Wujudkah manusia vampire?

CERITA vampire atau makhluk penghisap darah yang bertaring panjang memang sering diangkat ke layar perak. Filem Twilight karya Stephenie Meyer misalnya, mencetuskan lagi fenomena vampire di seluruh dunia. Soalnya, apakah cerita legenda ini benar-benar wujud dalam dunia realiti?

Pasti ramai menyangkal bahawa makhluk aneh itu tidak pernah wujud dalam sejarah mutasi. Tapi, tahukah anda bahawa terdapat satu jenis penyakit yang menjadi tanda tanya kepada kemunculan mitos vampire? Yang pasti, ini bukanlah kisah dalam filem Twilight kegilaan ramai itu. Tetapi ia benar-benar dialami sendiri oleh dua beradik lelaki dari Suffolk, England.


Simon, 13, dan adiknya, George, 11, disahkan menghidap sindrom aneh dengan karakter mirip vampire sejak lahir lagi. Mereka memiliki gigi taring dan selalu mengelak dari terkena sinaran matahari. Dalam dunia perubatan, keganjilan ini dikenali sebagai Hypohidrotic Ectodermal Displasia (HED). Berdasarkan statistik dalam jurnal perubatan, individu yang mengalami kondisi menakutkan ini di dunia dianggarkan hanya 7,000 orang.

Simon dan adiknya  George
Ibu mereka, Mandy, 45, memberitahu gejala seperti vampire sudah ditunjukkan oleh anak sulungnya, Simon beberapa jam selepas saja selamat dilahirkan. Ketika itu, dia sangat panik kerana tiba-tiba suhu badan anaknya menurun dengan drastik. Bimbang perkara tidak diingini berlaku, pakar perubatan serta merta berusaha untuk menghangatkan tubuh bayinya itu di bawah cahaya matahari.

Tapi suatu yang tidak diduga pula berlaku. Bahagian tubuh Simon terutama lengan dan wajahnya tidak lagi seperti asal, sebaliknya kulit si anak itu kelihatan melepuh. Selepas beberapa tahun kelahiran pertamanya, Mandy juga tidak menyangka bahawa putera keduanya, George turut memiliki kondisi serupa sejurus selepas selamat dilahirkan.

Hal ini membuatkan dia cuba belajar menangani keadaan dua anak terunanya itu. Dan atas nasihat doktor, sejak kecil si ibu ini tidak membenarkan dua puteranya itu keluar berolahraga di bawah pancaran matahari. Katanya, ia sangat merbahaya untuk kesihatan anak-anaknya. Sebab itulah, mengapa sampai ke hari ini Simon dan George lebih banyak menghabiskan masa terluang dengan hanya bermain permainan video di rumah.

Oleh kerana karakter pelik ini sangat jarang ditemui di dunia, kelibat Simon dan George sering di pandang aneh setiap kali muncul di khalayak umum. Orang ramai yang melihat mereka juga pasti menganggap dua kanak-kanak ini sangat mengerikan. Malah menurut Mandy, dua anak kesayangannya itu selalu menjadi tumpuan ramai kerana memiliki fizikal ganjil dan berkulit pucat. Menyedihkan, beberapa orang yang baru mengenali Simon dan George menganggap mereka menderita penyakit leukemia.

Namun, selepas filem Twilight ditayangkan, orang ramai lebih gemar menyebut keluarga ini sebagai Cullen – keluarga vampire dalam filem kegemaran ramai itu. Malah, teman-teman mereka juga kerap memanggil dua anak ini dengan nama Edward Cullen seperti watak hero vampire dalam filem tersebut. Cuma yang membezakan antara mereka dengan cerita mitos itu ialah Simon dan George tidak ketagih untuk menghisap darah seperti gambaran lazim diberikan kepada vampire.

Oleh kerana kedua-duanya dikatakan memiliki karakter mirip vampire seperti gigi bertaring, warna kulit pucat dan tidak boleh terkena cahaya matahari, ramai ingin tahu apakah memang benar penyakit HED yang dialami mereka ini pencetus kepada ciri-ciri makhluk aneh itu? Jika andaian ini benar, adakah mungkin penghidap sindrom HED ini dikategorikan sebagai manusia vampire dalam dunia realiti?

Penjelasan saintifik yang diberikan oleh Pakar Kulit & Pembedahan Laser, Dr. Mohd Noh Idris, bagaimanapun berbeza daripada persepsi masyarakat dunia tentang HED. Beliau menjelaskan bahawa walaupun ciri-ciri penyakit HED melibatkan gigi, iaitu bertaring kecil, jarang dan tidak tersusun, pada masa yang sama tidak boleh terkena cahaya matahari, sebetulnya bukanlah manusia vampire seperti yang disangka.

Dr. Mohd Noh Idris
Dr. Mohd Noh berkata, penghidap penyakit ini masih boleh terkena cahaya matahari. Cuma mereka tidak boleh terdedah di bawah sinaran matahari pada suhu yang tinggi. Mengapa hal ini terjadi lazimnya disebabkan oleh karakter kelenjar peluh. Fungsi kelenjar peluh adalah untuk mengeluarkan haba. Apabila badan kita panas, otak akan memberi mesej pada kelenjar peluh dan keringat akan keluar. Peluh inilah akan menyejukkan badan kita.

Sebaliknya yang terjadi kepada pesakit HED, kelenjar peluh mereka biasanya tidak ada atau jumlahnya sedikit. Justeru, mereka tidak boleh atau kurang berpeluh. Ketiadaan kilang peluh inilah mengapa pesakit tidak boleh terkena panas, terutama suhu yang melampau. Namun demikian, bukan semua pesakit HED memiliki karakter seperti itu. Ada kalanya, penghidap cuma menunjukkan salah satu ciri tersebut, selain karakter lain seperti kelainan pada kuku, rambut yang jarang, bulu kening nipis, kulit kering dan nipis.

HED merupakan sejenis penyakit kulit yang disebabkan oleh faktor genetik. Baka untuk penyakit ini terdapat pada Kromosom X. Sebab itulah mengapa dalam kebanyakan kes biasanya kaum lelaki menghidap penyakit ini kerana lelaki hanya memiliki satu Kromosom X, berbanding perempuan yang mempunyai dua Kromosom X. Bagaimana baka seumpama ini boleh wujud dalam perkembangan manusia? Jelas Dr. Mohd Noh, fenomena ini ada kalanya disebut sebagai mutasi. Ia terjadi begitu secara semula jadi. 

Comments

Popular posts from this blog

Pengawal Rumah Melayu Lama

Laluan rahsia Genting Bidai

Air yang menyembuhkan penyakit