemma ini boleh bergetar seperti instrumen muzik dengan mengeluarkan melodi. Getaran ini berlaku disebabkan proses yang menyerupai gempa ataupun starquake, yang telah berorientasi dari bahagian permukaan ke teras bintang tersebut.

Dengan menggunakan teknik yang disebut sebagai astro seismologi, saintis astrofizik itu telah berjaya mengesan tahap kerlipan bintang berkenaan dan sekali gus merakam bunyi yang dihasilkan.
             
Setelah mendengar kembali rakaman tersebut, mereka mendapati bintang Gemma telah mengeluarkan bunyi dengung yang harmonis dan terdengar seperti hembusan angin yang tipis di atas mikrofon.

Jelas Dr. Bill, ia bukan melodi yang sembarangan kerana penemuan terbaru itu telah membuka informasi baru tentang struktur internal bintang. Katanya, getaran ini akan membantu ahli astronomi mempelajari lebih lanjut mengenai ukuran, umur serta komposisi sesuatu bintang.

Pada dasarnya, bintang boleh mengeluarkan melodi yang sangat kuat. Tetapi, manusia tidak mampu mendengarnya dari bumi. Sebaliknya ia boleh didengari sekiranya seseorang itu berada di luar angkasa dan dekat dengan bintang dalam lingkungan jarak tertentu.

Menurut Pengarah Institut Sains Angkasa, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Mohd Alauddin Mohd Ali, bintang boleh mengeluarkan bunyi disebabkan komposisinya yang tak terbentuk secara padat hingga ke bahagian teras.

Dr. Bill Chaplin 
Disebabkan tahap kepadatannya yang kurang sempurna, maka ia akan menyebabkan berlaku beberapa siri gempa serta akan membuatkan bintang bergetar. Seterusnya, getaran tersebut akan menghasilkan bunyi yang kuat.

Jelas beliau lagi, sekalipun bunyinya tidak dapat didengari dari bumi, namun kita boleh mengesannya secara visual melalui tahap kerlipannya dan kemudian menukarkannya menjadi suara.

Selain itu, kata Dr. Alauddin, daripada kerlipan bintang juga kita boleh menentukan tahap perbandingan di antara bintang-bintang yang terdapat di langit. Bintang yang semakin besar akan mempunyai frekuensi getaran yang semakin rendah.

Saintis juga bersepakat, gelombang suara yang dihasilkan oleh bintang turut dipengaruhi oleh bahan asas yang membentuk sesuatu bintang. Gelombang suara yang dikeluarkan oleh teras helium padat akan bergerak lebih cepat daripada teras hidrogen. Getaran ini juga turut mempengaruhi cahaya yang dilepaskan oleh bintang.

Penemuan ini sebenarnya berjaya dilakukan enam bulan selepas seorang pengkaji dari Sheffield University merakam getaran muzik harmonis yang menakutkan dari permukaan matahari.

Berdasarkan pengukuran melalui gelombang bunyi ini, saintis menganggarkan bintang Gemma ini berusia lebih daripada 5.94 bilion tahun, atau 1 bilion tahun lebih tua daripada matahari. Para pengkaji juga mendapati Gemma memiliki teras yang terdiri daripada sebahagian besar helium yang dikelilingi oleh kulit yang tipis, di mana reaksi hidrogen menjadi sumber kekuatannya. Sehingga kini, Gemma terus membesar menjadi bola raksasa dan sedang memasuki fasa-fasa akhir dalam ‘hidupnya’.

Comments

Popular posts from this blog

Pengawal Rumah Melayu Lama

Laluan rahsia Genting Bidai

Air yang menyembuhkan penyakit