Orang-orang di Sawah

Sejarah secara jelasnya telah menyatakan pertanian merupakan ekonomi tertua di dunia. Sejak abad ke-19 lagi , pertanian secara komersial begitu penting dalam ekonomi di Tanah Melayu. Malah, kegiatan pertanian juga merupakan ekonomi sara diri yang terpenting bagi masyarakat Melayu tradisional pada zaman dahulu.

Jika merujuk kepada ekonomi sara diri tersebut, tanaman padi merupakan tanaman yang paling utama memandangkan ia adalah makanan asasi masyarakat di rantau ini. Di negara Malaysia sahaja, pertanian sawah padi merangkumi hampir setiap pelosok negeri.

Negeri-negeri yang terkenal dalam penanaman padi sawah di Tanah Melayu adalah seperti Kedah, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang. Antara negeri-negeri ini, Kedah merupakan negeri yang terkenal sebagai jelapang padi. Menjelang abad ke-18, dataran Perlis dan Seberang Perai turut menjadi kawasan penanaman padi yang utama.

Menurut pensyarah di Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr. Samsu Adabi Mamat, perkembangan sistem pertanian telah pun  disebutkan di dalam Al-Quran iaitu pada surah Yusuf (ayat: 43 hingga 53). Ayat tersebut menjelaskan bidang pertanian mulai berkembang ketika Nabi Yusuff AS menjadi pemerintah Mesir. Allah dalam firmannya menyebut :

“Dan (pada suatu hari) raja Mesir berkata: “Sesungguhnya aku mimpi melihat: tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan aku melihat tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Wahai ketua-ketua kaum (yang hadir, terangkanlah kepadaku tentang mimpiku ini, kalau kamu orang yang pandai menafsirkan mimpi”

Dr. Hafidzi Mohd Noor
Pada ketika itulah perkembangan bidang pertanian dilakukan secara pesat demi menghadapi musim kemarau selama tujuh tahun. Ketika itu, penggunaan ‘orang-orang’ telah digunakan sebagai satu alat yang mencegah hasil tanaman dimakan oleh binatang perosak, terutamanya burung dan haiwan-haiwan lain.

Menurut pensyarah di Jabatan Perlindungan Tumbuhan, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya. Dr. Hafidzi Mohd Noor, ‘orang-orang’ (patung menyerupai manusia) atau nama lainnya Scarecrow. Ia digunakan untuk menakutkan haiwan perosak terutamanya Burung Pipit dan Bangau yang menghampiri sawah atau ladang.

Penggunaan ‘orang-orang’ tidak hanya tertumpu di Malaysia sahaja tetapi ia telah digunakan secara meluas di seluruh dunia. Misalnya di Korea, Kanada dan Jepun. Ketiga-tiga negara ini merupakan antara negara yang banyak menggunakan ‘orang-orang’ dalam bidang pertanian mereka bagi tujuan keselamatan tanaman.

Tetapi, timbul tanda tanya dari negara manakah datangnya ‘orang-orang’ ini? Bagaimanakah manusia pada zaman nenek moyang kita dahulu mampu terfikir untuk mencipta alat seperti ini?

Menurut Dr. Hafidzi, sehingga kini, tidak diketahui daripada mana asal usul ‘orang-orang’ dan belum ada kajian yang dilakukan secara terperinci mengenainya. Walau bagaimanapun, ujar Dr. Hafidzi, manusia sebenarnya dibekalkan secara fitrah ilmu kemahiran menguasai alam secara lestari. Dengan kata lain bermaksud, kaedah yang digunakan oleh mereka tidak mengganggu hidupan lain.

Mengikut sebuah buku tertua di Jepun yang bertajuk Kojiki, ‘orang-orang’ di sawah dikenali sebagai Kuebiko. Kemunculannya di negara tersebut dianggap seperti dewa yang membawa rahmat. Ini kerana ia mampu menjaga sumber makanan mereka. Walaupun Kuebiko tidak bernyawa, masyarakat Jepun mengandaikan ia sebagai dewa yang mengetahui semua perkara.

Ujar Dr. Hafidzi lagi, penggunaan ‘orang-orang’ dalam bidang pertanian dikategorikan sebagai kaedah kawalan secara mekanikal. Fungsinya sama seperti kincir angin yang digunakan di Eropah iaitu sebagai agen penghalau burung yang cuba memakan hasil tanaman. Di serata dunia, ‘orang-orang’ diperbuat daripada jerami yang dimasukkan ke dalam kain lama dan dipasangkan dengan tin kosong.

Mengikut resam dan kepercayaan masyarakat Asia Tenggara, penggunaan ‘orang-orang’ di sawah sebagai melambangkan semangat tanaman. Jadi sebelum ‘orang-orang’ ini dipasangkan, ia perlu menjalani upacara mantera untuk memastikan semangat tanaman khususnya padi mendatangkan hasil yang banyak kepada petani.

Sehingga kini, penggunaan orang-orang dilihat semakin kurang digunai pakai dan tidak begitu praktikal berbanding dengan teknologi pertanian yang baru. Walaupun begitu, jelas Dr. Hafidzi, pertanian moden telah meletak tanda aras sebanyak lima peratus bagi kesan serangan haiwan perosak yang tidak boleh dielakkan. Dan dalam apa jua keadaan, lima peratus itu adalah hak haiwan-haiwan lain seperti tikus, serangga dan sebagainya. Malah, ujar Dr. Hafidzi, dalam konteks agama Islam sendiri, ia dianggap sebagai satu pahala.

Comments

Popular posts from this blog

Pengawal Rumah Melayu Lama

Laluan rahsia Genting Bidai

Air yang menyembuhkan penyakit